SHAH ALAM - Kawalan ketat di sempadan negara perlu dilaksanakan sebagai usaha mengekang penularan jangkitan penyakit cacar monyet yang semakin banyak dikesan di negara Eropah sejak awal Mei lalu.
Pakar Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, ia termasuk tidak membenarkan individu yang dijangkiti atau mempunyai simptom penyakit itu masuk ke dalam negara.
Menurutnya, warganegara pulang dari kawasan dilaporkan berlaku kes cacar monyet pula dinasihatkan untuk memerhatikan gejala yang mungkin berlaku seperti demam, letih atau tanda-tanda ruam pada kulit mirip cacar manusia.
"Penyakit cacar monyet ini sama seperti cacar air atau chickenpox yang dihadapi manusia. Sekarang ini kes jangkitan itu masih belum dilaporkan di Malaysia, jadi cara untuk mencegah sama juga seperti penyakit lain iaitu dengan mengawal sempadan negara bagi memastikan individu yang dijangkiti atau mempunyai simptom tidak dibenarkan masuk.
"Mereka yang pulang dari luar negara juga seharusnya memberikan kerjasama penuh dan perlu sentiasa berhati-hati.
"Sekiranya ada simptom tersebut, mereka disarankan untuk segera mendapatkan rawatan dan melaporkannya di Jabatan Kesihatan bagi mengelakkan ia merebak secara lebih meluas,” katanya kepada Sinar Ahad.
Baru-baru ini, dua kes cacar monyet telah dilaporkan di Australia selepas penularan penyakit jarang berlaku itu mula dikesan di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara sejak awal Mei ketika sebahagian besar komuniti global mula memasuki fasa endemik.
Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, virus itu tidak terlalu membimbangkan berikutan gejalanya sama seperti cacar air dan kebanyakan kes akan pulih seperti sedia kala.
Bagaimanapun, komplikasi yang agak teruk mungkin berlaku sekiranya individu dengan sistem imun atau antibodi lemah dijangkiti penyakit berkenaan.
"Kebimbangan kita sama seperti wabak Covid-19, di mana jika individu yang mempunyai antibodi lemah dijangkiti penyakit ini, ia akan menyebabkan komplikasi serius,” jelasnya.
Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, meskipun mengetatkan kawalan sempadan adalah langkah terbaik membendung penularan cacar monyet dalam negara, beliau akui agak sukar untuk mengenal pasti individu yang mempunyai simptom tersebut.Ini kerana katanya, virus itu membiak dalam badan dan memerlukan masa antara 14 sehingga 21 hari sebelum simptom dikenal pasti.
"Jika kita buat saringan macam mana sekalipun, ada kebarangkalian kita terlepas dari tempoh tersebut.
"Maknanya, individu tersebut belum demam lagi ketika dia masuk sempadan negara, namun dalam tempoh itu, dia sudah mula menyebarkan virus ini kepada orang lain,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca