SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador mencadangkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) agar tidak menangguhkan pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu bagi penggal tahun 2022-2025,... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador mencadangkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) agar tidak menangguhkan pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu bagi penggal tahun 2022-2025, sehingga suatu tempoh tertentu.

Gesaan itu dibuat bekas Pengerusi PKR Perak itu susulan JPP memutuskan untuk menangguhkan proses pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan bagi 222 cabang PKR di seluruh negara yang sepatutnya berakhir pada 22 Mei lalu.

Hal ini kerana Pengerusi JPP Pemilihan PKR tahun 2022-2025, Dr Zaliha Mustafa menjelaskan pihaknya perlu mengadakan semula proses pemilihan bagi lapan cabang PKR yang dibatalkan keputusan awal sebelum ini, selain menanti aduan protes daripada mana-mana cabang lain dari tiga negeri yang baru selesai mengundi pada Ahad lalu.

Berikutan itu, Farhash Wafa yang turut bertanding jawatan Ketua PKR Cabang Gombak menentang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, meminta JPP mengumumkan keputusan pemilihan secara 'live result' bagi mengelakkan berlakunya perbuatan manipulasi data.

"Mungkin JPP boleh menangguhkan pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan parti sehingga semua cabang selesai mengadakan pemilihan.

"Namun, JPP disaran menyediakan satu sistem pemantauan oleh semua wakil calon bagi memastikan tiada individu yang dibenarkan membuka dan mengakses sistem data pengundian pemilihan sehingga semua proses pemilihan cabang selesai.

JANGAN SIMPAN KEPUTUSAN

"Lebih baik JPP melaksanakan sistem pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan PKR secara 'live result' supaya tiada pihak yang berpeluang untuk memanipulasi data pengundian," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Farhash mencadangkan JPP tidak menyimpan keputusan tidak rasmi pemilihan PKR penggal 2022-2025, sebaliknya mengumumkannya segera bagi mengelak usaha manipulasi data.


Mengulas lanjut, Farhash Wafa yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR menyuarakan kebimbangan langkah JPP 'menyimpan' keputusan tidak rasmi bagi cabang-cabang yang sudah selesai pemilihan dan tidak berdepan masalah teknikal, akan mengundang perbuatan manipulasi data seperti aktiviti godam oleh pihak tertentu.

Tambahnya, beliau bimbang kegagalan JPP untuk mengawal sebarang usaha manipulasi data pemilihan akan menyebabkan calon yang sepatutnya menang menjadi kalah.

"Jika kaedah pengumuman keputusan secara 'live result' dibuat, mana-mana keputusan tidak rasmi bagi pemilihan cabang yang tertangguh boleh ditambah kemudian.

"Sekiranya PKR mahu berbangga menjadi parti pertama yang melaksanakan sistem pengundian atas talian dan fizikal secara serentak, kaedah pengumuman keputusan pemilihan secara 'live result' perlu dibuat dan bukan simpan keputusan tidak rasmi selama berminggu-minggu.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menggunakan sistem pengundian manual pun boleh mengumumkan keputusan pilihan raya dua hingga tiga jam selepas pengundian, sepatutnya kecanggihan proses undian atas talian membolehkan calon-calon PKR mendapat keputusan serta-merta," ujarnya lagi.

EFEKTIF DAN TENANG

Di sebalik aduan dikemukakan, Farhash masih lagi menganggap sistem pemilihan PKR yang dibuat secara hibrid adalah sangat efektif bagi membendung politik wang dan campur tangan warlord parti.

"Di sebalik proses pemilihan PKR kali ini dilihat lebih tenang, saya tidak menafikan masih wujud budaya 'moneylism' dengan ada warlord-warlord tertentu menawarkan baucer dan hamper kepada ahli-ahli PKR supaya mengundi mereka.

"Saya juga berpandangan lebih baik proses pemilihan parti akan datang dibuat atas talian sepenuhnya supaya parti dapat menjimatkan kos mengadakan pemilihan selain membendung budaya ahli-ahli parti 'dibeli' warlord," katanya. Klik di sini untuk terus membaca