BANYAK ramalan, amaran dan contoh telah diberikan oleh pelbagai pihak bahawa ekonomi dunia sedang diancam oleh kebekuan ekonomi dan kadar inflasi yang tinggi. Fenomena ini disebut stagflasi iaitu daripada gabungan perkataan Inggeris... Klik di sini untuk terus membaca

BANYAK ramalan, amaran dan contoh telah diberikan oleh pelbagai pihak bahawa ekonomi dunia sedang diancam oleh kebekuan ekonomi dan kadar inflasi yang tinggi.

Fenomena ini disebut stagflasi iaitu daripada gabungan perkataan Inggeris stagnation (beku) dan inflation (inflasi).

Justeru, stagflasi adalah keadaan di mana kadar inflasi tinggi dalam suasana ekonomi yang membeku.

Dalam keadaan biasa, kadar inflasi akan naik lebih tinggi dan pantas apabila ekonomi berkembang dan pengguna mempunyai lebih banyak duit untuk berbelanja. Tetapi stagflasi berlaku apabila ekonomi beku atau berkembang pada kadar yang rendah, pendapatan tidak bertambah dan pengangguran tinggi.

Natijahnya, walaupun pengguna tidak berbelanja besar kerana kekurangan pendapatan namun harga barang dan perkhidmatan naik dengan banyak dan pantas.

Ada beberapa sebab berlaku keadaan ini sekarang. Yang paling penting adalah pandemik Covid-19 yang bermula di China pada tahun 2019, perang Rusia-Ukraine dan dasar kewangan Amerika Syarikat.

Ketika Covid-19, ekonomi global merosot teruk akibat kawalan pergerakan. Tanpa pendapatan yang mencukupi daripada kegiatan ekonomi biasa, banyak negara, syarikat dan individu berhutang.

Kerajaan mengawal kadar faedah supaya orang perseorangan dan syarikat mampu berhutang. Kerajaan sendiri berhutang dengan banyak bagi menampung kekurangan hasil dan di masa sama memberi bantuan kewangan kepada orang ramai yang kehilangan sumber pendapatan.

Sekarang kerajaan mula membenarkan bank menaikkan semula kadar faedah yang antara lain bertujuan mengawal inflasi dan menggalakkan orang ramai menabung semula.

Langkah bank pusat Amerika Syarikat, Federal Reserve Bank, pada 4 Mei lalu menaikkan kadar faedah penanda aras daripada 0.75 peratus kepada satu peratus telah dicontohi oleh banyak bank pusat negara-negara lain, termasuk Bank Negara Malaysia. Pada 11 Mei, Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada dua peratus.

Apabila kadar faedah naik, kos pinjaman pun naik. Bila kos pinjam naik, kos pengeluaran pun naik. Bila kos pengeluaran naik, harga pengguna pun naik. Begitulah putaran ganas kadar faedah.

PETUNJUK DAN AMARAN

Federal Reserve dijangka terus menaikkan kadar faedah sebagai kaedah mengawal inflasi. Dalam bahasa yang mudah, ekonomi Amerika sudah menjadi mangsa putaran ganas sehingga menyebabkan kadar inflasi naik ke tahap paling tinggi dalam jangka masa 40 tahun.

Tanpa petunjuk, amaran dan ramalan oleh institusi kewangan antarabangsa dan pakar ekonomi pun, kita di Malaysia sudah tahu bahawa sesuatu yang luar biasa telah dan sedang berlaku kepada ekonomi kita.

Walaupun kita telah keluar daripada regim kawalan pergerakan Covid-19 dan menuju ke arah normalisasi, namun ancam virus ini masih bersama kita.

Keadaan kita sekarang bertambah baik berbanding 2020 dan 2021 tetapi tempo pemulihan kita tidaklah sepantas negara-negara jiran dan kurang mendapat pengiktirafan daripada pelabur asing dan agensi penarafan antarabangsa.

Salah satu punca utamanya adalah kerajaan yang wujud sejak rampasan kuasa 2020 tidak dilihat sebagai kerajaan yang absah dan stabil.

Manifestasi kepada keadaan ini amat jelas. Ketika pelancong dan orang luar berpusu-pusu masuk sejak pintu sempadan dibuka tetapi sambutan pelabur terhadap Bursa Malaysia terus lembap.

Indeks Bursa Malaysia (KLCI) jatuh daripada 1,598.92 mata pada 4 April lalu kepada 1,549.12 pada 20 Mei. Minggu lepas misalnya, pelabur asing bertukar menjadi penjual bersih (net seller) dengan pengaliran keluar sebanyak RM60 juta.

Sedangkan sebelum itu tabung antarabangsa menjadi pembeli bersih (net buyer) selama 12 daripada 15 minggu pertama 2022 dengan pengaliran masuk bersih sebanyak RM6.91 bilion.

Dalam beberapa hal dan lapangan, kesan kebekuan ekonomi dan kadar inflasi tinggi ini bukan sekadar ancaman lagi. Ia telah berlaku dan mula dirasai oleh pengguna di segenap lapisan. Soalnya adakah kerajaan sedar dan telah bersedia untuk hadapinya? Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca