BUKU Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei ditulis oleh sahabat saya Mohd Shah Ibrahim (Shah) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada awal tahun ini. (Isteri Shah dan isteri saya adalah daripada satu angkatan semasa mereka belajar di... Klik di sini untuk terus membaca

BUKU Mengapa Saya Tidak Ikut U-Wei ditulis oleh sahabat saya Mohd Shah Ibrahim (Shah) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada awal tahun ini.

(Isteri Shah dan isteri saya adalah daripada satu angkatan semasa mereka belajar di Kolej Tengku Kurshiah dulu) Buku memoir yang menarik ini mempunyai keupayaan untuk merangsang fikiran dan menyentuh perasaan.

Dengan kerencaman pengalaman hidupnya, penulis memerhati, menganalisis dan mencatatkan sikap dan tingkah laku pelbagai tokoh intelektual, aktivis perfileman di dalam dan di luar dunia filem. Terlalu ramai yang ditemuinya dan semuanya diamatinya dengan pemerhatian yang kritis.

Shah mula mencatatkan nota untuk bukunya pada 1992; dan pada masa itu juga beliau memberi gelaran intelektual filem kepada U-Wei Saari (halaman 77). Dengan kegigihan seorang penulis yang mempunyai misi hayat, beliau mengharungi segala badai kehidupan dengan saiz manuskrip yang bertambah besar, sementara isinya semakin mantap dan lengkap.

Ia mula ditulis pada 2016 dan siap diserahkan kepada DBP pada 2019. Ini bermakna sejak nota pertama dicatat pada 1992 hinggalah penerbitan buku ini pada 2022, ia merupakan satu projek buku yang mengambil masa tiga dasawarsa untuk disiapkan! Seperti biasa suntingan yang dilakukan oleh editor DBP mempunyai kualiti yang disegani.

Namun, saya masih bertegas bahawa istilah 'Allahyarhamah' (salah di sudut nahu Arab) yang digunakan dua kali dalam buku ini sepatutnya digantikan dengan Allahyarham (untuk lelaki dan wanita) atau Almarhumah (bagi wanita).

Pertama kali saya bertemu U-Wei Saari ialah sekitar tujuh tahun silam apabila kami menjadi panelis sebuah forum tentang ilmu dan kehidupan, di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) yang kini dikenali sebagai Universiti Cyberjaya. Saya ialah Dekan Pengasas Fakulti Perubatan dan mantan Naib Presiden Kanannya (2005-2012).

INTERAKSI PERSONALITI

Kali kedua kami bertemu ialah sewaktu jamuan Aidilfitri 1440 pada tahun 2019; dan gambar kami bersama-sama Shah serta Ketua Pengarah DBP (Datuk Abang Salehuddin Abg Shokran) masih terus tersimpan. Masa itu saya sedang menggalas amanah sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola, DBP.

Aspek terpenting buku ini ialah ia berjaya memaparkan dinamik hubungan insani serta interaksi personaliti di sebalik tabir dunia filem. Ini bersekali dengan segala cabaran kewangan yang menjadi cabaran sutradara, penerbit dan juga kru filem.

Dalam buku ini terdapat banyak panduan serta kata bestari yang relevan sepanjang zaman dan dalam berbagai keadaan. Saya nukilkan beberapa misalan.

"Kalau nak buat, buat betul-betul, kalau tak, baik jangan buat langsung." Ini dikatakan oleh Allahyarham ibunda Shah (halaman 22).

Pendapat Shah mengenai kerja filem atau video adalah ia bukanlah tentang membuat bisnes; ia adalah berkenaan membina hubungan (halaman 60).

"Karya yang bagus ialah karya yang berfikir" menurut Allahyarham Diana Gail Saari @ Usah (halaman 191). Seperti siasah cetek di Malaysia, banyak filem Melayu mengajak penonton supaya tidak berfikir; hanya perlu enjoy dan gelak ketawa apabila menonton. Ini pendapat saya.

Shah mengiktiraf kebolehan U-Wei menjawab beberapa soalan daripada teman-teman dari luar negara tentang Islam (halaman 173). Bila ditanya oleh kawannya, Shah menegaskan dia tidak mahu ikut U-Wei dan "Aku nak ikut takdir..." (halaman 132); satu pernyataan yang tegas.

Satu kelemahan buku ini adalah kemangkiran (absence) indeks yang sudah tentu jika ada, dapat membantu pembaca merujuk halaman yang relevan secara cepat.

Penulisan serta penerbitan buku ini adalah satu usaha yang bersulam dengan kasih. A labour of love.

* Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Profesor Psikiatri dan Aktivis Masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca