SHAH ALAM - Kira-kira 77 peratus pelayar Instagram Sinar Harian setuju untuk memboikot pembelian ayam dalam tempoh dua minggu ini berdasarkan undian yang diperoleh setakat jam 8 alam Isnin.
Kesediaan mereka itu adalah bagi menunjukkan kuasa pengguna susulan tindakan syarikat-syarikat penternak menutup ladang mereka sehingga menjejaskan bekalan ayam mentah di pasaran.
Selain itu, lapan peratus menyatakan mereka tidak mahu memboikot pembelian ayam manakala lapan peratus yang lain berpandangan akan mempertimbangkannya.
Selebihnya iaitu lima peratus pula menyatakan mereka tidak pasti sama ada mahu memboikot atau tidak pembelian ayam di negara ini.
Undian bagi mendapatkan pandangan awam itu mula dibuka pada jam 2.30 petang Isnin dan tamat pada 2.30 petang Selasa.
Sementara itu, pakar menyarankan supaya orang ramai menggunakan kuasa pengguna mereka untuk melakukan boikot terhadap peniaga yang menaikkan harga barang dan bekalan ayam.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pengguna perlu bergerak secara kolektif bersama persatuan pengguna dalam menyuarakan pandangan dan hak membeli mereka kepada pihak berkaitan.
"Pengguna boleh tengok mana-mana pihak yang ada memanipulasi harga, kita boleh boikot buat sementara waktu untuk ajar mereka.
"Pengguna perlu bersatu. Kalau ada keperluan untuk boikot pihak tertentu, gunakanlah kuasa pengguna itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, persatuan-persatuan pengguna banyak memperjuangkan isu-isu melibatkan kenaikan harga barang di negara ini.
Bagaimanapun, menurutnya, usaha persatuan pengguna tersebut sukar untuk dilaksanakan tanpa sokongan daripada pengguna itu sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca