SHAH ALAM - Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan oleh kerajaan bagi melihat isu lebih 103,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara.
Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini disebabkan tanah terbiar yang ada di seluruh negara ini mempunyai isu birokrasi daripada segi pemilikannya.
"Walaupun tanah terbiar tapi ia melibatkan waris dan tanah pusaka yang rumit untuk diselesaikan,” katanya pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan berdasarkan statistik Jabatan Pertanian pada 2019, sebanyak 103,563 hektar tanah sesuai untuk pertanian tidak diusahakan dan terbiar di seluruh negara.
Pakar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Fatimah Mohamed Arshad menggesa kerajaan mengambil langkah lebih drastik bagi memastikan tanah terbiar di seluruh negara diusahakan dengan projek pertanian bagi menjamin bekalan makanan di samping mengurangkan import.
Salahuddin menambah, bagi melihat isu tanah terbiar ini, perlu ada satu usaha bersama membabitkan pihak yang terlibat dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seharusnya tidak bekerja secara sendirian.
"Libatkan banyak pihak. Pejabat Tanah, MAFI dan Jabatan Peguam Negara juga perlu duduk bersama dan melihat status tanah terbiar itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Exco Pekerjaan dan Modal Insan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Mohd Akmal M Yusoff turut bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Salahuddin agar ditubuhkan satu jawatankuasa bagi melihat isu tanah terbiar.
"Saya bersetuju tetapi daripada segi pelaksanaannya itu kita patut panggil jawatankuasa koordinasi,” katanya.
Jelasnya, ini disebabkan tanah terbiar ini melibatkan banyak bidang kuasa dan disebabkan itu perlunya ada jawatankuasa koordinasi.
"Libatkan pihak-pihak yang ada kuasa berkenaan tanah,” ujarnya.
Selain itu, Mohd Akmal turut mencadangkan agar tanah terbiar ini diusahakan oleh banduan yang akan kembali ke pangkuan masyarakat.
"Kenapa tidak kita ambil banduan-banduan yang ada, ajar mereka mengenai ilmu pertanian dan tempatkan mereka di tanah-tanah ini untuk dimajukan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca