SEMASA perdebatan menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun – ‘Undi18’ – yang pindaan Perlembagaan Persekutuan tentangnya telah pun diluluskan, timbul satu perkara yang amat penting iaitu pendidikan politik.
Menurut pencadangnya, pendidikan politik diperlukan untuk belia yang akan mengundi buat kali pertama apabila berumur 18 tahun iaitu bermula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Keperluan tersebut tidak dinafikan tetapi persoalannya mengapakah perkara itu ditimbulkan sekarang? Mengapakah ia tidak ditimbulkan sebelum ini? Adakah kerana masih wujud pandangan bahawa belia belum bersedia untuk mengundi? Bahawa belia tidak matang?
Bahawa belia mudah dipengaruhi? Adakah kerana masih wujud mereka yang memperlekeh dan tidak mempercayai belia? Sebenarnya kita memerlukan pendidikan politik sejak mula-mula mengamalkan demokrasi. Tetapi pendidikan politik tidak semestinya bermakna diwujudkan satu mata pelajaran khusus dan semua rakyat dimestikan mengikuti kelas tertentu.
Pendidikan politik boleh bermaksud sosialisasi politik dan ekosistem demokrasi yang baik. Pimpinan politik dan kerajaan yang menjalankan tugasnya dengan cekap, amanah, bersih serta menunjukkan teladan baik adalah juga faktor-faktor penting dalam mewujudkan ekosistem politik yang mendidik rakyat terutamanya belia.
Bagi belia, ‘pendidikan politik’ belum tentu istilah yang sesuai. Ramai belia mempunyai pandangan serong terhadap politik . Atau melihat politik dari sudut tertentu termasuk sudut sempit dan negatif.
Ramai tidak berminat, malah membenci politik. Dalam hal ini, mereka tidak boleh dipersalahkan. Ini adalah akibat daripada kelemahan-kelemahan ahli dan parti politik, institusi-institusi demokrasi, kerajaan dan sebagainya selama ini.
Pendekatan yang lebih baik mungkin dengan tidak menggunakan istilah ‘politik’. Istilah ‘demokrasi’ lebih baik. Tetapi, oleh kerana belia dan rakyat lazimnya didedahkan dengan ‘demokrasi pasif’, sedangkan matlamat kita ialah belia berpartisipasi dengan penuh – ‘demokrasi aktif’ – iaitu bukannya terhad dengan mengundi sahaja, maka istilah yang lebih tepat ialah ‘partisipasi demokrasi’.
Perbincangannya harus melibatkan seluruh belia iaitu yang bersekolah, yang di institut pengajian tinggi (IPT) dan yang di luar sekolah/IPT.
Pendidikan partisipasi politik belia memerlukan modul yang komprehensif. Ia melibatkan beberapa perkara, antaranya apakah matlamatnya? Adakah wujud elemen-elemen partisipasi aktif dalam sistem pendidikan formal dan tidak formal yang sedia ada?
Apakah kandungan modulnya? Apakah pendekatan yang sesuai? Apakah kesan era digital dan media sosial dalam demokrasi dan partisipasi politik belia? Apakah bentuk hubungan antara partisipasi politik belia dengan dunia politik yang sebenar? Perkara itu adalah sebahagian daripada perjuangan membangun demokrasi Malaysia yang lebih matang.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca