SRI LANKA berhadapan krisis ekonomi yang sukar dan berada dalam jurang sangat dalam. Negara tersebut berhadapan kejatuhan nilai mata wang, kegagalan membayar hutang, kekurangan bekalan bahan api, elektrik, makanan dan perubatan. Rakyat Sri... Klik di sini untuk terus membaca

SRI LANKA berhadapan krisis ekonomi yang sukar dan berada dalam jurang sangat dalam. Negara tersebut berhadapan kejatuhan nilai mata wang, kegagalan membayar hutang, kekurangan bekalan bahan api, elektrik, makanan dan perubatan.

Rakyat Sri Lanka yang berhadapan kelaparan menuju kebuluran sudah hilang sabar lalu keluar di atas jalan raya menuntut pembaharuan politik dan ekonomi.

Kediaman dan premis perniagaan milik beberapa ahli politik dari parti pemerintah turut dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah dengan krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak kemerdekaan negara itu pada tahun 1948.

Sudah dua kali Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengisytiharkan darurat dalam tempoh lima minggu.

Krisis Sri Lanka bermula dengan pandemik Covid-19 dan tindakan kerajaan mengharamkan pengimportan baja tanaman pada tahun 2021. Kedua-dua ini memberi kesan kepada sektor pengeluaran makanan negara tersebut sekaligus menyebabkan mereka berhadapan krisis makanan.

Pandemik Covid-19 juga menjejaskan Sri Lanka yang pendapatan utama bergantung kepada industri pelancongan. Apabila tiada pelancong, Sri Lanka berdepan kekurangan pertukaran mata wang asing.

Ini mengakibatkan kejatuhan nilai mata wang Rupee Sri Lanka berbanding Dolar Amerika Syarikat sehingga 32 peratus sejak awal tahun. Ia menjadikannya mata wang berprestasi paling teruk di dunia sekaligus menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi negara tersebut.

Sri Lanka bergantung kepada import bahan api dan makanan bagi menampung keperluan rakyatnya. Kejatuhan mata wang yang teruk menyebabkan Sri Lanka tidak mampu membiayai import barangan keperluan rakyat seperti elektrik, gas memasak dan makanan.

PROPAGANDA POLITIK DI MALAYSIA

Apabila barangan keperluan dibawa masuk, harga telah meningkat berkali ganda menyebabkan majoriti rakyat tidak mampu membelinya.

Sri Lanka diambang kekurangan makanan dan mungkin kebuluran.

Anehnya, penderitaan dan kemusnahan Sri Lanka dieksploitasi secara melulu oleh pemimpin politik dan aktivis propaganda politik.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang membuat hantaran media sosial gambar rumah Perdana Menteri Sri Lanka yang dibakar dengan pertanyaan, ‘Apakah rumah Perdana Menteri dan menteri akan dibakar oleh rakyat yang marah seperti mana di Sri Lanka?’

Hantaran berbaur hasutan ini sangat berbahaya kepada negara. Seperti tulis Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Hussin, ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab, bersifat anarkis dan satu sabotaj kepada ekonomi negara.

Tidak cukup itu, muncul pula ‘mesej layang ketanpanamaan’ melalui rangkaian perbualan WhatsApp berbunyi, ‘International Monetary Fund (IMF) has warned that Malaysia is in a huge economic dilemma. The second largest debt country in Asia after Sri Lanka is Malaysia’ (Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberi amaran bahawa Malaysia berada dalam dilema ekonomi yang besar. Negara hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka ialah Malaysia).

Seorang kolumnis sebuah portal juga cuba menyamakan Sri Lanka dengan Malaysia. Semua ini seolah-olah ada agenda tersirat untuk mencetuskan ketidaktentuan politik dan ekonomi negara.

Adalah tidak benar Malaysia menghampiri Sri Lanka.

Pertama, struktur ekonomi negara jauh lebih baik dari Sri Lanka. Selain mempunyai sumber bahan api, makanan dan bekalan elektrik sendiri dan stabil.

Malaysia juga mempunyai rizab mata wang yang kukuh berikutan kenaikan harga minyak dunia dan eksport barangan.

Kedua, semakan dibuat di portal IMF dan lain-lain media juga langsung tidak menemui sebarang catatan yang menyatakan agensi tersebut menganggap Malaysia bakal menjadi Sri Lanka.

Sebaliknya dalam laporan terkini IMF mengenai Malaysia pada 28 April 2022, pengarah IMF menyifatkan sektor kewangan Malaysia kekal berdaya tahan.

Malah IMF optimis bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada tahun 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri dan permintaan luar yang terus kukuh.

Penyebar dakyah negatif mengenai ekonomi negara ini seperti burung hering yang sering memakan bangkai. Apabila tiada bangkai mereka mewujudkan ilusi mengenainya.

Mereka tidak peduli akibatnya kepada ekonomi negara. Janji nafsu politik dipenuhi.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca