PERSATUAN Veteran Angkatan tentera Malaysia (PVATM) merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang boleh dianggap tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 20 Mei 1922 dengan nama asalnya sebagai Ex Services Association of Malaya oleh pesara tentera... Klik di sini untuk terus membaca

PERSATUAN Veteran Angkatan tentera Malaysia (PVATM) merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang boleh dianggap tertua di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 20 Mei 1922 dengan nama asalnya sebagai Ex Services Association of Malaya oleh pesara tentera British yang pernah berkhidmat di Malaya pasca Perang Dunia Pertama. PVATM kini dipercayai mempunyai ahli berdaftar seramai 173,000 di seluruh negara.

Sejak kebelakangan ini PVATM sering mendapat perhatian umum dan media apabila terdapat kepimpinan, mahupun di kalangan ahli agak lantang menyuarakan rasa kurang senang atau tidak berpuas hati berkaitan isu-isu tertentu, khususnya yang mempunyai hubungan langsung dengan kebajikan mereka.

Pada awal bulan yang lalu sekumpulan pesara tentera yang mendakwa mewakili kira-kira 5,000 veteran ATM dengan menamakan diri mereka sebagai Suara Veteran telah menyatakan hasrat untuk mengadakan perhimpunan aman di ibu negara pada 6 Jun depan.

Perhimpunan aman ini bakal diadakan bagi mengemukakan ketidakpuasan hati berhubung isu kebajikan mereka yang mereka rasakan telah diabaikan pihak kerajaan. Sama ada ada kebenaran atau tidak dalam perkara yang mereka lontarkan ini adalah sesuatu yang subjektif dan perlukan penelitian berhemah oleh semua pihak.

Penelitian berhemah yang dimaksudkan perlulah diambil oleh semua pihak memandangkan sebagai mereka yang pernah mengangkat senjata secara fizikal dan bukan setakat retorik, ahli-ahli PVATM lazimnya telah dilatih dan memiliki nilai jati diri tinggi dibentuk dengan keringat dan darah.

Tentunya orang yang paling terkesan dalam perkara ini adalah Menteri Pertahanan yang terlibat secara langsung dalam menjaga kebajikan bukan sahaja ahli-ahli PVATM, tetapi juga mereka yang mungkin tidak pernah berdaftar untuk menjadi ahli.

Apa yang agak dikesalkan sedikit adalah ‘bahasa’ yang diguna pakai oleh Menteri Pertahanan berkaitan isu ini. Beliau dilihat mengambil jalan psikologi 'carrot and stick' untuk cuba menenangkan emosi para veteran yang kurang berpuas hati.

Ini bukanlah pertama kalinya persatuan veteran atau organisasi lain berkaitan pesara tentera menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu-isu berkaitan mereka dan juga keadaan semasa negara.

Umpamanya pada 2018, sebuah organisasi veteran ATM dikenali sebagai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) telah mempersoalkan langkah menghantar pasukan ATM ke Arab Saudi bagi menyertai Ops Yaman 2, dengan Kementerian Pertahanan tidak mengambil kira kelulusan kabinet mahupun Parlimen.

Pada 2021, Patriot sekali lagi menyuarakan kekesalan kerana premis di bangunan milik ATM telah dijadikan lokasi pertemuan ahli-ahli parti tertentu untuk merangka strategi agenda politik mereka, walhal parti tersebut mempunyai premis sendiri yang tersergam indah di tengah-tengah ibu kota.

Pada tahun sama sekelompok anggota veteran ATM pernah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menubuhkan Parti Kemakmuran Negara. Mereka bercadang untuk bertanding dalam 50 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menggunakan platform parti politik baharu itu.

Penganalisis sosiopolitik dari universiti tempatan mempunyai perbezaan pendapat berkaitan isu anggota atau persatuan veteran yang kini semakin lantang menyuarakan pendapat dan kemahuan mereka.

Ada yang berpendapat bahawa veteran yang pernah berjuang untuk memastikan negara selamat daripada ancaman luar, sekarang mungkin mahu melindungi keadaan dalaman juga dengan membangkitkan isu-isu tertentu di Parlimen.

Bagaimanapun ada penganalisis berpendapat bahawa kumpulan itu perlu menjauhi politik kerana sebaik saja mereka menceburi politik, mereka perlu menyokong satu pihak. Ini menurut mereka bakal merosakkan nama angkatan tentera ketika berada dalam politik.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca