SHAH ALAM - Malaysia dijangka mengalami peningkatan suhu sebanyak 38 hingga 40 darjah Celsius disebabkan kekurangan awan pada Julai ini. Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia dijangka mengalami peningkatan suhu sebanyak 38 hingga 40 darjah Celsius disebabkan kekurangan awan pada Julai ini.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, bagaimanapun ia tidak teruk dan berbahaya berbanding negara luar.

Namun beliau berkata, suhu tersebut juga mampu untuk menyebabkan seseorang itu mengalami strok haba (heat stroke).

"Mengikut statistik, cuaca panas yang melampau akan berlaku pada Februari dan Julai menyebabkan peningkatan suhu disebabkan langit cerah dan tiada awan.

"Tetapi panas kita ini berada di paras 38 hingga 40 darjah Celsius dan tidak lebih dari itu.

"Kalau berbanding Arab Saudi atau Australia mereka lebih daripada 45 darjah Celsius, kadang-kadang boleh sampai 50 darjah Celsius,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.



AZIZAN


Pada Sabtu, media melaporkan seorang pelari maraton meninggal dunia ketika menyertai Brooklyn Half Marathon di New York City (NYC), manakala 15 yang lain dimasukkan ke hospital di tengah-tengah cuaca panas tidak menentu.

Pada 3 Mei lalu, negeri barat India, Maharashtra mencatatkan 25 kematian akibat strok haba sejak akhir Mac, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, bagaimanapun kawasan yang mungkin berlaku peningkatan suhu adalah di bahagian utara seperti Perlis dan Kedah.

"Ini kerana, negeri sana kurang awan, kalau di Kuala Lumpur awan banyak jadi suhu itu kurang sedikit berbanding di sana. Sangat jaranglah Kuala Lumpur tiada awan.

"Namun, selalunya negara kita tidak akan melebihi 40 darjah Celsius tapi tetap perlu berjaga-jaga kerana ia boleh berlaku strok haba itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya berwaspada dengan strok haba yang berlaku kerana ia boleh membawa kepada kematian.

"Mereka yang keluar pergi jalan-jalan atau pantai ke sentiasa pakai topi atau membawa payung. Pastikan kepala dilindungi daripada panas.

"Banyakkan juga minum air, jangan minum air manis kerana mereka perlu pastikan diri mereka sentiasa hydrated.

"Jangan tunggu cuaca panas sehingga 40 darjah Celsius, kalau berjemur di tengah padang itu tidak pakai topi, kebarangkalian untuk kena strok haba juga tinggi,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca