SHAH ALAM - Pemerhati politik berpandangan bahawa tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung di bawah satu ‘khemah besar’ bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemerhati politik berpandangan bahawa tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung di bawah satu ‘khemah besar’ bagi menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Kemungkinan tersebut ada kerana semua parti politik sentiasa berubah, bersimulasi, mencari ruang untuk memperoleh kelebihan dan mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

PN dan PH juga perlu bekerjasama antara satu sama lain jika tidak peluang mereka untuk mempertahankan kebanyakan kerusi sedia ada yang dimenangi pada PRU14 lalu amat sukar.

Oleh itu, tidak hairanlah jika Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini mengajak semua parti termasuk PH bergabung kekuatan dan bekerjasama bagi menumpas BN dalam PRU15, sekali gus mengelak golongan kleptokrat kembali berkuasa dalam negara.

Malah, ada yang berpandangan jika PN dan PH bergabung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, maka BN mungkin kalah lebih 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, oleh kerana undi pembangkang berpecah kepada banyak kumpulan dan ramai pengundi muda tidak keluar mengundi, maka ia memberi kelebihan kepada BN dan UMNO untuk menang 40 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN Johor, manakala PH (11), PN (tiga) serta masing-masing satu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR.

Biarpun BN dan UMNO menang dalam PRN Johor dan Melaka, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Univesiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, itu tidak bermakna mereka boleh mengulangi kejayaan sama dalam PRU15 nanti.

Berikutan itu, Mazlan berkata jika PN dan PH bekerjasama serta berlaku pertembungan dua penjuru maka BN akan menghadapi tentangan kuat dalam PRU15 nanti.

Bagaimanapun, Mazlan tidak menolak kemungkinan BN dan UMNO juga mempunyai strategi tersendiri dan akan mengadakan perbincangan bersama parti lain termasuk PKR dan Pas untuk membentuk jajaran politik baharu menjelang PRU15 dan membentuk kerajaan baharu nanti.

"Sebagai contoh sekarang ini saya ada dengar bahawa mereka sedang dalam proses perbincangan dengan Pas untuk mewujudkan semula kerjasama menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN).

"Saya juga difahamkan beberapa pemimpin UMNO dan PKR mengadakan perbincangan mengenai kemungkinan mereka membentuk jajaran baharu politik dan bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti,” katanya kepada Sinar Premium.

FAKTOR PENGUNDI MUDA

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan PRU15 sukar diramal kerana ramai pengundi muda tidak menunjukkan petanda jelas sama ada mereka menyokong BN, PN mahu pun PH, malah penyertaan mereka dalam PRN Melaka dan Johor amat rendah.

"Kita tidak nampak sejauh mana kekuatan ‘ombak dan gelombang’ pengundi muda dan golongan atas pagar. Mungkin berlaku pada PRU15 kerana mereka menghadapi kelesuan dan kurang berminat dengan situasi politik semasa di negara ini sekarang berikutan pergolakan tiada kesudahan, sejak selepas PRU14 lalu.

"Ini kerana belum ada satu kajian khusus dibuat bagi menunjukkan ke mana arah sebenar sokongan golongan muda dan pengundi atas pagar terhadap parti politik di Malaysia sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pas dijangka menghadapi masalah untuk menang kembali negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15.

"Saya melihat UMNO begitu bersungguh-sungguh untuk merampas kembali pemerintahan kerajaan di tiga negeri itu.

"Pada masa sama ‘mood’ rakyat sekarang kurang berpuas hati dengan Pas terutama di Kelantan dan Terengganu berkaitan isu bekalan air bersih dan pembangunan.

"Sebagai contoh apabila saya pergi ke negeri yang terlibat dan bercakap dengan penduduk di sana, ramai rakyat di sana marah dan tidak berpuas hati dengan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas yang gagal menyelesaikan pelbagai isu terutama masalah bekalan air dan bantuan kewangan. Ia berbeza ketika zaman BN yang banyak membantu rakyat,” katanya.

Katanya, rakyat juga tertanya-tanya ke mana hala tuju Pas sekarang kerana dilihat kurang memperjuangkan isu berkaitan pelaksanaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355.

"Justeru itu, rakyat ingin tahu adakah Pas masih dengan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam seperti semasa mereka menjadi pembangkang kerana selepas menjadi sebahagian kerajaan mereka kurang menyengat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca