SHAH ALAM - Kerajaan disaran tidak mengetepikan golongan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20) dalam pemberian subsidi bahan api bersasar yang mungkin dilaksanakan kelak.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa, Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, golongan tersebut yang membayar cukai jalan dan cukai pendapatan dalam jumlah yang tinggi turut terkesan dengan kenaikan harga bahan api di pasaran.
"Subsidi bahan api adalah terlalu kompleks dan sukar dilaksanakan kerajaan kerana tiada mekanisme terbaik dan sempurna yang dapat digunakan.
"Jika kerajaan mahu memberikan subsidi minyak mengikut jenis dan kapasiti kenderaan, sudah pasti ia sukar dilakukan kerana kereta mewah seperti Mercedes-Benz dan BMW sudah ada yang berkapasiti enjin 1800cc dan 2000cc.
"Justeru tidak adil kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kenderaan Nazaria berkapasiti 2500cc. Jadi bagaimana kerajaan mahu pastikan golongan yang selayaknya mendapat subsidi mengikut kapasiti dan jenis kenderaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sebelum ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan berkemungkinan memperkenalkan mekanisme bahan api bersasar untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Kerajaan katanya masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada 2021. Buat masa ini, harga RON95 bersubsidi di Malaysia adalah antara yang paling rendah di rantau ini.
Dalam pada itu Baharom mencadangkan kerajaan mengekalkan pemberian subsidi bahan api kepada rakyat berdasarkan plat pendaftaran kenderaan sebagaimana dilaksanakan hari ini.Mekanisme itu katanya mampu mengelakkan wujudnya amalan arbitraj dalam kalangan mereka yang mendapat keistimewaan subsidi.
"Arbitraj ini adalah mengambil kesempatan terhadap perbezaan harga petrol bersubsidi dan tidak bersubsidi dengan menjualnya kepada pihak lain bagi meraih keuntungan,” jelas beliau.
Penganalisis Ekonomi daripada Universiti Teknologi Mara, Dr Baayah Baba turut menyarankan kerajaan mengekalkan subsidi bahan api sedia ada kepada semua rakyat Malaysia.
"Sekarang RON95 sudah disubsidikan kepada semua pengguna, jadi kerajaan perlu kekalkan kerana ia adalah mekanisme terbaik setakat ini.
"Golongan T20 juga terkesan apabila berlaku kenaikan harga barangan keperluan lain di pasaran, jadi apa salahnya kerajaan kekalkan subsidi RON95 kepada semua rakyat.
"Jika mereka (T20) mahu gunakan RON97 yang harganya lebih mahal, itu terpulang kepada kehendak masing-masing. Apa yang telah dilaksanakan sekarang sudah cukup baik,” tegas Baayah.
JANGAN ABAI M40
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ketika ini kerajaan lebih memfokuskan peruntukan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Menurutnya, keadaan itu akhirnya mengakibatkan kelompok M40 banyak ketinggalan dari segi bantuan.
"Tidak dinafikan situasi ini juga akan memberi kesan kepada mereka sebab kebanyakan mereka adalah golongan yang makan gaji.
"Apabila kos barang dan bahan api naik, mereka adalah antara golongan yang akan terjejas terutama yang tinggal di bandar,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, ura-ura untuk menghapuskan subsidi bahan api sebenarnya telah lama dibincangkan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan masih belum dapat mencari satu mekanisme yang benar-benar boleh membantu rakyat meliputi golongan B40 dan M40.
Jelas beliau, perlu ada mekanisme yang betul-betul boleh berfungsi untuk memastikan hanya golongan sasaran dapat menikmati subsidi tersebut.
"Sebahagian besar daripada subsidi ini sebenarnya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi, lebih kurang 15 peratus sahaja untuk berpendapatan rendah.
"Golongan berpendapatan tinggi pun kadangkala mereka juga menggunakan kereta berkapasiti enjin rendah seperti Perodua Myvi.
"Sebab itu, bagi mencari mekanisme untuk menyasarkan subsidi kepada golongan tertentu itu agak sukar dilakukan,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca