SETELAH sembilan tahun berada di utara, akhirnya saya mengambil keputusan berpindah. Lokasinya ke selatan pula. Keputusan yang agak berat pada mulanya, namun setelah berbincang dan bertanya pendapat isteri, katanya sambil berperibahasa:... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH sembilan tahun berada di utara, akhirnya saya mengambil keputusan berpindah. Lokasinya ke selatan pula.

Keputusan yang agak berat pada mulanya, namun setelah berbincang dan bertanya pendapat isteri, katanya sambil berperibahasa: "Sudah sampai masanya. Menjemurlah sementara panas.”

Saya agak keberatan tetapi akhirnya mengambil keputusan diasak layu, dicabut mati. Saya masih lagi dalam industri lebuh raya, hanya bertukar syarikat konsesi sahaja.

Lagipun peluang yang diberi agak baik daripada sebelumnya. Cuma mengingatkan rakan sekerja yang sebelum ini bersama-sama mengharungi cabaran susah senang dalam mengendalikan operasi lebuh raya, sedikit sebanyak meninggalkan kesan.

Tetapi demi memikirkan masa depan, maka satu keputusan atau pengorbanan perlu dilakukan.

Pengorbanan selain berpisah dengan rakan-rakan, antara lain sekali lagi perlu berpindah-randah.

Beberapa tahun ini sudah beberapa kali saya berpindah rumah dan anak-anak pula berpindah sekolah. Memang meletihkan tetapi satu perkara yang mungkin berbaloi.

Anak-anak sudah biasa dengan keadaan itu. Mereka selalu bertanya hendak pindah ke mana pula selepas ini. Tidak tahulah adakah ayat perli atau memang ikhlas bertanya. Hampir semua negeri sudah dirasai, melainkan Sabah dan Sarawak sahaja.

Pekerjaan yang memerlukan perpindahan kadangkala menyebabkan kita tidak dapat membuat perancangan tepat di manakah akan kita pilih untuk tinggal tetap. Di syarikat baharu ini mungkin juga sampai masanya akan dipindahkan ke lokasi lain. Mental perlu sentiasa bersedia.

Seperti saya kata kepada isteri, tidak perlu membeli perabot. Buat penat mengangkat dan mengemas barang apabila tiba masanya perlu berpindah lagi. Molek dicari sahaja rumah sewa yang sudah ada kelengkapan perabot.

Setelah bermastautin di Pulau Pinang dan Guar Chempedak, Kedah selama sembilan tahun, di selatan saya akan menjadi warga Tangkak.

Saya dapati bandar Tangkak tidak jauh bezanya dengan Guar Chempedak. Pada pendapat saya, hampir sama dengan kemudahan yang diperlukan melainkan Tangkak lebih besar sedikit dari Guar Chempedak.

Maka, pada Mei bermulalah kehidupan saya sebagai warga Tangkak. Kata orang, jauh perjalanan luas pandangan. Bak kata pepatah, ke mudik tentu hulunya, ke hilir tentu muaranya. Setiap perjalanan perlu ada destinasi berhentinya, kalau tidak akan sesatlah jalannya.

Setelah sampai di Tangkak, saya sempat singgah di Gunung Ledang. Saya tidak dapat masuk kerana katanya, kalau hari kerja tidak dibenarkan melawat, melainkan kepada mereka yang hendak mendaki sahaja.

"Encik boleh pergi ke air terjun Gunung Ledang. Lebih kurang lima kilometer sahaja. Boleh masuk dan mandi di sana,” kata penjaga Gunung Ledang.

Saya bergerak ke lokasi air terjun seperti dicadangkan. Ia merupakan resort dan hendak memasukinya perlu bayar. Saya tidak tahulah kenapa perlu membayar, mungkin ia di bawah jagaan resort tersebut agaknya.

Persekitaran air terjunnya cantik. Ramai yang datang untuk mandi-manda bersama keluarga, cuma keadaan tandas berbayarnya tidaklah memuaskan.

Saya sekeluarga tidak bercadang untuk mandi kerana tidak membawa kelengkapan mandi. Lagipun ketika itu cuaca mendung dan hujan rintik mula turun. Ramai yang bergegas naik, bimbang kejadian kepala air yang mungkin terjadi.

Selain itu, stesen bas Tangkak tidaklah besar mana. Untuk menaiki bas ke utara, biasanya molek naik di stesen bas Muar sahaja. Tidak ada bas untuk ke utara.

Walaupun dalam talian, ada dua bas menawarkan perjalanan dari Tangkak ke utara tetapi apabila saya menelefon syarikat bas tersebut, mereka asyik memberitahu akan menghubungi saya semula.

Bak kata pepatah, berjalan jauh banyak dilihat. Cuma untuk berapa tahun lagi di sini, tidaklah saya tahu. Kepada Tangkak, selamat berkenalan dan terima kasih kerana menerima saya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca