SHAH ALAM - Pakar kewangan berpandangan rakyat Malaysia tidak perlu terlalu panik susulan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar selagi mempunyai amalan pengurusan kewangan yang baik.
Menurut Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Azizul Azli Ahmad, kerisauan tidak akan mengubah senario turun naik nilai ringgit sebaliknya rakyat perlu bijak menguruskan kewangan masing-masing.
"Kejatuhan ringgit bukan pertama kali berlaku malah banyak mata wang negara lain seperti Yen, Euro dan Swiss Franc juga sedang merudum, apa yang penting kita ada struktur pengurusan kewangan yang baik.
"Bagi mereka yang ada struktur kewangan baik misalnya memiliki simpanan, tabungan dana kecemasan, ada pendapatan pasif dan pelbagai jenis pelaburan maka turun naik nilai ringgit ini tidak terlalu memberi kesan.
"Inflasi di Malaysia adalah pada kadar 2.2 peratus, jauh lebih rendah dari Amerika Syarikat iaitu sebanyak 8 peratus namun dalam ketidaktentuan ekonomi semasa, rakyat harus memastikan simpanan pelaburan memberi pulangan lebih baik dari kadar inflasi negara,” kata Azizul Azli kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Tambah beliau, rakyat juga harus mengamalkan sikap berhemah dalam berbelanja selain memastikan ada pendapatan tambahan serta menghindari hutang baharu yang tidak perlu.
Tidak menafikan penurunan nilai ringgit yang disebabkan nilai dolar yang semakin mengukuh memberi kesan terhadap kenaikan harga barangan produk import, Azizul Azli turut berkata, senario ini boleh digunakan sebagai kesempatan untuk rakyat menyokong produk lokal.
"Dulu mungkin makan strawberi dari luar negara kini boleh beralih strawberi dari Cameron Highlands,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Azizul Azli juga menekankan perkara utama yang patut dibimbangi pada ketika ini berbanding turun naik nilai ringgit adalah perubahan cuaca yang mengakibatkan sumber makanan dunia berkurangan.
"Negara-negara yang mengeluarkan sumber makanan mula mengalami tekanan dan kawalan di mana mereka mula mengurangkan eksport demi memastikan bekalan makanan untuk keperluan dalam negara mencukupi.
"Hal ini akan memberi impak terhadap harga dan lain-lain kos berkaitan pada masa akan datang dan sebagai sebuah negara yang turut mengimport bahan makanan seperti beras sudah pasti Malaysia akan turut terkesan,” katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca