BEBERAPA minggu ini saya menerima berita kematian dari rakan-rakan dan saudara mara. Mereka meninggalkan kita tanpa mengira usia atau taraf mereka.
Ayah dan ibu saya juga sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya. Begitu juga mertua saya. Kematian bukanlah suatu yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan manusia.
Namun mati itu pasti. Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa kita. Ia kekal menjadi rahsia ALLAH SWT sehingga selamanya.
Apa perlu kita lakukan untuk membuat persediaan bagi menghadapi kematian yang pasti itu?
Lazimnya apabila kematian berlaku kepada ahli keluarga kita menangis dan berdukacita.
Perasaan dukacita itu bukanlah suatu yang abnormal kerana mengenangkan segala memori bersama si mati dan perasaan sayang serta rindu yang bakal menjelma kepada si mati. Malah sebahagian dari kita beranggapan sudah putus hubungan antara waris yang ditinggalkan dengan si mati.
Mungkin benar hubungan biasa dilakukan seperti bercakap dan melakukan suatu tindakan bersama tidak dapat lagi dibuat namun hubungan tersebut masih boleh dijalinkan dalam bentuk yang berlainan pula.
Umpamanya bagi menguruskan penyempurnaan jenazah adalah lebih diutamakan waris yang menguruskannya termasuklah memandikan, mengapankan, mengimamkan solat dan mengebumikan jenazah tersebut.
Persediaan hendaklah dibuat bagi kita mempelajari bagaimana menguruskan jenazah. Ilmu ini sangat penting sekiranya kematian berlaku kepada saudara mara. Kita tidak lagi mengharapkan orang lain menguruskan jenazah orang tersayang tetapi menguruskannya sendiri.
Acapkali kita lihat waris lebih melayan tetamu yang hadir berbanding memberi khidmat terakhir kepada si mati.
Malah yang lebih menyedihkan pula harta yang ditinggalkan si mati pula digunakan untuk menjamu tetamu yang datang. Tanpa sedar sebenarnya mereka telah memakan harta anak-anak yatim sekiranya si mati meninggalkan anak-anak kecil. Hukum memakan harta anak yatim adalah jelas keharamannya.
Setelah dikebumikan si mati akan ditinggalkan di dalam kubur berseorangan. Tiada lagi harta saudara mara dan pangkat menemaninya. Anak-anak yang soleh masih lagi boleh berhubung dengan si mati dengan menitipkan doa-doa kebaikan buat ayah bondanya yang telah meninggal dunia.
PENGURUSAN HARTA
Hubungan ini masih berterusan walaupun sesudah kematian leluhur iaitu ayah dan ibu. Amal jariah si mati juga boleh diteruskan agar pahalanya dapat dinikmati oleh si mati yang sudah tidak lagi berupaya melakukan amal soleh.
Hanya tiga perkara sahaja yang dapat memberikan ganjaran kepada si mati iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan juga anak yang soleh mendoakannya. Waris perlu memastikan ketiga-tiga perkara di atas akan berterusan bagi diambil manfaatnya oleh si mati.
Dalam konteks ini sebenarnya terdapat pelbagai ‘ruang perhubungan’ antara si mati dan waris mereka walaupun tidak dapat berkomunikasi secara langsung. Ruang ini perlu dilaksanakan dengan baik sekiranya waris benar-benar sayang kepada si mati.
Bukanlah kasih sayang tersebut diukur dari berapa banyaknya air mata yang mengalir tetapi ganjaran yang dapat diberikan bagi meringankan beban si mati di alam barzakh. Parameter sebenar yang dinilai oleh ALLAH SWT ialah bagaimana kita dapat membantu si mati meningkatkan pahala dan amalan mereka.
Oleh yang demikian apabila berlaku sesuatu kematian, kita harus sedar bahawa dalam kedukacitaan tersebut terselit pelbagai pengajaran dan tindakan yang perlu diambil.
Dalam masa yang sama, melihat kepada isu pengurusan harta si mati, ahli keluarga hendaklah memastikan dan membuat semakan berkaitan hutang si mati, hak orang lain di atas harta si mati dan membuat semakan di agensi tertentu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, syarikat takaful/insurans dan mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan aset sebenar si mati dan bagaimana dapat menguruskannya dengan cara terbaik. Waris wajib melunaskan hutang si mati sekiranya ada.
Jagalah hubungan kita dengan saudara mara kita semasa mereka masih hidup malah sesudah mereka meninggal dunia pun teruskanlah ‘hubungan’ tersebut dengan perkara-perkara yang bermanfaat kepada si mati itu.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca