AKHBAR Mat Taici hari ini menyiarkan laporan khas mengenai keluhan rakyat Kelantan yang sejak lebih tiga dekad dihimpit kemelut isu bekalan air.
Bekalan air macam 'biskut' kejap ada kejap tidak ada, air berwarna kekuningan akibat paip berkarat dan ada masanya air berbau serta payau.
Itu antara suara hati rakyat Kelantan dan menjadi semakin trending apabila anak-anak perantau yang balik beraya baru-baru ini meluahkan kemarahan mereka di sosial media.
Mat Taici yang turut beraya di Kelantan tahun ini tidak terkecuali berdepan isu yang sama.
Semasa berada di rumah keluarga di Kelantan Mat Taici sendiri merasai pengalaman terputus bekalan air selama beberapa hari sebelum dan selepas sambutan hari raya baru-baru ini.
Mujur di rumah keluarga ada telaga tiup dan perigi biasa, jadi bolehlah kami gunakan air berkenaan untuk memasak dan kegunaan harian lain.
Jika tiada perigi dan telaga tiup, mungkin kami terpaksa menyertai jiran-jiran lain yang beratur panjang untuk mendapatkan bekalan air dan pergi ke pasar raya berhampir bagi membeli air minuman.
Tapi dalam laporan isu air ini, Mat Taici agak kecewa membaca respon dan alasan daripada pemimpin utama negeri di media massa.
Lebih-lebih lagi, apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menuding jari kepada campur tangan politik.
Kata beliau, tindakan UMNO membatalkan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM600 juta pada tahun 1990 merupakan antara penyebabnya.
Mat Taici sesungguhnya bukanlah orang politik atau hendak menyalah siapa-siapa.
Tapi air adalah satu keperluan, satu fasiliti yang perlu disediakan kerajaan kepada rakyat, jadi ia tidak boleh dipandang enteng.
Pada Mat Taici, pembatalan projek 30 tahun lepas oleh UMNO tidak wajar lagi dijadikan alasan oleh pemimpin utama Pas.
Ini kerana Pas bukan baru memerintah Kelantan sejak sepenggal dua. Kalau pembatalan projek baru terjadi beberapa tahun lalu, Mat Taici terima dengan tangan terbuka alasan itu.
Tapi bayangkan Pas mentadbir Kelantan sejak 32 tahun lalu selama daripada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 sehinggalah PRU14. Sudah tujuh penggal pun!
Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain. Buatlah kerja diamanah ALLAH.
Gunakan wang hasil penjualan konsesi balak, bijih besi dan banyak yang bernilai jutaan ringgit setahun untuk menangani masalah rakyat, bukannya disimpan untuk kegunaan parti semasa pilihan raya atau membeli kereta mewah baharu!
Klik di sini untuk terus membaca