MUNGKIN ramai tidak tahu sebanyak 530 unit kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan polis di beberapa lokasi strategik di sekitar Putrajaya bagi memastikan kawasan berkenaan selamat. Pemantauan menerusi CCTV adalah langkah untuk memastikan... Klik di sini untuk terus membaca

MUNGKIN ramai tidak tahu sebanyak 530 unit kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan polis di beberapa lokasi strategik di sekitar Putrajaya bagi memastikan kawasan berkenaan selamat.

Pemantauan menerusi CCTV adalah langkah untuk memastikan orang ramai termasuk pelancong luar terhindar daripada perbuatan jenayah.

Kemudahan itu sejajar dengan inisiatif Bandar Selamat Putrajaya yang diwujudkan lebih dua dekad lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, CCTV berkenaan berpusat di Putrajaya Command Centre (PCC) yang ditubuhkan pada Julai 2004 sebelum dinaik taraf pada tahun 2018.

"PCC turut berkongsi data bersama dengan pelbagai agensi awam domestik, antaranya polis, bomba, Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Selain itu, katanya, PCC berfungsi sebagai pusat pemantauan trafik, kualiti alam sekitar, infrastruktur dan bencana alam di seluruh Putrajaya.

"Selain mengesan kesalahan trafik, ia dapat membantu polis membanteras jenayah bagi memastikan kehidupan lestari penduduk sentiasa dipelihara dan dilindungi,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini baru-baru ini.

Asmadi menjelaskan, PCC turut dilengkapi butang panik yang membolehkan komunikasi terus kepada CCTV sekiranya berlaku kecemasan, selain mempunyai fungsi audio dan video.

"Sehingga kini sebanyak 89 unit butang panik telah dipasang di sekitar Putrajaya. Ia dilengkapi lampu siren yang menyala dan berbunyi kuat apabila ditekan,” katanya.

Menurutnya, CCTV yang dilengkapi dengan pembesar suara turut disediakan bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang.

"Kita juga boleh membuat hebahan, teguran dan amaran awal menggunakan pembesar suara di lokasi.

"Selain itu, kita akan mengarahkan pasukan unit peronda pergi ke lokasi untuk tindakan kompaun berdasarkan bukti foto kesalahan yang telah dilakukan individu terlibat,” kata beliau.

A Asmadi menunjukkan laporan berkaitan CCTV yang dipasang di lokasi strategik sekitar Putrajaya

STATISTIK JENAYAH DI PUTRAJAYA TERUS MENURUN

Asmadi berkata, kewujudan CCTV itu dilihat berkesan kerana berdasarkan statistik, kadar jenayah di Putrajaya mencatatkan penurunan.

"Statistik jenayah indeks mencatatkan penurunan iaitu sebanyak 26 kes dilaporkan sejak Januari hingga April lalu berbanding 42 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.

Tambahnya lagi, tiada laporan jenayah kekerasan sejak Januari hingga April lalu berbanding tujuh kes dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

"Sebanyak 26 kes jenayah harta benda pula dilaporkan sejak Januari hingga April lalu, berbanding 35 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Jenayah curi pula sebanyak 14 kes dilaporkan sejak Januari hingga April lalu, berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu,” jelasnya.

SINDIKET CURI MOTOSIKAL TUMPAS

Dalam pada itu, Asmadi turut mengimbau kembali detik awal beliau berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1991.

Ia bermakna, Asmadi telah berkhidmat bersama PDRM selama 31 tahun.

"Selain menabur bakti kepada masyarakat, saya mahu melanjutkan pelajaran sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

"Saya pernah menjadi pensyarah undang-undang di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur,” ceritanya.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Polis Daerah Alor Gajah pada 2016 dan Ketua Polis Daerah Ipoh (2019).

"Selain itu, saya juga pernah berkhidmat dalam unit trafik di Kuala Lumpur, Ketua Trafik Daerah Padang Besar, Perlis; Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman dan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,” katanya.

Asmadi memeriksa perbarisan pada sambutan peringatan Hari Polis ke 215 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Mac lalu.

Asmadi berkata, sepanjang tempoh beliau berkhidmat, pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah kejayaan menumpaskan sindiket curi motosikal di Melaka.

"Kita bersama bantuan penduduk berjaya menjumpai 15 rangka motosikal curi yang disembunyikan di dalam Sungai Timun. Sungai tersebut turut menjadi habitat buaya,” katanya.

Tambah beliau, walaupun anggota polis diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang, mereka juga hendaklah bersikap empati.

Menurut Asmadi, walaupun mencuri adalah satu kesalahan jenayah tetapi dalam keadaan tertentu seperti tekanan kehidupan, seseorang itu mungkin terpaksa melakukannya demi sesuap nasi untuk keluarga.

"Saya pernah berdepan kes tangkapan seorang lelaki yang juga tukang cuci terlibat kes kecurian telefon bimbit pelajar di sebuah sekolah asrama di Melaka.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ibu kepada lelaki itu terlantar sakit, isterinya pula pesakit kanser. Dia mencuri kerana mahu membeli makanan untuk keluarganya,” ujarnya.

Asmadi berkata, melihat masalah keluarga terbabit, pihaknya tidak menangkap lelaki berkenaan, sebaliknya segera mendapatkan agensi berkaitan untuk membantu keluarga tersebut.

"Kita turut menghulurkan bantuan makanan dan bekalan keperluan harian kepada keluarga berkenaan.

"Saya tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap lelaki tersebut kerana melihat kepada situasi dan keadaan semasa lelaki itu,” jelas beliau.

Menurut Asmadi lagi, beliau juga pernah dilantik sebagai Chief Inspektor, Komander Peronda Lebuh Raya MPV untuk Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada tahun 1997.

"Anggota polis trafik turut berperanan sebagai frontliner. Apabila berlaku kejadian banjir, kita perlu mengarahkan pengguna jalan raya lain mengubah laluan atau melencongkan aliran trafik,” ujarnya.

CABARAN BAHARU

Asmadi berkata, polis kini berdepan jenayah baharu iaitu penipuan secara dalam talian, dengan penjenayah sangat licik memperdaya mangsa untuk mendapatkan wang tunai.

"Kita turut menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan penipuan secara dalam talian membabitkan pembelian barangan, namun jumlah tidak banyak.

"Usaha mengekang jenayah itu akan terus diperhebat melalui program kesedaran dan pencegahan,” ujarnya.

Tambah beliau, anggota dan pegawai polis juga perlu menzahirkan semangat ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

"Kita perlu menyelami kehendak dan pengharapan masyarakat terhadap PDRM agar pasukan ini kekal relevan.

"Kita memikul amanah yang amat besar bagi memastikan keharmonian masyarakat dan kedaulatan negara kekal terjamin,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama masyarakat dalam usaha membanteras jenayah.

"Selain orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan, kita juga memerlukan saksi untuk kes perbicaraan di mahkamah,” katanya mengakhiri perbualan.

Klik di sini untuk terus membaca