PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung secara ‘aman damai’ adalah bukti jelas parti itu sudah menghapuskan budaya warlord setelah proses pembersihan saki-baki penyokong kartel bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilakukan sebelum ini.
Calon Naib Presiden PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keseluruhan 1.2 juta ahli PKR juga menerima hakikat bahawa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini merupakan pemimpin utama dalam PKR yang perlu dipatuhi mereka.
Jelasnya lagi, parti sudah mengambil iktibar daripada kesan pemilihan PKR penggal 2018-2022 di mana kewujudan ramai warlord yang menguasai parti, menyebabkan PKR berdepan masalah perpecahan dalaman serius sebelum ini.
Berikutan itu, beliau berkeyakinan sekiranya setiap ahli memahami agenda perjuangan parti dan patuh dengan saranan presiden PKR, maka parti tidak akan berdepan masalah perpecahan biarpun proses pemilihan diadakan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kunci utama proses pemilihan PKR kali berjalan lancar dan kurang pergaduhan disebabkan parti akhirnya sudah berjaya menghapuskan budaya warlord dengan warlord kami hanya seorang sahaja iaitu Anwar.
"Dengan setiap ahli faham dengan dasar perjuangan parti dan patuh dengan saranan presiden, justeru tiada masalah besar yang timbul meskipun ramai menjangkakan PKR berisiko berdepan masalah perpecahan serius susulan bertekad mengadakan pemilihan parti sebelum PRU15.
"Secara jelas, PKR tidak mahu melahirkan warlord, sebaliknya proses pemilihan kali ini akan digunakan sebaiknya bagi melahirkan kepimpinan terbaik untuk membantu presiden, selain menghapuskan saki-baki golongan pengkhianat parti,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan proses pemilihan PKR bagi penggal tahun 2022 hingga 2025 yang berlangsung sejak 13 Mei lalu sehingga 22 Mei.
Proses pengundian bagi pemilihan PKR kali ini buat julung kalinya diadakan secara hibrid apabila sebahagian ahli parti boleh memilih sama ada mahu membuat pengundian secara fizikal di seluruh 222 cabang atau mengundi secara atas talian menerusi aplikasi ADIL.
Mengulas mengenai peluang memenangi jawatan Naib Presiden PKR, Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar menyifatkan perkara itu bukan satu keutamaan, sebaliknya semua ahli PKR perlu berganding-bahu mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU15.
Meskipun calon bertanding bagi jawatan Naib Presiden PKR adalah seramai 17 orang, beliau tidak nampak perkara itu menggugat keharmonian parti memandangkan kesemua calon menyedari keperluan parti untuk melakukan pengisian jawatan berkenaan sangat penting.
"Sekiranya calon-calon ini kalah dalam pemilihan parti pun, itu bukan satu masalah kerana parti akan memastikan tiada isu kelompok pemimpin berpotensi yang akan terpinggir kelak.
"Saya yakin kebijaksanaan presiden untuk mengendalikan isu parti dan memastikan keharmonian hubungan sesama ahli PKR sentiasa terpelihara,” katanya.
PAMER KEMATANGAN AHLI
Sementara itu, seorang lagi calon Naib Presiden PKR, Chang Ming Kai berpandangan pemilihan PKR kali ini memperlihatkan kematangan 1.2 juta ahli parti untuk memilih kepimpinan baharu yang lebih kukuh.
Hal ini kerana beliau melihat kelompok penyokong akar umbi PKR tidak lagi terikat dengan senarai cai pemilihan pemimpin yang sinonim diperkenalkan bagi setiap proses pemilihan parti."Sistem pemilihan parti ini kali ini tidak lagi bergantung kepada senarai cai pemimpin yang ditetapkan untuk satu-satu kem, sebaliknya senarai itu berubah mengikut negeri dan keperluan pengundi bagi setiap cabang.
"Saya fikir tiada penetapan nama pemimpin dalam cai kepimpinan kem tertentu adalah yang terbaik.
"Hal ini penting supaya barisan kepimpinan yang dilantik selepas pemilihan PKR adalah satu pasukan yang kukuh dan meletakkan keutamaan kepada agenda perjuangan parti,” tegas Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Klik di sini untuk terus membaca