SHAH ALAM - Kegigihan sebilangan anak-anak muda mengusahakan tanah terbiar walaupun memiliki kelulusan universiti termasuk ada antaranya pemegang ijazah doktor falsafah membuahkan hasil apabila muncul sebagai petani moden berjaya.
Kaedah moden digunakan bagi mengusahakan tanah berkenaan bukan sahaja memberi pulangan hasil berganda bahkan tanaman baharu seperti vanila juga dapat dikomersialkan di negara ini.
Di Johor, bekas penjawat awam, Dr Baharuddin Mohamed, 46, yang pada lima tahun lepas hanya mengusahakan projek tanaman fertigasi secara kecil-kecilan di tanah terbiar milik orang tuanya di Kampung Sungai Belukang, Muar kini memiliki ladang pertanian integrasi tanaman dan ternakan seluas tujuh hektar.
Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah bidang Sains Komputer dari Unversiti Nottingham, United Kingdom pada awalnya hanya menanam sebanyak 500 polibeg pokok timun batang.
"Selepas itu saya besarkan lagi projek fertigasi ini dengan pelbagai jenis tanaman lain seperti cili, terung dan rock melon sebelum saya integrasikan projek ini dengan penternakan ayam, kambing dan rusa pula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di negara ini pada 2020.
"Saya mulakan dengan menternak 50 ekor kambing, beberapa ekor rusa serta 5,000 ekor ayam dan setakat ini jumlah kambing meningkat kepada 350 ekor dan 80 ekor rusa manakala kapasiti pengeluaran ayam masih 5,000 ekor semusim,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Baharuddin berkata, untuk meluaskan ladangnya itu beliau memajak tanah wakaf yang terbiar milik sebuah madrasah yang dirancang akan dibangunkan pada masa depan.
Menurutnya, beliau nekad terjun ke bidang pertanian itu walaupun bidang pengajiannya di universiti jauh berbeza kerana melihat petani-petani di luar negara khususnya di United Kingdom yang hidup kaya dengan pekerjaan itu.
"Kalau di luar negara kita boleh jadi kaya dengan bertani tapi malangnya di Malaysia situasi itu tidak berlaku. Jadi saya sebagai orang kampung nak buktikan sebenarnya pertanian ada potensi untuk memberi masa depan cerah kepada rakyat terutama golongan belia.
"Kalau anak-anak fokus dalam pertanian, mereka boleh dapat pendapatan jauh lebih baik berbanding buat kerja makan gaji seperti kerja kilang dan sebagainya,” ujarnya.
Sebagai strategi meningkatkan keuntungan, beliau menjual produk pertanian secara terus di kedai yang dibuka di ladang itu selain menjualnya menerusi platform dalam talian dengan memastikan produk yang dikeluarkan berstandard premium.
Sehubungan itu, untuk membantu lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian, Baharuddin menegaskan, kerajaan sepatutnya memberi pendedahan pendidikan dan kesedaran tentang pertanian dan industri makanan sejak di bangku sekolah.
"Kerajaan perlu buat kempen untuk galakkan rakyat bercucuk tanam, bela ayam, kambing, lembu dan ikan sendiri sama ada untuk dimakan sendiri atau pun boleh juga dijual. Ini juga untuk selesaikan kebergantungan kita pada makanan yang diimport.
"Kerajaan juga perlu sediakan platform untuk petani menjual produk mereka. Ini adalah satu masalah besar buat anak muda yang ceburi bidang ini menyebabkan mereka tidak berjaya dan gagal bertahan,” jelasnya.
Katanya, kalau ada anak muda yang boleh menanam cuma 2,000 polibeg pokok rock melon semusim, mereka boleh mendapat anggaran RM20,000 sebulan.
TANAMAN VANILA
Di Pahang, bekas wartawan Sinar Harian, Mohamad Feisal Mohamad Norawi, 40, mula mengkormesialkan projek tanaman vanila yang berasal dari Amerika Tengah dan Mexico di atas tanah terbiar peninggalan orang tuanya berkeluasan 1.2 hektar di Kampung Bangau Parit, Temerloh sejak tahun 2006.
Projek tanaman yang dinamakan Kebun Amani Vanila itu menggunakan teknologi moden bagi memastikan pokok dari tumbuhan keluarga orkid itu dapat dikomersialkan.
Teknologi pengurusan tanaman vanilla yang diaplikasikan termasuk dari segi penyediaan benih, menanam pokok sokongan, membuat pendebungaan berbantu, membaja, mengawal serangan penyakit, menuai dan menjemur hasil vanilla.
Mohamad Feisal berkata, untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman, konsep pertanian kontrak digunakan iaitu dengan membeli tanaman daripada pekebun vanila di bawahnya yang telah dilatih serta menumpukan pada pengeluaran produk akhir tanaman tersebut.
"Setakat ini peserta projek ini sudah lebih 500 orang tetapi yang benar-benar aktif dan serius menanam dan menjual hasil kepada saya sekitar 10 peratus atau antara 55 hingga 60 orang.
"Bila ada penglibatan ramai pekebun ini saya boleh fokus pada penghasilan lebih banyak produk-produk akhir yang baharu selain ada juga vanila ini yang kita hantar terus kepada pembeli sama ada dari dalam dan luar negara,” ujarnya.
Produk-produk makanan yang dikeluarkannya Mohamad Feisal yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum ini cukup popular seperti aiskrim vanila.
Katanya, beliau ketika ini dalam proses mengeluarkan produk penjagaan diri seperti sabun dan skrub bauan vanila untuk meneroka cabang bisnes baharu.
Mohamad Feisal berkata, bagi membantu rakyat dan petani maju dalam bidang pertanian, kerajaan perlu memudahkan proses perniagaan itu sendiri terutama memudahkan urusan penghantaran barang termasuk ke luar negara.
"Selain itu kita juga kena ambil kira soal tenaga kerja yang kurang dalam bidang ini. Jadi kerajaan wajar pertimbangkan untuk kurangkan levi tenaga asing misalnya,” katanya.
Di Terengganu pula, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Pertanian UKM, Mohamad Zamir Ghazali, 40, berjaya memanfaatkan ilmu yang dipelajari di universiti untuk membina empayar perniagaan berasaskan pertanian.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikaf GM Peladang Sdn Bhd itu memiliki ladang sayur dan buah-buahan seluas lima ekar di sekitar bandar Kuala Terengganu.
"Saya usahakan projek pertanian secara fertigasi untuk makanan seperti cili, rock melon dan sayur berdaun antaranya kailan dan sawi.
"Pada awalnya saya cuma usahakan projek ini di tanah terbiar tepi rumah sahaja pada tahun 2004 sebelum saya sewa tanah lain sekitar bandar ini dan luaskan lagi projek fertigasi ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca