TAHUN ini betul-betul meriah sambutan Aidilfitri, almaklumlah sudah dua tahun kita 'tidak beraya'.
Di sana sini sambutan Aidilfitri masih terasa meskipun kita sudah memasuki fasa setengah Syawal.
Rumah-rumah terbuka juga masih diadakan termasuklah rumah terbuka pemimpin, agensi kerajaan dan kementerian.
Sebut tentang rumah terbuka baru-baru ini Mat Taici mendapat undangan bagi meraikan Aidilfitri di sebuah hotel yang turut mengundang kenamaan dan pak menteri.
Penganjurnya iaitu sebuah yayasan yang berkaitan dengan agensi kerajaan tidak ketinggalan menjemput pelajar, pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang menjadi tetamu istimewa pada sambutan berkenaan.
Majlis berlangsung selayaknya, yang turut mengundang artis-artis bagi memeriahkan majlis, Memang meriah! nyanyian lagu-lagu raya lama dan baru menjadi halwa telinga tak kala hadirin menjamu selera.
Makanan yang dihidangkan pun enak-enak, dengan hidangan nasi berlauk menjadi pilihan penganjur apatah lagi pelajar tahfiz, anak-anak yatim serta pelajar yang hadir turut mendapat sumbangan Aidilfitri.
Namun, dalam sedap menjamu selera, Mat Taici perasan macam ada tidak kena dengan majlis rumah terbuka itu, apabila tiba-tiba persembahan lagu-lagu raya bertukar lagu dangdut dengan tarian menggiurkan.
Seolah-olah seperti di 'show' dangdut, artis berkenaan pulun sungguh memperagakan aksi tarian sensasinya, sehingga majlis menjadi 'agak tidak keruan' dan mendatangkan ketidakselesaan kepada sesetengah hadirin.
Mat Taici bukan apa, kena ingat majlis itu turut dihadiri oleh sebilangan besar pelajar tahfiz yang lengkap berjubah dan berserban, Mat Taici yang berada bersebelahan meja mereka turut terkesima.
Mata sempat menjeling melihat mereka yang turut terpinga-pinga dengan persembahan hangat itu.
Bagi Mat Taici tidak salah untuk meriahkan majlis dengan sedikit hiburan namun biarlah sesuai, orang cakap tengok kiri-kanan, siapa tetamu kita dan audiens yang hadir.
Mat Taici harap kejadian sebegini tidak berulang lagi, kita sebagai manusia salinglah nasihat menasihati, jangan sampai majlis yang bertujuan baik menjadi sebaliknya!
P/S: Bergelek dalam bilik sahaja
Klik di sini untuk terus membaca