[WAWANCARA] Masalah air di Kelantan yang berlarutan sejak puluhan tahun kembali hangat apabila kualiti air di negeri ini berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Bekalan air bertukar masin dan payau, tekanan air perlahan... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Masalah air di Kelantan yang berlarutan sejak puluhan tahun kembali hangat apabila kualiti air di negeri ini berlaku ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Bekalan air bertukar masin dan payau, tekanan air perlahan malah kerap bekalan air terputus hingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Ramai yang merungut dan menyuarakan pandangan berkaitan permasalahan air tersebut dan mahu ia diselesaikan.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID bersama Pengerusi Sekretariat Save Kelantan, Datuk Husam Musa bagi mengupas tentang isu tersebut.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan bila bermulanya masalah air dan status terkini keadaan bekalan air di Kelantan?

Husam Musa: Masalah bekalan air di Kelantan mula menjadi serius menjelang tahun 2010 sehingga sekarang.

Ketika itu, kerajaan Kelantan selalu membahaskan isu tersebut dalam mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan dan mesyuarat Lajnah Politik Pas Kelantan.

Untuk makluman, Dewan Harian Pas Kelantan adalah badan tertinggi Pas Kelantan yang bersidang secara mingguan dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan dan disertai Timbalan Menteri Besar serta beberapa Exco.

Pada masa itu, kami mencadangkan tindakan diambil terhadap pihak pengurusan yang sudah melakukan kesalahan berdasarkan laporan audit. Malangnya, tiada langsung tindakan diambil.

Masalah air di Kelantan ini meliputi bekalan air yang tidak mencukupi, liputan bekalan air bersih rendah iaitu hanya melibatkan 70 peratus penduduk, loji rosak, paip pecah, mutu air teruk seperti kandungan kimia tinggi, warna karat dan tekanan air rendah serta pengurusan yang meragukan.

Situasi biasa penduduk di Kelantan apabila bekalan air terputus.

SINAR HARIAN: Sejauh mana tahap keseriusan masalah bekalan air ini?

Ia boleh dilihat menerusi pengumuman yang sering dibuat oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengenai gangguan bekalan air.

Selain itu, AKSB mempunyai akaun pengguna yang rendah kerana kekurangan bekalan menyebabkan ramai rakyat Kelantan membina pam air mereka sendiri tanpa mempedulikan AKSB.

Sebab itu hutang pengguna kepada AKSB menjadi besar.

Sudah tentu mutu air yang mereka usahakan sendiri itu sangat rendah dan banyak masalah serta melibatkan kos tambahan.

Bagi rakyat yang tetap bergantung kepada bekalan air daripada AKSB, mereka turut perlu menanggung kos tambahan seperti membina tangki yang lebih besar untuk simpanan air, membeli enjin pam bagi menyedut air kerana masalah tekanan air yang perlahan dan kos selenggara serta elektrik.

Pokoknya, semakin ramai rakyat tidak berpuas hati dan sebahagian mereka sudah mencapai tahap kemarahan yang sangat tinggi.



SINAR HARIAN: Apakah punca masalah air masih gagal diselesaikan?

Punca terbesar bagi saya adalah salah urus. Kedua, orang politik yang ditugaskan menerajui AKSB dipercayai tidak berkemampuan.

Sementara pihak pengurusan pula menggunakan kesempatan daripada kelemahan orang politik sehingga akhirnya mereka saling melindungi satu sama lain.

Keratan akhbar Sinar Harian berhusbung isu air di Kelantan.



SINAR HARIAN: Boleh Datuk terangkan dengan lebih jelas?

Dahulu pun sudah ada pemeriksaan audit dilakukan ke atas AKSB dan meminta mereka membentangkan kepada umum laporan-laporan berkenaan sekiranya benar mereka tidak cuba melindungi kesalahan.

Salah satu ialah konsultan projek Loji Rawatan Air (LRA) Pintu Geng pernah dicadangkan dan tender dikeluarkan semula untuk memilih kontraktor yang layak.

Jika ditender semula, harga loji juga boleh dikurangkan beberapa juta ringgit tetapi tiba-tiba pengurusan mengeluarkan surat tawaran kepada kontraktor sama sebelum kelulusan Lembaga AKSB. Hasilnya, sehingga hari ini, LRA Pintu Geng bermasalah.

Merujuk laman web rasmi AKSB, kapasiti LRA Pintu Geng hanya sebanyak 13.1 juta liter sehari (JLH) sedangkan kapasiti yang ditetapkan adalah 30 JLH.

Ia bermaksud kurang sebanyak 17 JLH iaitu tak sampai separuh daripada kapasiti.

Bukan satu loji yang bermasalah, terkini LRA Kampung Telok juga hanya dapat keluarkan air sebanyak 10 JLH sahaja walaupun sebanyak RM48.3 juta didakwa diperuntukkan untuk menghasilkan air sebanyak 30 JLH.



SINAR HARIAN: Adakah masalah air di Kelantan ada kaitan dengan politik atau pengurusan dalaman AKSB?

AKSB pernah menyaman saya didakwa memfitnah kerana mengatakan ada unsur salah guna kuasa dalam pengurusan pada masa itu.

Dakwaan saya berasaskan surat hitam putih daripada Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan pada masa itu kepada pengurusan AKSB dengan menyatakan pelantikan kontraktor yang belum didaftarkan adalah satu kesalahan. Saya menang dalam saman itu, bermaksud AKSB memang tidak patut melantik satu syarikat sebelum syarikat itu wujud dari segi undang-undang.

Kontraktor berkenaan pula kemudiannya dipercayai gagal dalam kerja mereka sehingga AKSB terpaksa menamatkan pelantikan syarikat berkenaan bertahun-tahun selepas isu dibangkitkan.

Akibatnya, masalah air berlaku bagi kawasan-kawasan di jajahan Machang dan Pasir Puteh.

Apabila loji ini siap selepas lebih dari tempoh jadual asal, jumlah air yang dikeluarkan jauh lebih rendah daripada yang dirancang, sedangkan belanjanya lebih daripada RM100 juta.

Loji semakin bermasalah apabila tidak mencapai kapasiti dari segi jumlah atau kuantiti air dengan kualiti yang dipercayai sangat teruk seperti aduan air berwarna hitam pekat.

Dalam isu ini, tidak boleh salahkan pengurusan AKSB semata-mata kerana AKSB ditadbir oleh satu lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Exco Pas atau orang politik. Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam isu air.

Keratan akhbar Sinar Harian berhusbung isu air di Kelantan.



SINAR HARIAN: Adakah orang politik memandang berat teguran-teguran Datuk?

Jika mereka memandang berat, sudah tentu perkara ini boleh dielakkan. Saya ke mahkamah dulu, demi rakyat Kelantan. Saya kena berulang alik ke mahkamah sebelum saya menang. Habis masa, habis wang. Tapi itu pengorbanan saya untuk rakyat. Tapi orang politik yang kononnya kata dakwaan saya memalukan mereka semua enggan ke mahkamah untuk jadi saksi.

Saya pernah dihadapkan ke Jawatankuasa Harian Pas Pusat pada akhir tahun 2015 atas teguran terbuka saya termasuk dalam masalah air.

Masa itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu Timbalan Presiden Pas mempengerusikan pertemuan itu.

Saya bentangkan pada beliau isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan pemeriksaan audit dan beliau sekarang menjawat jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air.

Namun setakat ini, belum nampak masalah air di Kelantan diatasi bahkan pernah dikatakan masalah air di Kelantan hanya akan selesai 30 tahun lagi.

Mungkin jika Tuan Ibrahim ambil berat masalah air dulu, beliau tidak perlu pikul masalah sebesar itu sekarang.



SINAR HARIAN: Boleh Datuk kongsikan apa yang dibangkitkan dalam pertemuan itu?

Saya berpandukan kepada Laporan Audit bertajuk Ringkasan Eksekutif Laporan Kerja-kerja Pengauditan ke atas Pembinaan, Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Telaga Jejari dan Telaga Tiub April 2014 yang dilaksanakan oleh firma Audit yang dilantik oleh AKSB.

Antara kandungan laporan yang saya sebutkan pada pertemuan itu ialah bayaran sebanyak RM550,000 bagi projek telaga tiub yang gagal. Pelantikan kontraktor tidak memenuhi syarat asas.

Pengeluaran air tidak memenuhi syarat kontrak. Telaga Tiub Loji Rawatan Air Perol tidak mencapai jumlah pengeluaran seperti design sebanyak 7.5 JLH.

Ini termasuk isu Loji Perol yang didapati Certificate of Practical Completion (CPC) dikeluarkan lebih awal sebanyak 52 hari dari tarikh T7C muktamad.

Tarikh pengesahan air disalurkan lebih awal 32 hari dari tarikh sebenar air disalurkan kepada pengguna dan keputusan ini dibuat oleh Pengurus Besar AKSB.

Selain itu, Telaga jejari Pahi tidak mencapai 21 JLH seperti tujuan asal kecuali pada musim hujan sahaja.

Telaga jejari Wakaf Baru pula gagal mengeluarkan air seperti reka bentuk dan tujuan asal sebanyak 25 JLH. Pencapaian puratanya hanya antara 60 peratus hingga 72 peratus sahaja atau antara 15 juta liter sehari hingga 18 JLH.

Telaga jejari Wakaf Bunut di Pasir Puteh mengeluarkan air mentah sebanyak 5.78 JLH hingga 12.30 JLH sahaja berbanding reka bentuk dan tujuannya adalah untuk mengeluarkan 16.75 JLH.

Telaga jejari Loji Rawatan Air (LRA) Chicha hanya mengeluarkan 3 JLH hingga 4 JLH sahaja berbanding reka bentuk dan tujuan asal 30 JLH. Ini bermakna kapasitinya kurang daripada 15 peratus daripada reka bentuk asal.

Loji Telaga Jejari Merbau Chondong patut siap pada Januari 2015 tetapi belum disiapkan selepas dua kali mendapat tempoh lanjutan.

Sementara LRA Pintu Geng tidak mendapat jumlah pengeluaran air seperti sepatutnya dengan kos melebihi RM50 juta, sedangkan sebelumnya konsultan juga memperingatkan isu-isu berkaitan.

Laporan Audit itu menyebut punca-punca kenapa kegagalan itu berlaku.

Keratan akhbar Sinar Harian berhusbung isu air di Kelantan.



SINAR HARIAN: Agak terperinci sekali?

Ya. Pada masa itu saya sangat berharap isu bekalan air ini dapat diberikan perhatian serius oleh Pas. Malangnya tidak berlaku.

Selepas tujuh tahun, kita melihat masalah menjadi semakin serius. Sehingga kami terpaksa memperjuangkan isu ini atas nama Selamatkan Kelantan atau Save Kelantan.



SINAR HARIAN: Berapakah peruntukan sebenar yang diperlukan oleh Kelantan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini dan adakah kerajaan negeri tidak berkemampuan dari segi kewangan?

Sebelum menyentuh isu dana, kita perlu tahu terlebih dahulu kenapa masalah bekalan air di Kelantan tidak boleh selesai.

Jika ada ketirisan dalam badan AKSB, kita kena ‘ubatkan’ ketirisan ini terlebih dulu.

Seperti kegagalan telaga jejari yang bukan kerana tidak ada duit sebaliknya ratusan juta dibelanjakan, tetapi kenapa masalah tidak selesai?

Jika berlaku kegagalan pengurusan dalam bentuk membina sistem yang salah, tanpa kajian, perancangan teliti, berapa bilion dana yang diberikan pun masalah tetap tidak akan selesai.

Sebagai contoh, AKSB mengakui kadar kebocoran paip adalah 52 peratus. Antara yang tertinggi di negara ini.

Kalau paip banyak bocor tetapi yang dibina adalah loji-loji, separuh daripada pengeluaran air itu akan masuk dalam tanah dan tak sampai kepada pengguna.

Jadi yang mana dulu perlu dibuat? Ganti paip atau bina loji?



SINAR HARIAN: Adakah kerajaan Persekutuan perlu terlibat dalam membantu kerajaan Kelantan termasuk dari aspek menyediakan peruntukan bagi meningkatkan mutu bekalan air kepada rakyat?

Sebelum menyentuh hal dana, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), ada beberapa perkara yang menteri wajib kena buat kalau betul nak tolong Kelantan.

Di bawah kuasa Menteri Alam Sekitar dan Air ada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mengikut Akta, SPAN boleh menubuhkan jawatankuasa siasatan terhadap syarikat pengendalian air seperti AKSB.

Menteri kena arahkan SPAN buat kajian dan siasatan bagi mencari punca sebenar masalah.

Bawah kementerian juga ada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) yang menyebut akan membina 10 lagi loji rawatan air bernilai sehingga RM471 juta yang diumumkan pada Mac lalu.

Jika loji itu berjaya, ia bagus untuk rakyat Kelantan. Sebaliknya kalau tak berjaya, bermakna hutang AKSB akan meningkat.

AKSB adalah sebuah entiti perniagaan, kalau hutangnya besar dan model perniagaannya gagal maka akhirnya rakyat Kelantan yang rugi.

SPAN sebagai badan kawal selia perlu mengkaji isu-isu lain misalnya kontrak tender runding yang diamalkan AKSB sekarang.

Isu kegagalan sistem rawatan yang dibina mereka masih diberikan kontrak melalui tender runding dengan sistem sama.

Antaranya sistem rawatan dipanggil chemiless atau tanpa kimia antaranya di LRA Kampung Chap. Ini tanggungjawab menteri untuk memantau.

Keadaan air AKSB yang dikongsi oleh orang ramai dimedia sosial.



SINAR HARIAN: Adakah masalah air di Kelantan akan memberi impak kepada suasana politik di negeri ini?

Bagi saya, yang paling utama adalah nasib rakyat dan negeri ini. Apabila bekalan air bermasalah, perniagaan dan pelaburan luar akan terjejas.

Malah pembinaan perumahan dan bandar baru turut terjejas serta kesejahteraan rakyat akan merosot.



SINAR HARIAN: Apa pandangan Datuk terhadap rakyat Kelantan yang masih utuh menyokong pentadbiran sedia ada walaupun berdepan masalah air yang berlarutan?

Jika itu pilihan mereka, apa nak buat. Biarkan saja. Bagi saya, persoalan politik dalam hal ini berada di nombor dua. Kita bukan nak tukar pendirian orang Pas supaya tinggalkan parti mereka masuk parti lain. Cuma mereka perlu tahu punca sebenar masalah air sekarang ini.



SINAR HARIAN: Apakah pandangan Datuk terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air di Kelantan? Saya lihat mereka melaksanakan projek untuk selesai masalah secara mendadak atau tanpa kajian dan perancangan yang betul.Saya bimbang, hutang dan belanja AKSB akan meningkat sehingga menyebabkan pembaziran.

Oleh sebab itu, kami di Save Kelantan mencadangkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas terhadap AKSB dilakukan terlebih dahulu.



SINAR HARIAN: Bolehkah Datuk skalakan tahap keseriusan masalah air di Kelantan dari 1 hingga 100?

Saya skalakan punca masalah air adalah masalah pengurusan AKSB dan kerajaan negeri pada skala 90 per 100.

Skala bagi mutu dan bekalan air pula, saya serahkan kepada rakyat untuk nilai.



SINAR HARIAN: Apakah cadangan paling sesuai untuk langkah penyelesaian masalah bekalan air di Kelantan?

Ada banyak pilihan bagi selesaikan masalah air di Kelantan. Misalnya, AKSB boleh gunakan teknologi lain bagi memproses air dari sungai atau empangan.

Tak perlu bergantung pada air bawah tanah semata-mata yang lebih mahal kosnya untuk dirawat kerana kandungan logam tinggi.

Kelantan sepatutnya mempunyai sumber air yang cukup. Sungai-sungai kena dipelihara jangan tercemar.

Kita ada Empangan Pergau yang mungkin boleh membekalkan air mentah dengan lebih banyak dan murah.

Loji-loji sedia ada banyak yang terbiar dan boleh dibaik pulih berbanding membina loji baharu. Sistem yang gagal seperti telaga jejari hendaklah dihentikan.

Rombakan pengurusan dan tadbir urus AKSB hendaklah dilakukan selepas satu kajian atau siasatan.

AKSB mesti lebih telus dalam pengurusannya seperti membentangkan laporan audit berkala kepada orang ramai.



SINAR HARIAN: Berapa lama Datuk menjangkakan tempoh masalah air ini akan selesai?

Saya jangkakan sebuah kerajaan yang cekap dan telus boleh selesaikan isu ini dalam tempoh empat hingga lima tahun dengan liputan perkhidmatan air melebihi 85 peratus di seluruh negeri.

Klik di sini untuk terus membaca