SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk menutup semua taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak meskipun kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan semakin meningkat. Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk menutup semua taska, tadika dan pusat jagaan harian kanak-kanak meskipun kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan semakin meningkat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, penutupan sementara hanya perlu dilakukan oleh premis yang mempunyai kes penularan penyakit HFMD dan tidak melibatkan premis lain.

"Jika taska, tadika atau pusat jagaan mempunyai kes HFMD yang dilaporkan, maka premis berkenaan wajib tutup sementara bagi memutuskan rantaian jangkitan selain lakukan pembersihan serta pembasmian kuman.

"Jika tiada sebarang kes dilaporkan, maka premis boleh beroperasi seperti biasa namun perlu memastikan kebersihan berada di tahap terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes penyakit HFMD di negara ini mencatatkan angka yang tinggi iaitu 31,661 kes.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir 14 Mei lalu berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

Mengulas lanjut Dr Mohd Dzulkhairi berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan penularan penyakit HFMD tidak berleluasa dalam kalangan anak-anak mereka.

"Mereka (ibu bapa) perlu memastikan bahawa anak-anak yang tidak sihat tidak dihantar ke pusat jagaan bagi mengelak berjangkit kepada individu lain.

"Anak-anak yang dijangkiti HFMD pula perlu dikuarantin di rumah dan pastikan mereka sentiasa dalam keadaan bersih agar cepat sembuh,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca