SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerjasama parti berkenaan dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) kini tinggal 'nyawa-nyawa ikan'. Tuan Ibrahim yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerjasama parti berkenaan dengan UMNO menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) kini tinggal 'nyawa-nyawa ikan'.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan MN masih bernyawa dan Jawatankuasa Induknya (JK Induk MN) perlu mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju kerjasama Pas dan UMNO berkenaan.

"MN masih ada nyawa. Kenyataan beliau (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk mengadakan perbincangan di peringkat pimpinan perlu disusuli oleh JK Induk MN.

"Pas melihat perlunya agenda penyatuan ummah ini diteruskan, terkadang ia lebih penting daripada hanya perbincangan kerusi pilihan raya," katanya kepada Sinar Premium.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada Sabtu yang mendedahkan MN kini ibarat 'nyawa-nyawa ikan' berikut perang dingin antara pemimpin Pas dan UMNO, sejak kebelakangan ini.

Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata, isu kerjasama Pas dan UMNO juga akan dibincangkan dalam mesyuarat parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi mengelak pertembungan yang boleh merugikan parti Melayu/Islam.

Detik bersejarah termeterainya Muafakat Nasional oleh Pas dan UMNO pada September 2019.

Beliau berkata, perbincangan berkenaan penting bagi memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri seperti terjadi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

"Perkara ini akan dibincangkan dalam parti dan PN, bagi mengelak pertembungan yang merugikan semua pihak khususnya parti Melayu Islam di negara ini.

"Kita perlu mencari titik persamaan, dengan kaedah kalau tidak boleh sepakat semua, jangan bertembung semua. Dalam PRU14, UMNO ada dua negeri dan Pas juga dua negeri. Kalau UMNO lawan Pas di dua negeri, maka Pas juga perlu bersedia berlawan di dua negeri yang dimenangi oleh UMNO.

"Apakah ia muktamad? Ia masih terbuka untuk runding, kalau UMNO setuju untuk muafakat. Di samping itu, ada beberapa kerusi yang perlu persepakatan agar tidak terjadi 'menang jadi arang, kalah jadi abu' sekaligus menyebabkan kedua-dua parti mengalami kerugian," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca