TURKI mempunyai sebab-sebab yang tersendiri bagi menentang permohonan Finland dan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dibuat selepas Rusia menyerang Ukraine.
Kedua-dua negara berkenaan menghantar permohonan untuk menyertai pakatan ketenteraan terbesar di dunia tersebut di Brussels, Belgium yang juga ibu pejabat kepada Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu lalu.
Permohonan kedua-dua negara Nordic itu untuk menyertai NATO disambut baik oleh Setiausaha Agung pakatan itu, Jens Stoltenberg dari Norway tetapi ia mendapat tentangan Turki.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menentang keras permohonan daripada kedua-dua negara berkenaan kerana dasar-dasar Finland dan Sweden yang didapati tidak mesra dengan Ankara.
Bagaimanapun, proses untuk menyertai pakatan ketenteraan itu perlu mendapat undi sebulat suara daripada kesemua 30 anggota NATO tetapi Recep menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau menolak kemasukan kedua-dua negara berkenaan.
NATO ditubuhkan pada tahun 1949 dan dianggotai oleh 12 buah negara sebelum keahliannya berkembang serta disertai oleh 30 anggota selepas kejatuhan empayar Kesatuan Soviet.
Turki pula menjadi anggota pakatan tersebut pada tahun 1952.
Selepas empayar tersebut musnah, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang terletak di luar Eropah menjadi anggota NATO yang pada asalnya ditubuhkan untuk menghadapi ancaman komunis Kesatuan Soviet.
BIMBANG ANCAMAN RUSIA
Namun, kini Sweden dan Finland bimbang terhadap ancaman Rusia kerana ia menyerang negara jirannya, Ukraine pada 24 Februari lalu.
Kemungkinan perkara sama akan berlaku terhadap kedua-dua negara tersebut yang turut terletak bersebelahan dengan bekas negara komunis itu.
Kebimbangan itu telah disuarakan oleh Presiden Finland, Sauli Niinisto dan Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson baru-baru ini.
Bagaimanapun, permohonan kedua-dua negara itu ditentang oleh Turki yang pernah membeli sistem pertahanan misil tentera S-400 dari Rusia sehingga menyebabkan AS tidak menyenaraikan Ankara dalam program penjualan jet pejuang F-35 pada tahun 2019.
Namun, ia bukanlah alasan yang menyebabkan Turki tidak mahu menerima kemasukan kedua-dua negara tersebut ke dalam NATO.
Ankara menolak kemasukan itu kerana Finland dan Sweden mempunyai sikap tidak jelas terhadap organisasi pengganas iaitu Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang terlibat dalam aktiviti keganasan di Turki.
Kedua-dua negara itu juga dipersalahkan kerana enggan mengekstradisi sejumlah individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan PKK dan dilabelkan sebagai pengganas oleh Turki.
Finland dan Sweden juga dilaporkan enggan mengekstradisikan sejumlah lagi individu daripada pergerakan FETO yang menyokong ahli akademik, Fethullah Gulen.
SOKONG MILITIA KURDIS
Fethullah dipersalahkan Ankara kerana menyebabkan berlakunya percubaan rampasan kuasa pada tahun 2016 di Turki.
Recep turut menuduh kerajaan Sweden memberikan bantuan senjata-senjata keluarannya untuk militia-militia Kurdis.
Media Turki melaporkan bahawa senjata-senjata Sweden telah digunakan oleh militia-militia tersebut ke atas tentera Turki.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh Anadolu Agency, tentera Turki merampas misil senjata anti kereta kebal AT4 buatan Sweden semasa serbuan-serbuan dilakukan di selatan Turki dan di utara Iraq antara tahun 2018 dan 2021 daripada militia-militia Kurdis.
Tentera Turki sering melakukan operasi rentas sempadan terhadap PKK di Iraq dan sayapnya iaitu Unit Perlindungan Penduduk Antarabangsa atau YPG di Syria.
Bagaimanapun, Sweden menafikan tuduhan Turki tersebut.
AS dan Perancis juga pernah diberikan amaran oleh Turki supaya tidak memberikan bantuan kepada kumpulan yang membunuh rakyat Turki dan menyeru ahli-ahli NATO untuk tidak memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas.
Tentera AS juga pernah berperang bersama militia-militia Kurdis semasa kempen menentang kumpulan militan Daesh di Syria.
Adakah tentangan Turki diambil kira oleh NATO?
Mengikut perjanjian NATO, serangan terhadap mana-mana ahli pakatan ketenteraan itu harus dilihat sebagai serangan ke atas semua anggotanya.
Mungkinkah ia menjadi sebab yang mengakibatkan Finland dan Sweden mahu menjadi anggota NATO.
Jika kedua-dua negara itu diterima untuk menjadi anggota NATO, adakah PKK juga perlu dilihat sebagai musuh NATO bersama kerana ia merupakan ancaman terhadap Turki.
Proses untuk menjadi ahli NATO juga mengambil masa bergantung kepada keadaan.
Ini kerana ahli pakatan tersebut yang terbaharu, Macedonia Utara menjadi NATO hampir dua tahun selepas mendapat jemputan untuk menyertainya.
Sehubungan itu, persoalan kini adakah kedua-dua negara tersebut akan diterima menjadi anggota NATO atau Turki berubah fikiran untuk menarik balik tentangannya itu?
Klik di sini untuk terus membaca