SEHINGGA kini, pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti masih mencetuskan teka-teki sama ada ia mampu digubal kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya. Hal ini kerana akta berkenaan, yang merupakan sebahagian janji... Klik di sini untuk terus membaca

SEHINGGA kini, pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti masih mencetuskan teka-teki sama ada ia mampu digubal kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya.

Hal ini kerana akta berkenaan, yang merupakan sebahagian janji persetujuan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Parlimen dan Kestabilan Politik di antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH), hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai hadapan, setelah tertangguh dua kali sebelum ini.

Ditambah dengan jangka hayat MoU gencatan politik di antara kerajaan dan PH turut berakhir pada bulan sama, terdapat kebimbangan usaha penggubalannya tidak menjadi kenyataan sekiranya prosesnya tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan Dewan Rakyat terbubar lebih awal.

Pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti dianggap penting bagi memastikan episod wakil rakyat kerap 'lompat parti' dan mencetuskan ketidakstabilan kerajaan sejak empat tahun lalu, tidak lagi berulang selepas PRU15.

Begitu juga dengan pelaksanaan Akta Pendanaan Parti Politik. Hal ini kerana kewujudan akta ini, sekiranya dibentang dan diluluskan Parlimen kelak, mampu melengkapkan objektif penggubalan Akta Anti Lompat Parti.

Ismail Sabri ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet kali pertama secara bersemuka di Bangunan Perdana Putra.

DUIT POLITIK TIDAK DIKAWAL

Dalam erti kata mudah, motif kebanyakan wakil rakyat melompat parti sehingga jatuhnya sesebuah kerajaan adalah disebabkan mereka tertarik dengan tawaran jawatan, imbuhan dan habuan politik yang datangnya daripada aktiviti pendanaan politik yang tidak dikawal selia.

Justeru, keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik atau dikenali Akta Pendanaan Parti Politik pada Khamis, dianggap satu keputusan tepat.

Namun begitu, apabila Ismail Sabri menyatakan keputusan persetujuan itu perlu dibincangkan di peringkat mesyuarat Kabinet terlebih dahulu sebelum diadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik lain, ramai pemerhati politik berasa agak skeptikal.

Hal ini kerana kelompok ini bimbang cadangan itu sekadar bersifat populis dan hanya bertujuan untuk meningkatkan imej positif kerajaan sedia ada yang diketahui tidak kukuh.

Sebagai contoh, inisiatif kerajaan untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti sejak bulan Mac lalu, tertangguh sehingga Julai hadapan disebabkan terdapat segelintir menteri kabinet tidak bersetuju dengan beberapa cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang perlu dilakukan bagi merealisasikannya.

"Akta Pendanaan Politik ini sudah dicadangkan UMNO sejak zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak lagi. Namun apabila cadangan itu dikemukakan, ia ditolak mentah-mentah oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Sekarang ini, kalau ia kembali dibawa dalam mesyuarat kabinet, Perdana Menteri daripada UMNO masih tidak boleh beri kata muktamad untuk merealisasikannya. Ini kerana tidak semua menteri kabinet akan bersetuju dengan cadangan itu memandangkan masing-masing mewakili parti berlainan.

"Perkara ini dapat dibuktikan menerusi penangguhan pembentangan Akta Anti Lompat Parti sebelum ini, apabila beberapa menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti-parti lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bersetuju mengenainya. Situasi sama akan berulang kelak," jelas bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Sinar Premium pada Jumaat.

LEBIH SUKAR DARIPADA RUU ANTI LOMPAT PARTI

Secara teorinya, proses pelaksanaan Akta Pendanaan Parti Politik dianggap lebih sukar daripada penggubalan Akta Anti Lompat Parti kerana inisiatif perangkaan draf RUU sebegini kebiasaannya menelan masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan.

Wong Chen

Hal ini kerana isu berkaitan dana politik ini mempunyai lebih banyak perkara kerumitan berhubung keperluan pindaan perlembagaan parti dan Perlembagaan Persekutuan, berbanding dengan RUU Anti Lompat Parti.

"Ia adalah inisiatif yang baik. Cuma saya risau kerajaan akan berdepan masalah kesuntukan masa untuk merangka RUU Pendanaan Parti Politik sebelum PRU15 diadakan.

"Hal ini kerana kita kena melihat apakah klausa-klausa yang terkandung di dalam RUU itu. Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan di antara wakil kerajaan dan parti pembangkang untuk memastikan RUU itu tidak akan menindas parti-parti pembangkang kelak," ujar Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Di sebalik kesukaran itu, Wong Chen tidak menganggap cadangan kerajaan Ismail Sabri itu merealisasikan Akta Pendanaan Parti Politik sebagai perkara populis, sebaliknya ia satu keperluan demi kepentingan amalan demokrasi lebih subur.

WAJIBKAN HAD MAKSIMUM SUMBANGAN POLITIK

Lebih menarik, beliau mencadangkan RUU berkenaan mewajibkan penetapan had maksimum nilai sumbangan politik, baik daripada individu persendirian atau entiti korporat, yang tidak melebihi RM5,000 sebulan dengan kesemua butiran wang derma ini perlu diterbitkan untuk penelitian umum.

Ahli Parlimen daripada PKR itu juga mendesak kerajaan untuk membentang dan meluluskan RUU berkenaan sebelum PRU15 bagi tujuan membanteras rasuah dan menghentikan amalan kroni kapitalisme yang semakin membarah di negara ini.

"Yang penting, akta ini kena ada peruntukan dana terus daripada kerajaan kepada parti-parti politik berdasarkan keputusan pilihan raya sebagai satu insentif dan balasan setimpal.

"Semua parti politik pula perlu bersetuju untuk diaudit dan disemak setiap akaun yang digunakan secara telus. Kalau tidak, rakyat akan menganggap bahawa cadangan penggubalan RUU berkenaan hanyalah sebagai satu lagi tipu helah politik," tegasnya lagi.

SUKAR REALISASI SEBELUM PRU15

Bagaimanapun, Mohamad Khir berpandangan cadangan merealisasikan penggubalan Akta Pendanaan Parti Politik mahu pun Akta Anti Lompat Parti, tidak akan mampu dilaksanakan kerajaan sebelum PRU15.

Dr Mohamad Khir Toyo

Hal ini kerana kerajaan sedia ada adalah tidak kukuh dan boleh diibaratkan seperti 'tidur sebantal, mimpi lain-lain'.

"Dengan setiap parti berisiko mendedahkan siapa 'penaja' sebenar yang mendanai pergerakan politik mereka selama ini termasuk Pas, saya skeptikal PH, Perikatan Nasional (PN) mahu pun Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bersetuju dengan RUU itu.

"Sebab itu, saya fikir adalah lebih baik PRU15 diadakan lebih awal supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk sebuah kerajaan kukuh dan stabil terlebih dahulu, sekali gus memudahkan urusan penggubalan Akta Anti Lompat Parti dan Akta Pendanaan Parti Politik secara berserentak," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca