SEREMBAN- Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengenal pasti tanah-tanah pertanian terbiar di negeri ini yang berpotensi untuk dibangunkan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, usaha itu sebelum ini telah dilaksanakan bagaimanapun terhenti seketika susulan kekangan akibat Covid-19 dan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
"Kita memang ada buat inisiatif mengenal pasti tanah terbiar, tetapi mula-mula itu hanya guna Google Maps dan mendapati 33,000 hektar tanah pertanian terbiar di negeri ini.
"Untuk memastikan kesahihannya sekarang sedang melalui proses penilaian dan ia mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk mengumpulkan data tersebut , kemudian barulah dapat kita isytiharkan berapa hektar tanah pertanian yang terbiar,” katanya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang tidak menolak terdapat beberapa faktor dan kekangan tanah pertanian berkenaan menjadi terbiar.
"Faktor pertamanya pemilik itu sendiri yang telah berumur dan kemudiannya anak-anak tak ada untuk mengusahakan selain mereka sudah berhijrah ke bandar kerana bekerja.
"Selain itu, faktor modal dan sebab itu di Negeri Sembilan inisiatif kita sediakan modal untuk aktiviti pertanian sebanyak RM3 juta iaitu pinjaman tanpa faedah selain daripada bantuan-bantuan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, berhubung jaminan sekuriti makanan negara, kerajaan negeri telah membuat beberapa usaha antaranya bantuan geran untuk tanah terbiar sejak 2020.
Klik di sini untuk terus membaca