"APAKAH yang telah Tun lakukan untuk Bosnia, dan kenapa?” Menyelidik sebelum melawati sesebuah negara adalah satu tanggungjawab asas.Mendengar sendiri daripada seorang individu yang melakukan banyak perkara untuk meningkatkan kesedaran... Klik di sini untuk terus membaca

"APAKAH yang telah Tun lakukan untuk Bosnia, dan kenapa?” Menyelidik sebelum melawati sesebuah negara adalah satu tanggungjawab asas.

Mendengar sendiri daripada seorang individu yang melakukan banyak perkara untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai Bosnia, banyak membantu saya selepas mendapat jemputan menyertai delegasi Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina serta bercakap di Forum Perniagaan Sarajevo.

Mantan Perdana Menteri berusia 96 tahun itu berulang kali menyatakan bahawa apa yang telah beliau sebut dalam banyak ucapannya bermula tahun 1993, dirumuskan melalui petikan kata-kata ini.

Kini ia boleh didapati pada monumen Mahathir bin Mohamad di sebuah taman di Sarajevo: "Penghapusan etnik di Bosnia perlu dihentikan atau sesiapa yang bercakap kosong mengenai demokrasi dan hak asasi manusia perlu menarik semula dakwaan tentang keadilan dan kesaksamaan.”

Tipikal Dr M, tetapi saya dapati rasa terhutang budi yang benar, malah beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang dikenali rakyat Bosnia.

Tun menyatakan bahawa bantuan yang diberikannya melangkaui sekadar kata-kata dan usaha diplomatik, menerangkan kesukaran dalam usaha pegawai-pegawai kerajaan Malaysia membantu membekalkan senjata dan peluru kepada pejuang Bosnia.

Beliau membayangkan bahawa semua ini telah memaksa Barat untuk mengakui bahawa ia merupakan satu genosid, merangka satu pelan damai dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka keadilan.

Sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan sepintas lalu tentang perkara ini (seperti saya sebelum lawatan ini) mungkin akan mengatakan bahawa sokongan Malaysia terhadap Bosnia adalah sama seperti sokongan Malaysia terhadap komuniti Muslim lain di seluruh dunia yang menghadapi penindasan, tetapi Bosnia berbeza disebabkan dua sebab utama.

Pertama, sokongan yang diberikan amat luar biasa. Bukan sahaja melibatkan persenjataan dan usaha diplomatik, malah pendidikan dan penempatan rakyat Bosnia di Malaysia.

Ramai figura yang sedang meningkat naik dalam arena politik, diplomasi, perniagaan dan masyarakat sivil Bosnia pada hari ini merupakan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia. Mereka akan mencorakkan masa hadapan negara mereka.

Kedua, identiti ‘Muslim' di Bosnia dipenuhi dengan sejarah yang amat unik. Hal ini yang sebenarnya telah menterbalikkan prasangka yang ada sebelum ini.

Kita perlu menerima bahawa Muslim di seluruh dunia adalah berbeza: Mazhab Sunni sendiri mempunyai kepelbagaian yang Muslim di Malaysia akan menganggapnya sebagai radikal. Sebagai contoh, membelai anjing dengan penuh kasih sayang adalah kebiasaan kepada pengikut mazhab Hanafi tetapi merupakan sesuatu yang dibenci kebanyakan pengikut mazhab Syafi'i.

Lebih-lebih lagi jika Muslim yang hidup di tanah yang pernah mempunyai gereja Kristian mereka sendiri, diislamkan oleh Uthmaniyah yang turut mempunyai komuniti Kristian Ortodoks dan Yahudi, kemudian ditadbir oleh majoriti Kristian Katolik Austro-Hungary, dan menjadi sebahagian daripada Republik Sosialis Yugoslavia sebelum perang pada tahun 1992-1995 yang telah menyebabkan kematian seramai lebih 100,000 orang; 8,000 kematian dalam peristiwa genosid di Srebrenica.

Sejarah yang panjang ini memberikan pendidikan kepada pelancong pada hari ini melalui pelbagai keajaiban seni bina di antara banjaran pergunungan yang menakjubkan. Namun sosiopolitiknya kekal kompleks dan membingungkan.

Perjanjian Dayton 1995 pada asasnya telah mewujudkan perlembagaan Bosnia, telah lama dianggap berjaya mengekalkan keamanan. Tetapi para pelajar sains politik Bosnia yang berbicara dengan saya menunjukkan kekecewaan mereka.

Sebagai permulaan, negara ini diberi nama Bosnia dan Herzegovina dan terdiri daripada dua entiti: Persekutuan Bosnia dan Herzegovina (yang mengelirukan) serta Republika Srpska – terdapat sebuah wilayah autonomi iaitu daerah Brčko.

Jawatan Presiden digilirkan antara tiga orang – seorang etnik Bosniak dan Croat yang dipilih daripada Persekutuan dan seorang etnik Serb yang dipilih daripada Republika – menerangkan sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong di Malaysia lebih mudah berbanding Bosnia dan Herzegovina.

Kuasa pentadbiran mereka terpencar, namun tidak saksama. Bak kata seorang rakyat Malaysia, lebih mudah untuk menjalankan perniagaan di Republika kerana kuasa membuat keputusan lebih berpusat berbanding di Persekutuan. Banyak lapisan kerajaan bermaksud perlu mendapatkan lebih banyak kelulusan, membuatkan lebih tinggi potensi rasuah.

Ahli-ahli politik muda yang bercakap dengan saya mengakui masalah ini, berikrar untuk membawa kelainan. Saya teringat akan semangat sama yang dibawa oleh ahli-ahli politik muda Malaysia untuk menentang sistem politik lapuk yang didominasi oleh ahli politik veteran yang merasakan mereka berhak mentadbir.

Apa yang lebih optimistik adalah rakyat mempunyai kebebasan bersuara serta tidak merasa takut untuk menggunakannya. Mereka bercanda tentang ahli politik mereka yang tidak berguna dan berbahas dengan serius tentang menyertai Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) (sokongan terhadap kedua-duanya amat tinggi, dan seorang pelajar berhijab terkejut kerana ramai rakyat Malaysia menyokong Putin hanya disebabkan Putin anti-Barat).

Ketika memberikan ucapan selamat kepada rakan-rakan baharu Bosnia, saya menasihati mereka untuk tidak mengulangi apa yang terjadi di Malaysia: Seorang mantan Perdana Menteri yang tidak mempunyai hubungan baik dengan organisasi masyarakat sivil serta institusi demokrasi dan kesannya masih terasa hingga kini, pemimpin selepasnya mewarisi kuasa yang teramat besar serta mampu memesongkan semak dan imbang.

Mereka bertanya, "Siapakah namanya?”

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Chow Kit dan IDEAS >> Lihat sorotan lain kunjungan penulis ke Bosnia di akaun Instagram @tz.n9

Klik di sini untuk terus membaca