SHAH ALAM - Keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022 hingga 2025 yang dijadualkan berakhir pada hari ini, berkemungkinan akan ditangguh dan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada minggu hadapan.
Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hal ini kerana beliau dimaklumkan terdapat sejumlah lapan cabang PKR yang disahkan bakal diadakan proses pengundian semula susulan berdepan masalah teknikal dan logistik.
Jelas beliau, lapan cabang PKR meliputi enam cabang di Kelantan dan Terengganu, satu di Kedah dan satu di Selangor, turut dijadualkan akan diadakan proses undian semula pada 27 dan 28 Mei hadapan.
Tambahnya, jumlah cabang PKR yang akan berdepan proses undian semula mungkin meningkat sekiranya proses pemilihan yang berlangsung di Sabah dan Sarawak serta dua negeri lain ketika ini, turut mencatatkan masalah serupa.
"Memandangkan cabaran mengadakan proses pengundian hibrid di Sabah dan Sarawak adalah melibatkan masalah logistik dan capaian internet yang lemah, JPP akan menilai kelancaran proses pemilihan di dua negeri itu yang meliputi sejumlah 26 dan 32 cabang.
"Kalau bermasalah, pastinya JPP perlu mengadakan proses undian semula. Namun, setakat ini keadaan berjalan baik, malah ada cabang di Sabah yang menyediakan dua atau tiga pusat pengundian susulan lokasi pusat pengundian utama terletak jauh daripada kediaman sebilangan pengundi.
"Berdasarkan situasi terkini, ada kemungkinan pengumuman keputusan pemilihan PKR di seluruh 222 cabang akan ditangguhkan pada minggu hadapan, selari dengan keputusan proses pengundian semula membabitkan lapan cabang berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Sementara itu, penjelasan Shamsul Iskandar itu turut diakui oleh Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa apabila beliau mengesahkan proses pemilihan semula lapan cabang PKR di empat negeri terpaksa dilakukan susulan masalah teknikal dan isu salah faham.
Bercakap kepada portal Malaysiakini, Zaliha juga menjangkakan keputusan tidak rasmi pemilihan di seluruh 222 cabang yang menjadi tumpuan banyak pihak, dijangka tidak akan dapat diketahui seawal hari Ahad atau Isnin.
"Sebaliknya, keputusan pemilihan cabang PKR hanya akan diketahui selepas lapan cabang terbabit selesai melakukan pemilihan semula.
"Lapan cabang berkenaan meliputi lima cabang di Kelantan termasuk Ketereh, Bachok dan Tumpat, satu di Terengganu (cabang Dungun), satu di Kedah (Padang Serai) dan satu lagi di Selangor (Hulu Selangor)," ujarnya.
Tambah Zaliha lagi, tarikh baru pemilihan semula itu belum diputuskan lagi kerana ada tiga negeri lain sedang menjalani pengundian pada Ahad dan mungkin masih ada protes di cabang tertentu.
Katanya, JPP lebih bersedia sekiranya semua pemilihan semula itu jika membabitkan kurang daripada 20 cabang dijalankan pada hari yang sama.
Klik di sini untuk terus membaca