WACANA tentang institusi beraja lazimnya terkait dengan unsur agama. Sejak awal kewujudan institusi beraja, agama dilihat bukan sahaja menjadi sumber keabsahan institusi tersebut, malah turut membentuk satu doktrin politik-agama dalam pengukuhan kuasa dan pemerintahan.
Penggabungan unsur agama dan institusi beraja membentuk adunan identiti dan sejarah yang secara perlahan mencorak kewibawaan. Ia kemudian diperkukuhkan dengan unsur-unsur ritual, simbolisme dan mistik yang meningkatkan hubungan ‘romantis’ antara raja dan rakyat.
Dianggap sebagai sistem pemerintahan tertua di dunia, sejarah menyaksikan bagaimana agama dan institusi beraja berangkai dalam aspek itu.
Lihat bagaimana konsep kuasa raja yang dikaitkan dengan hak ketuhanan (divine right) bukan sahaja memberikan kuasa mutlak kepada raja, malah menuntut ketaatan sepenuhnya yang ditekankan menerusi hak memerintah dengan hak yang diberikan Tuhan.
Namun begitu, wujud perbezaan aliran dan pengaruh agama dalam konsepsi tersebut. Misalnya, konsep hak ketuhanan tumbuh subur dalam institusi beraja di negara-negara Eropah abad pertengahan (Middle Ages). Kuasa mutlak dan keterpusatan pemerintahan raja dengan perkembangan Kristianisasi memperkukuhkan sistem feudal.
Untuk seketika, sistem itu berjalan seperti biasa sehinggalah konsep hak ketuhanan itu dicabar ketika zaman pencerahan (Enlightenment), sekali gus menukar pemerintahan monarki mutlak kepada monarki terhad ataupun republik.
Ia berbeza dengan apa yang berlaku dalam konteks dinasti di China. Walaupun unsur agama memainkan peranan serupa dalam institusi beraja, ia berbeza secara falsafah.
Secara perbandingan, unsur agama dalam hal ini berbeza falsafahnya kerana ‘mandat dari syurga’ (Tian-syurga) yang diterima raja tidak membawa konsep memerintah secara mutlak sepertimana konsep hak ketuhanan di Barat.
Mandat syurga hanyalah bersifat mengekalkan mandat yang bergantung kepada kebolehan dan kemampuan seorang raja serta warisnya dalam memerintah.
Lebih menarik, konsep dan falsafah tersebut turut dikaitkan dengan kitaran dinasti – pengakhiran mandat pemerintahan raja menerusi petunjuk dari syurga – bencana alam, pemberontakan atau perang saudara.
Jelas, walaupun konsep dan falsafahnya berbeza, unsur agama tetap berperanan penting dalam menentukan jatuh bangun institusi beraja.
Mungkin kedua-dua contoh tersebut sedikit klasik dan konvensional. Jadi, percontohan agama dan institusi beraja kontemporari boleh dilihat dari perspektif negara Thailand atau Malaysia.
Dua negara ini berjaya mengekalkan institusi berajanya yang berevolusi daripada monarki mutlak kepada monarki terhad. Didapati, kelangsungan tersebut dibantu oleh elemen agama.
Agama Buddha (Thailand) dan Islam (Malaysia) menjadi tonggak kepada hal tersebut. Peranan agama bukan sahaja menjadi amalan dalam kehidupan, malah membentuk identiti dan sejarah masyarakat.
Agama dan institusi beraja berjalan seiring dalam mencorak kehidupan yang seterusnya berkembang menjadi sebuah identiti kolektif dan identifikasi kebangsaan.
Walaupun serupa seperti di negara-negara lain, apabila pengukuhan menerusi unsur-unsur ritual, simbolisme atau mistik turut berlaku, peranan agama dalam institusi beraja di negara-negara berkenaan dilihat melangkaui daripada hal tersebut.
Terdapat tiga peranan agama yang dilihat mengukuhkan institusi beraja dan menjadikannya lebih kukuh serta dihormati melangkaui hubungan romantis raja-rakyat semata-mata.
Pertama, peranan agama lebih membentuk tata kelakuan bersifat moral dan adab ketertiban berbanding tata kelakuan yang bersifat perundangan (legal).
Kedua, pendekatannya bersifat spiritual berbanding politik. Terakhir, peranan agama dalam institusi beraja lebih bersifat kesedaran (consiousness) dengan menjadikan raja sebagai elemen penyatu (common link), baik secara undang-undang ataupun moral kepada seluruh institusi bernegara dan masyarakatnya.
Ketiga-tiga aspek itu dilihat menjadikan agama lebih ampuh dalam mengukuhkan institusi beraja dan peranannya dalam negara dan masyarakat.
Ia sekali gus menjadikan peranan agama dan institusi beraja jauh melangkaui pandangan umum bahawa ia sekadar sebuah simbol yang hanya melibatkan urusan-urusan agama bersifat ritual sahaja.
Namun, apa juga peranan agama dalam mengukuhkan peranan institusi beraja sama ada secara perundangan mahupun moral, kemampuan, budi pekerti dan kasih sayang institusi beraja itulah yang sebenarnya lebih kuat serta mengukuhkan kewibawaan dan rasa hormat masyarakat terhadapnya.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca