PARIS - Awal minggu lalu, Elisabeth Borne dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis yang baharu susulan kemenangan Emmanuel Macron dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini. Pelantikan itu sekali gus mengulangi sejarah 30 tahun lalu di mana... Klik di sini untuk terus membaca

PARIS - Awal minggu lalu, Elisabeth Borne dilantik sebagai Perdana Menteri Perancis yang baharu susulan kemenangan Emmanuel Macron dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini.

Pelantikan itu sekali gus mengulangi sejarah 30 tahun lalu di mana seorang wanita buat kali pertama menyandang jawatan tersebut.

Pada 15 Mei 1991, Edith Cresson muncul wanita pertama dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Presiden ketika itu, Francois Mitterrand.

Bagaimanapun, Cresson tidak popular dalam kalangan pengundi dan terpaksa berundur selepas berkhidmat dalam tempoh kurang daripada setahun susulan prestasi buruk Sosialis dalam Pilihan Raya Wilayah 1992.

Ia adalah tempoh perkhidmatan terpendek bagi mana-mana Perdana Menteri dalam sejarah Perancis.

Pelantikan Borne dibuat ketika pentadbiran baharu Macron melakukan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Parlimen pada Jun ini.

Borne, 61, dilantik bagi menggantikan Jean Castex yang mengetuai barisan Kabinet Perancis pada Julai 2020 tetapi meletak jawatan lebih awal pada 16 Mei lalu.

Kabinet baharu di bawah pimpinan Elisabeth Borne akan cuba mendapatkan majoriti Parlimen yang diperlukan Macron untuk melaksanakan cadangan dasar semasa berkempen pada Pilihan Raya Presiden bulan lalu.

TREK REKOD BORNE

Seorang birokrat yang bekerjaya dan lemah lembut, Borne bertugas di bawah ramai menteri Parti Sosialis sebelum menyertai kerajaan Macron.

Borne juga pernah berkhidmat sementara sebagai Menteri Alam Sekitar pada 2019, di mana beliau melaksanakan polisi mesra basikal.

Beliau kemudian mengambil alih Kementerian Buruh dan menyelia rundingan dengan kesatuan yang menyebabkan pemotongan faedah pengangguran bagi sesetengah pencari kerja.

Di bawah pengawasannya, kadar pengangguran menurun ke tahap paling rendah dalam tempoh 15 tahun dan pengangguran belia juga turun ke tahap terendah dalam 40 tahun.

Tugas pertama

Sejurus dilantik Perdana Menteri, Borne mengalih tumpuan kepada Pilihan Raya Parlimen yang dijadualkan pada 12 dan 19 Jun depan.

Beliau akan cuba mendapatkan majoriti Parlimen yang diperlukan Macron untuk melaksanakan cadangan dasar semasa berkempen pada Pilihan Raya Presiden bulan lalu.

Pilihan Raya Parlimen Perancis untuk menentukan kerusi dalam Dewan Negara - diadakan dalam dua pusingan pengundian dan parti-parti di kedua-dua sayap kiri dan sayap kanan cuba mengurangkan majoriti berpusat kepada Macron.

Jika parti Macron memenangi pengundian tersebut, Borne kemudian perlu memastikan bahawa perubahan had umur persaraan dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Presiden dimasukkan ke dalam undang-undang termasuk menaikkan usia persaraan minimum 62 kepada 65 tahun. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca