PERSIDANGAN Khas Amerika Syarikat (AS)-ASEAN 2022 telah diadakan pada 12 hingga 13 Mei 2022. Persidangan tersebut boleh dianggap bersejarah kerana lapan daripada 10 ketua negara ASEAN telah menghadiri persidangan khas dan kali ini merupakan... Klik di sini untuk terus membaca

PERSIDANGAN Khas Amerika Syarikat (AS)-ASEAN 2022 telah diadakan pada 12 hingga 13 Mei 2022.

Persidangan tersebut boleh dianggap bersejarah kerana lapan daripada 10 ketua negara ASEAN telah menghadiri persidangan khas dan kali ini merupakan pertemuan kali kedua secara peribadi antara Presiden AS, Joe Biden dengan pemimpin-pemimpin ASEAN.

Pertemuan terakhir telah diadakan pada 2016 ketika pentadbiran Presiden Barack Obama.

Apa yang menarik perhatian buat kali ini adalah pemimpin Myanmar tidak dijemput ke persidangan khas di mana tempat duduk perwakilan Myanmar dibiar kosong. Manakala Filipina telah diwakili oleh Setiausaha Hal Ehwal Luarnya kerana negara itu sedang dalam peralihan kuasa selepas pilihan raya.

Agenda rasmi Persidangan AS-ASEAN 2022 diadakan untuk meraikan 45 tahun penglibatan diplomatik AS-ASEAN.

Bagaimanapun, yang tersirat adalah objektif persidangan khas AS-ASEAN adalah untuk mengesahkan semula komitmen berterusan AS terhadap Asia Tenggara dan menekankan kepentingan kerjasama AS-ASEAN dalam memastikan keselamatan, kemakmuran dan pematuhan terhadap hak asasi manusia ketika menyaksikan peningkatan pengaruh China di Asia Tenggara.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Biden sendiri bahawa hubungan AS-ASEAN adalah ‘kritikal’ dan persidangan khas ini menandakan pelancaran ‘era baharu’ dalam hubungan AS-ASEAN.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memperbaharui hubungan semasa daripada perkongsian strategik kepada ‘perkongsian strategik komprehensif’ pada November 2022.

Pada akhir persidangan anggota ASEAN dan AS telah mengeluarkan 28 Pernyataan Visi Bersama yang merangkumi kepentingan mematuhi nilai bersama dan prinsip utama yang termaktub dalam Piagam ASEAN, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Pentadbiran Biden ingin menunjukkan bahawa ASEAN adalah penting dalam dasar Indo-Pasifik AS tetapi anggota ASEAN masih meragui komitmen AS, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan yang setakat ini masih kurang.

Ketika persidangan AS-ASEAN, AS telah mengumumkan pakej sokongan AS$150 juta untuk mengembangkan bidang keselamatan maritim, perdagangan digital dan ekonomi, infrastruktur, penyahkarbonan dan perlindungan alam sekitar.

KEDAULATAN WILAYAH

Perlu ditegaskan bahagian terbesar pakej sokongan atau AS$60 juta telah didedikasikan untuk keselamatan maritim, yang diterajui oleh Pengawal Pantai AS dalam kapasitinya untuk menyokong Tinjauan ASEAN di Indo-Pasifik (AOIP).

Prinsip yang menjadi asas AOIP termasuk keterbukaan wilayah berdasarkan undang-undang, tadbir urus yang baik dan menghormati undang-undang antarabangsa.

Maka timbul persoalan sejauh mana AS benar-benar komited dalam pelaburan dan perdagangan atau hanya untuk meningkatkan pengaruh tentera dan diplomatiknya di rantau ini?

Selain daripada cabaran ekonomi, isu navigasi dan kerjasama maritim turut menjadi agenda utama. AS mahu memastikan keselamatan maritim, serta kebebasan pelayaran dan penerbangan dan penggunaan Laut China Selatan selaras dengan UNCLOS 1982.

Ia sebahagian daripada retorik AS berhubung dengan Laut China Selatan bagaimanapun perkara yang menjadi persoalan adalah AS sering melaungkan kepentingan untuk mematuhi UNCLOS sedangkan AS tidak menyertai UNCLOS.

Isu Perang Rusia-Ukraine, turut mendapat perhatian ketika persidangan khas AS-ASEAN di mana ia menegaskan kepentingan untuk menghormati kedaulatan, kemerdekaan politik dan integriti wilayah tanpa mengutuk dan menyebut nama Rusia.

Cabaran yang seterusnya adalah bagaimana AS mampu terus meyakinkan pemimpin ASEAN pasca-persidangan.

Isu yang akan menjadi perhatian sama ada Biden akan menyertai Persidangan ASEAN ke-39 di Kemboja secara fizikal pada bulan November nanti?

Ini kerana masa itu juga bertembung dengan pilihan raya pertengahan penggal AS. Ini akan menjadi ujian bagi pentadbiran Biden sejauh mana ia benar-benar komited terhadap ASEAN?

Perkara yang menjadi kebimbangan pemimpin ASEAN adalah kesinambungan dasar AS terhadap ASEAN.

Sebelum ini ketika pentadbiran Obama, juga pernah menunjukkan keinginan AS untuk menjalinkan hubungan erat dengan ASEAN namun hubungan telah menjadi dingin semenjak pentadbiran Donald Trump.

Perkara yang menjadi kebimbangan pemimpin ASEAN sejauh mana ‘era baharu’ AS bersama ASEAN akan bertahan jika ‘Trumpism’ akan kembali berkuasa?

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca