BANGI - Pas berkemungkinan tidak akan menyertai khemah besar bersama parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, namun mereka akan terus mempertahankan permuafakatan yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN)... Klik di sini untuk terus membaca

BANGI - Pas berkemungkinan tidak akan menyertai khemah besar bersama parti pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, namun mereka akan terus mempertahankan permuafakatan yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini kepimpinan parti tidak pernah mengadakan perbincangan secara khusus mengenai pembentukan khemah besar bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

"Malah, Pas hanya akan mengadakan perbincangan dengan parti mewakili orang Melayu/Islam serta parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.

"Kita juga sedia menerima Parti Amanah Negara (Amanah) jika mereka bersedia meninggalkan DAP," kata kepada Sinar Premium selepas menghadiri majlis rumah terbuka di sebuah hotel di Bangi, pada Isnin.

IDRIS

Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, biarpun Jawatankuasa Induk MN sudah lama tidak mengadakan mesyuarat, namun beliau sering bertemu dengan pemimpin UMNO bagi membincangkan kepentingan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha untuk memperkukuhkan MN perlu dilakukan secara berterusan oleh pemimpin Pas dan UMNO dari masa ke masa.

"Pas sentiasa bersedia mengadakan perbincangan dengan UMNO dan parti lain mengenai soal untuk memperkukuhkan kerjasama dalam MN dan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Oleh itu, saya berharap semua parti dipimpin oleh orang Melayu/Islam supaya tidak terlalu mementingkan diri sendiri dan ego demi kemaslahatan ummah.

"Kalau pemimpin parti berkenaan berasa ego tolong tunjukkan kepada saya kerusi dan negeri mana mereka boleh memerintah secara solo selepas PRU15 nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca