JEREBU terjadi apabila kehadiran partikel-partikel halus berkepekatan tinggi di atmosfera sehingga mengurangkan jarak penglihatan, akibat faktor semula jadi atau buatan manusia.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan berlaku kenaikan suhu berserta fenomena jerebu terutamanya jerebu tempatan sepanjang tempoh monsun barat daya yang bermula mulai 14 Mei sehingga pertengahan September.
Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil. Hal ini menyebabkan berlakunya pengurangan dalam pembentukan awan hujan, negara mengalami hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding musim lain di samping menerima taburan hujan yang rendah.
Dalam keadaan cuaca seperti ini, potensi berlakunya pembakaran terbuka secara semua jadi di kawasan yang mudah dan sering terbakar adalah sangat tinggi seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.
Dalam masa yang sama, fenomena jerebu sangat signifikan berlaku, apatah lagi apabila berlakunya pembakaran terbuka tidak yang terkawal, khususnya pada skala besar. Hal ini kerana dalam keadaan cuaca panas, jika kita melakukan pembakaran terbuka, ia boleh merebak dan seterusnya mengakibatkan jerebu. Justeru, pembakaran terbuka harus dielak bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar.
Selain itu, pengaruh faktor luar antaranya berlaku ribut tropika di negara berhampiran seperti Filipina turut boleh menyebabkan keadaan menjadi kering di Semenanjung.
Di Indonesia pula, berkemungkinan berlakunya kebakaran hutan kerana cuaca kering adalah tinggi dan tiupan angin dari arah barat daya akan membawa asap tersebut ke Malaysia dalam bentuk jerebu rentas sempadan.
Pada tahun 1997/98 misalnya, kebakaran hutan yang luas di sebuah negara ASEAN telah menyebabkan kejadian jerebu yang menyeluruh di rantau Asia Tenggara. Kejadian ini telah memberi kesan kepada industri pelancongan, kesihatan penduduk dan alam sekitar dengan jumlah kerugian yang dianggarkan sebanyak AS$9 bilion.
Tips hadapi jerebu
Sebagai persiapan menghadapi jerebu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menasihatkan semua yang terlibat dalam pengurusan bencana sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama susulan dari cuaca panas dan kering seperti jerebu, kebakaran hutan serta penurunan aras air empangan.
Antaranya, MetMalaysia dipertanggungjawab menyampaikan pemakluman hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari berturut-turut (setiap hari) kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan serta mengeluarkan nasihat sekiranya terdapat tanda-tanda akan berlaku jerebu rentas sempadan.
Manakala pemantauan kemarau akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara mingguan dan bulanan menerusi Pusat Operasi NAWABS (National Water Balance Management System).
Rentetan cuaca yang lebih kering dan lebih panas ini, potensi berlaku kemarau adalah tinggi, justeru masyarakat digalakkan mengguna air secara lebih berhemah sepanjang tempoh ini bagi mengelak berlakunya catuan air akibat paras air di empangan dijangka merosot.
Orang ramai terutama yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak dinasihatkan supaya lebih banyak berada dalam bangunan (indoor) dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah secara terus dengan keadaan jerebu.
Jika anda berada di kawasan luar rumah ataupun pergi ke mana saja melibatkan aktiviti luar, gunakan penutup mulut untuk elakkan anda menghidu udara jerebu yang tidak sihat ini. Kerap juga mencuci tangan dan muka dengan sabun yang mengandungi antiseptik terutamanya waktu sebelum makan.
Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.
Akhirnya, sentiasa membawa bekalan air apabila terpaksa berada dalam keadaan cuaca panas dan pastikan meminum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas sehari walaupun tidak berasa dahaga bagi mengelak strok haba dan dehidrasi.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca