SHAH ALAM - Persatuan pengguna meminta rakyat Malaysia agar membuat pilihan bijak termasuk menangguhkan sementara pembelian ayam sebagai langkah untuk menangani isu kenaikan harga ayam ekoran daripada kekurangan bekalan bahan makanan tersebut di dalam negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna harus sedar bahawa isu peningkatan harga itu bukan kali pertama berlaku kerana ia dilihat sebagai satu rutin terutamanya setiap kali tiba musim perayaan.
"Pengguna kena didik diri yang pertama beli barang bila perlu, kalau tidak jangan beli atau kalau perlu tangguh kita tangguh.
Yang pentingnya tindakan tangguh itu sebab kalau kita tidak buat sesuatu, harga barang ini akan naik.
"Dia dah berpuluh tahun tiap kali musim raya, raya haji, masa itu juga nak naik. Musim hujan dan musim kemarau mesti nak naik. Ada sahaja sebab nak naikkan harga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut bersetuju agar masyarakat mengurangkan sedikit kebergantungan terhadap daging ayam buat sementara waktu dengan memilih sumber protein alternatif lain yang berada di pasaran.
"Mungkin buat sementara waktu ini kita boleh dapatkan makanan untuk keluarga daripada sumber protein lain seperti sayuran, kekacang dan termasuk ikan,” katanya.
Pada masa sama, CAP turut menggesa kerajaan agar mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah kekurangan bekalan ayam itu kerana bahan makanan itu adalah antara sumber makanan mampu milik pengguna di Malaysia berbanding daging lembu dan kambing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, untuk menangani isu tersebut, pengguna seharusnya melakukan pembelian sekadar mencukupi bagi keperluan keluarga.
Katanya, pengguna juga perlu lebih peka terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan harga makanan akibat kekurangan bekalan dan mengelakkan pembelian panik.
"Belilah hanya mencukupi untuk keluarga anda. Jangan banyak sangat. Selain itu, kepada peniaga pula, kalau boleh kurangkan pembaziran dalam pengeluaran produk mereka.
"Ini bagi mengelakkan berlakunya gangguan teruk terhadap penawaran di pasar. Jadi masyarakat umum contohnya kumpulan B40 boleh dapatkan ayam pada harga berpatutan untuk makanan seharian mereka,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca