SESUNGGUHNYA, peroleh kesejahteraan dalam hidup adalah impian setiap manusia. Pendek kata, apabila tercapai kesejahteraan hidup, mereka berasa dapat hidup bahagia, makmur dan aman damai. Walaupun konsep kesejahteraan tidaklah bermaksud... Klik di sini untuk terus membaca

SESUNGGUHNYA, peroleh kesejahteraan dalam hidup adalah impian setiap manusia. Pendek kata, apabila tercapai kesejahteraan hidup, mereka berasa dapat hidup bahagia, makmur dan aman damai.

Walaupun konsep kesejahteraan tidaklah bermaksud bebas daripada percaturan masalah dan halangan hidup, namun tidak menghalang usaha mereka untuk mencapai kesejahteraan tersebut.

Justeru, pelbagai slogan telah dicipta bagi menterjemahkan makna kesejahteraan, antaranya komuniti sejahtera, kesejahteraan organisasi dan termasuklah sekolah sejahtera.

Sebetulnya, konsep sekolah sejahtera telah lama dibincangkan di seluruh dunia. Menurut Jean Piaget (1932), seorang pakar psikologi pendidikan kanak-kanak telah berkata: "Hanya pendidikan yang mampu menyelamatkan keruntuhan masyarakat.” (Merujuk artikel yang ditulis oleh John Winslide (2014) bertajuk Safe and Peaceful Schools).

Begitu juga di Malaysia, konsep sekolah sejahtera telah banyak dikupas dari segi falsafah dan pelbagai inisiatif, garis panduan serta beberapa petunjuk prestasi telah ditetapkan untuk mencapai matlamat tersebut.

Sejajar dengan prinsip memperkasakan lagi konsep sekolah sejahtera, pada Februari lalu, Menteri Kanan Pendidikan telah memberi nafas baharu konsep sekolah sejahtera dengan melancarkan slogan ‘Sekolahku SEJAHTERA’, merangkumi 14 elemen yang berkaitan dengan perkataan SEJAHTERA iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jati Diri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti dan Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi (berupaya menyampaikan idea dengan jelas, teratur dan tersusun).

Malah, penegasan konsep sekolah sejahtera telah dijadikan tema sambutan Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’. Secara umumnya, tema itu berkaitan dengan peranan guru dalam memperkasakan keilmuan secara profesional bagi membina generasi terbilang pada masa hadapan.

Justeru, murid perlu menginsafi tidak ada sesiapa yang memperoleh kejayaan tanpa kehadiran guru. Selain itu, berguru merupakan proses pembelajaran berterusan yang tiada berpenghujung.

Selaras dengan jawatan guru yang dihormati dan disegani dalam kalangan masyarakat, peranan guru sebagai tunjang kesejahteraan di sekolah adalah menepati kefungsian guru itu sendiri.

Besarnya penghormatan terhadap guru sejajar dengan sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah dalam kalangan umat ku, mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil dan mereka yang yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Pun begitu, dengan meletakkan semua tanggungjawab kepada guru untuk memikul bebanan itu, dikhuatiri masalah burn-out atau tekanan kerja akan bertambah teruk pada masa hadapan. Juga dikhuatiri, semakin ramai guru menyelesaikan masalah bebanan kerja mereka dengan mengambil jalan pintas iaitu bersara awal.

Sewajarnya, isu yang dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pada April lalu bahawa terdapat 10,000 guru telah memohon untuk bersara awal. Angka itu hampir sama banyak dengan guru bersara wajib, harus dijadikan iktibar. Ia bermakna hampir 20,000 guru akan tamat perkhidmatan setiap tahun.

Pada hemat saya, menyejahterakan sekolah harus dijadikan tanggungjawab secara bersama. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai penggubal dasar, pihak sekolah yang menyampaikan perkhidmatan dan pelajar serta ibu bapa yang menerima perkhidmatan harus serius berpakat menyejahterakan sekolah.

Tanpa berpakat, sampai bila pun masalah beg berat untuk ke sekolah, isu buli dalam kalangan pelajar, tidak menghargai bakat pelajar dan pelbagai isu gagal dimuktamadkan.

Bagi menjayakannya, semua pihak harus berlapang dada menerima teguran dan bertolak ansur dalam menyelesaikan apa juga isu-isu pendidikan di sekolah.

Sikap merendah diri dan menipiskan sikap ego masing-masing amatlah dituntut. Jika tidak, slogan ‘Sekolahku Sejahtera’ sekadar retorik semata-mata. Selamat Hari Guru.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca