KOTA BHARU - Masalah bekalan air bersih yang membelenggu Kelantan hampir tiga dekad lalu dianggap sebagai duri dalam daging buat penduduk di negeri ini termasuklah golongan perantau meskipun mereka hanya pulang ke kampung halaman sekali sekala.
Bertambah ‘parah᾿ setiap kali tiba musim perayaan, penggunaan air melebihi kapasiti penawaran yang mampu disediakan pengendali perkhidmatan tersebut.
Situasi itu menyebabkan ada dalam kalangan perantau ‘hilang᾿ selera untuk menyambut Aidilfitri apabila terpaksa berdepan gangguan bekalan air.
Perantau, Mohammad Azihan Che Seman berkata, perasaan teruja menyambut lebaran bertukar duka selepas berdepan masalah gangguan air.
"Masalah ini bukan baharu, ia sudah lama berlaku dan menjadi lebih parah setiap kali tibanya musim perayaan.
"Sudahlah penat meredah kesesakan lalu lintas, bila sampai di rumah bekalan air pula tiada,” katanya.
Bagi Mohd Shokri Ramli, 56, pula, dia sudah muak dengan alasan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri berkait dengan isu bekalan air bersih.
"Saya melihat alasan yang diberikan sudah tidak relevan dan kebanyakan perantau mahu melihat perubahan. Bukan bercakap secara retorik atau sindiran sinis tanpa membuat sebarang usaha untuk mengatasi masalah ini,” katanya.
Menurutnya, jika alasan terus diberikan berkemungkinan besar kerajaan negeri akan hilang sokongan daripada anak-anak Kelantan di perantauan.
Katanya, menjadi lebih parah apabila penduduk tetap di negeri ini dilihat sudah mula bosan dengan sikap kerajaan negeri.
‘ISTIQAMAH BAYAR BIL, TAPI AIR TIADAA
Dalam pada itu, penduduk di Kampung Bechah di Pasir Mas mendedahkan mereka tetap ‘istiqamah᾿ membayar bil bulanan air sebanyak RM4.50 meskipun bekalan itu gagal disediakan oleh operator Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Abe Wie berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan berdepan tunggakan sekali gus memberikan masalah kepadanya pada masa hadapan.
"Mahu atau tidak itulah pilihan yang ada ketika ini. Apa yang boleh saya katakan angin lebih banyak keluar daripada air,” katanya.
Menurutnya, setiap bulan penduduk di kampung berkenaan tetap konsisten menerima bil air bulanan daripada AKSB.
Katanya, bekalan air hanya akan muncul sekali-sekala pada waktu awal pagi menyebabkan dia dan penduduk setempat terpaksa ‘berjaga᾿ malam untuk mendapatkan air.
Abe Wie berkata, dia terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air telaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Situasi itu bertambah perit apabila tiba musim kemarau kerana telaga rumah saya selalu kering,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Teliar, Muhammad, 38, pula berkata, dia tidak dapat memasang alat penapis air di rumah bagi mendapatkan air bersih ekoran bekalan air AKSB tidak menentu.
Katanya, dia kini terpaksa membeli air botol dari mesin penapis untuk kegunaan harian seperti minum, memasak dan mencuci makanan.
"Rumah saya berhampiran kawasan sawah, bila buat telaga tiub air yang keluar berbau. Air itu saya hanya guna untuk mandi sahaja. Cuci pakaian, saya terpaksa hantar dobi kerana bimbang pakaian akan rosak. Ini sahaja pilihan yang ada untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
CAMPUR TANGAN POLITIK PUNCA MASALAH AIR
Dalam pada itu, campur tangan politik dikatakan menjadi punca utama masalah bekalan air bersih yang membelenggu Kelantan sejak sekian lama gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, susulan campur tangan politik itu menyebabkan bekalan air bersih di negeri ini ketinggalan 10 tahun ke belakang selepas Pas mulai mentadbir pada 1990.
"Pada tahun 1990, selepas UMNO kalah, mereka terus membatalkan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM600 juta,” katanya.
Menurutnya, bermula dari situ kerajaan negeri tidak diberi bantuan untuk selesaikan masalah air sehingga 10 tahun Kelantan ketinggalan dalam isu air.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 10 tahun itu Kelantan ‘didera᾿ daripada pelbagai aspek ekoran perbezaan politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menegaskan beliau konsisten mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini mengatakan campur tangan politik punca masalah air Kelantan gagal diselesaikan.
"Kita bukan nak cari alasan, tetapi inilah fakta sejarah. Lebih mengejutkan ada pimpinan UMNO pernah buat pengakuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengatakan dia salah seorang yang menyekat peruntukan itu,” katanya.
Mohd Amar berkata, semua ini fakta yang bukan direka-reka untuk meraih simpati atau sebagainya.
Katanya, bagaimanapun perubahan dalam tampuk pentadbiran kerajaan memberi kesan positif kepada Kelantan dalam menyelesaikan masalah ini.
Klik di sini untuk terus membaca