SHAH ALAM - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan supaya penggunaan tulisan pada papan tanda, papan iklan, nama jalan dan nama taman perumahan perlu mendapatkan kelulusan agensi itu secara terus sebelum dibenarkan untuk pemasangan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan supaya penggunaan tulisan pada papan tanda, papan iklan, nama jalan dan nama taman perumahan perlu mendapatkan kelulusan agensi itu secara terus sebelum dibenarkan untuk pemasangan di kawasan yang dimohon.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, sebelum ini DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan perundangan kepada mana-mana syarikat sekiranya terdapat kesalahan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda terlibat.

"DBP tidak mempunyai fungsi penguatkuasaan untuk mengenakan tindakan terhadap penyalahgunaan bahasa Melayu ekoran akta sedia ada hanya berkaitan penubuhan DBP.

"Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan meminda akta DBP, maka kita akan cari kaedah bagaimana DBP boleh berkuasa penuh dan bukan lagi melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ismail Sabri pada Ahad memaklumkan kerajaan bersedia untuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi itu dalam memastikan bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Katanya, DBP perlu membentangkan perkara terbabit kepada kabinet sebelum dibahaskan di Parlimen untuk dipinda.

Mengulas lanjut Abang Sallehuddin berkata, sudah tiba masanya DBP diberi kuasa penuh terhadap penyalahgunaan bahasa di tempat awam agar perkara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Orang ramai sering menyalahkan DBP apabila bahasa kebangsaan tidak digunakan dengan betul di tempat awam, seolah-olah DBP tidak menjalankan tanggungjawab atau beri perhatian terhadap kesalahan itu.

"DBP sentiasa bekerjasama dengan PBT dan apabila agensi itu perlu luluskan lesen papan iklan, papan tanda atau nama premis, mesti ada kelulusan DBP terlebih dahulu barulah lesen dikeluarkan. Namun PBT boleh juga untuk tidak mengikut nasihat DBP.

"Setakat ini kuasa DBP lebih kepada pematuhan, bukan kualiti, kita tidak ada kuasa untuk denda mereka yang melanggar penggunaan bahasa,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca