SHAH ALAM - Rata-rata golongan berpendapatan sederhana (M40) yang tinggal dan bekerja di bandar melahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang berkemungkinan tidak membabitkan mereka.Ini kerana dasar tersebut dijangka meningkatkan perbelanjaan sedia ada yang diperuntukkan bagi kenderaan dan seterusnya memberi tekanan untuk mereka tinggal di bandar.
Seorang pegawai kredit dari Cheras, Kuala Lumpur, Noradzlin Mohd Norzuki, 50, berkata, dia tidak bersetuju jika subsidi bersasar itu tidak melibatkan kumpulan kelas pertengahan.
"Kalau tidak ada subsidi itu memang parah kerana kita memandu setiap hari untuk pergi kerja dan jalan pula biasa sesak. Dekat situ sahaja dah pakai banyak minyak,” katanya kepada Sinar Harian.
Noradzlin yang mempunyai tiga orang anak berkata, dia memperuntukkan antara RM400 hingga RM500 sebulan untuk menampung kos perbelanjaan minyak petrol keretanya bagi kegunaan harian.Sementara itu, seorang jurutera teknologi maklumat dari Shah Alam, Mohd Aiman Syazani, 25, berkata dengan pemberian subsidi pada ketika ini pun kos perbelanjaan minyak kereta sudah mencecah lebih RM350 sebulan.
Katanya, ketiadaan subsidi juga bakal meningkatkan perbelanjaan sebanyak sekali ganda berbanding biasa.
"Jadi dengan barang keperluan seharian dan kos utiliti yang sering naik dan tak menentu, ini akan menambah kos sara hidup yang perlu ditampung,” katanya yang masih bujang dan bekerja di bandar raya Kuala Lumpur.
Mohd Aiman berkata, penarikan subsidi pukal itu juga sekiranya tidak dilakukan secara adil bakal membebankan ramai pekerja yang kini membuat pilihan tinggal jauh dari tempat kerja dengan menetap di pinggir bandar akibat kos pemilikan rumah yang tinggi.
Sementara tu, seorang jurutera rangkaian dari Shah Alam, Harith Shauqi Sani, 25, memberitahu ketiadaan subsidi itu akan memberi kesan terhadap kebanyakan individu sepertinya yang terpaksa memilih kereta sebagai pengangkutan utama antaranya atas faktor keperluan kerja.
"Sebagai contoh, saya perlu gunakan kereta kerana tugasan kerja memerlukan saya bergerak ke beberapa lokasi.
"Selain itu, ramai juga memilih untuk menggunakan kereta kerana ia lebih selamat dan efisien untuk bergerak berbanding pengangkutan alternatif lain yang ada di bandar.
"Disebabkan itu, saya juga merasakan banyak individu yang akan mengalami kesan ke atas perbelanjaan diperuntukkan untuk pengangkutan harian jika subsidi petrol tidak diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca