SHAH ALAM - Mana-mana individu termasuk calon-calon yang bertanding pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022-2025, dinasihatkan agar tidak mendahului peranan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam menentukan keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana individu termasuk calon-calon yang bertanding pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal tahun 2022-2025, dinasihatkan agar tidak mendahului peranan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dalam menentukan keputusan pemilihan kali ini.

Pegawai Komunikasi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Jay Jay Denis berkata, mana-mana pihak tidak wajar menjadi 'hakim' dalam menentukan calon mana yang bakal memenangi pemilihan peringkat cabang PKR memandangkan perkara itu masih di peringkat pengiraan undi oleh JPP.

Jelas beliau, dakwaan pihak tertentu mengatakan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador sudah memenangi kerusi Ketua PKR Cabang Gombak daripada tangan Amirudin secara tidak rasmi, juga bersifat semberono dan tidak tepat.

"Perlu diingat, proses pemilihan cabang PKR di Selangor masih baru berlangsung dengan JPP belum mengumumkan sebarang keputusan rasmi siapa pemenang bagi setiap cabang.

"Saya harap jangan ada pihak yang cuba menjadi hakim kepada proses pemilihan kali ini, dengan cuba mendahului JPP dalam mengemukakan keputusan pemilihan tidak rasmi lebih awal.

"JPP seharusnya diberi ruang sebaiknya untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengumumkan keputusan rasmi pemilihan parti agar ahli-ahli PKR tidak terkeliru," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Pertembungan di antara bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador (kiri) dan Amirudin kini menjadi tumpuan utama pemilihan PKR penggal 2022-2025 selain pertembungan dua calon Timbalan Presiden parti itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan seorang pemimpin kanan PKR yang mendakwa Farhash Wafa memenangi kerusi Ketua PKR Cabang Gombak secara tidak rasmi ketika ini.

Ulas sumber terdekat PKR itu, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR juga dipercayai sudah mendahului Amirudin dalam pengiraan undi dengan majoriti lebih 500 undi.

Pendedahan sumber PKR itu amat mengejutkan memandangkan Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor, masih dianggap calon pilihan untuk mengekalkan jawatan ketua cabang Gombak.

Pada pemilihan PKR tahun 2018, Amirudin dipilih sebagai Ketua PKR Cabang Gombak bagi menggantikan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemilihan Amirudin dibuat setelah beliau berjaya mengenepikan saingan pencabarnya, Nizam Md Saad dengan majoriti 1,115 undi.

Mengulas peluang Amirudin mengekalkan kerusi ketua PKR cabang Gombak, Jay Jay berkeyakinan ahli-ahli cabang berkenaan akan membuat keputusan tepat untuk mengekalkan Amirudin, mengambil kira prestasi cemerlang beliau sewaktu mengemudi cabang dan PKR Selangor sejak empat tahun lalu.

Beliau juga percaya ahli-ahli PKR mampu menilai prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis itu yang berjaya memacu negeri Selangor sehingga mencatatkan prestasi memberangsangkan, sekali pun berdepan pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar awal tahun ini.

"Saya yakin dengan peluang kemenangan Datuk Seri (Amirudin) untuk mengekalkan jawatan Ketua PKR cabang Gombak, berdasarkan prestasi cemerlang beliau memimpin cabang dan PKR Selangor sejak empat tahun lalu.

"Saya juga percaya ahli-ahli PKR cabang Gombak akan membuat pilihan tepat, lebih-lebih lagi Datuk Seri terbukti berjaya mengemudi kerajaan negeri Selangor dengan cemerlang sehingga kini," ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca