SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Ahad di seluruh negara pada Sabtu mendapati memang berlaku masalah bekalan ayam mentah di pasaran seperti yang diramalkan sebelum ini.
Situasi tersebut menyebabkan pembeli sukar mendapatkan bahan makanan itu, sementara pendapatan peniaga ayam turut terjejas kerana terpaksa menutup kedai lebih awal berbanding hari biasa.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini memaklumkan memang menerima maklumat sebuah ladang tidak dapat mengeluarkan ayam pada 22 dan 23 Mei kerana mengalami masalah pengeluaran.
Dalam pada itu, Penasihat Kehormat Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Ariff meminta kerajaan supaya meningkatkan harga siling jualan daging ayam daripada RM8.90 kepada RM9.90.
Beliau berkata, harga siling bagi ayam di peringkat ladang juga perlu ditingkatkan sebanyak 80 sen daripada harga semasa RM5.90 kepada RM6.70.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilakukan bagi menangani isu penutupan ladang ternakan yang berlaku di dalam negara akibat kerugian yang disebabkan oleh peningkatan kos operasi.
"Sebelum ini harga makanan dedak RM85 bagi setiap 50 kilogram (kg), tapi sekarang naik sampai RM126.
"Kemudian kos operasi lain seperti pengangkutan juga bertambah dan kita masih mengalami isu kekurangan tenaga buruh.
"Jadi kalau harga siling yang ditetapkan adalah RM8.90, ia adalah terlalu rendah untuk seorang penternak menjual ayam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, penetapan harga baharu itu jika dilaksanakan bakal membantu penternak di seluruh negara untuk kembali sedikit bernafas dan meneruskan operasi mereka.
"Jika tidak, kita pun terpaksa tutup reban sebab rugi. Jadi keadaan ini yang sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan ayam di dalam negara.
"Memang ada subsidi, tapi dalam keadaan ini, subsidi pun terlampau sedikit dan tidak membantu,” ujarnya.
Pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberikan subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 sekilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 sekilogram.
TIGA JAM CARI AYAM
Sementara itu, situasi kekurangan bekalan ayam segar di beberapa kawasan di sekitar Selangor menyebabkan ada pengguna terpaksa mengambil masa lebih tiga jam mencari bahan makanan tersebut.
Muhd Khairy Noh, 48, yang merupakan seorang pekerja keselamatan dari Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Shah Alam berkata, dia keluar seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan ayam di beberapa tempat sekitar rumahnya, namun tidak berhasil.
"Biasa memang mudah dapat bekalan ayam di sekitar kawasan rumah saya. Tapi hari ini (Sabtu), bila saya pergi sampai Kampung Melayu Subang dan Seksyen 16 (Shah Alam), seekor ayam pun tidak dijual.
"Masuk jam 10 pagi, baru dapat bila kawan beri cadangan supaya pergi ke sini,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Pasar Borong Selangor di sini.
Sementara itu, seorang kerani dari Puchong, Shuhada Yusof, 36, mengakui jualan bahan makanan itu dilihat agak terhad sejak kebelakangan ini.
"Sebelum ini, sebelah malam pun masih boleh beli ayam mentah, tapi sekarang ini bila masuk waktu petang, bekalan sudah habis,” ujarnya.
Bagi peniaga makanan dari Sri Petaling, Kuala Lumpur, Asmidah Nahuri, 32, situasi kekurangan bekalan ayam ditambah dengan harga yang melambung tinggi membimbangkan peniaga kecil.
"Kalau situasi ini berterusan, mungkin harga makanan di gerai atau restoran pun terpaksa dinaikkan. Kalau tidak, memang tak berbaloi untuk meniaga,” ujarnya.
Pekerja perkhidmatan penghantaran barang dari Puchong, Huzafandy Hussein, 42, berharap isu berkenaan dapat diatasi dengan segera oleh kerajaan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Borong Selayang pada Sabtu mendapati sebahagian besar peniaga ayam tidak membuka perniagaan.
Sembilan daripada 13 peniaga ayam di pasar borong berkenaan tidak beroperasi.
Klik di sini untuk terus membaca