SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong sebaiknya diberi mandat untuk memelihara bahasa Melayu dan memberikan arahan sewajarnya melalui pindaan Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959. Panel Khidmat Nasihat DBP, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong sebaiknya diberi mandat untuk memelihara bahasa Melayu dan memberikan arahan sewajarnya melalui pindaan Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

Panel Khidmat Nasihat DBP, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, apabila mandat itu diberikan kepada Seri Paduka Baginda, ia akan lebih bersifat neutral dan tidak mudah dipolemikkan oleh mana-mana pihak.

"Kalau kita tak letakkan mandat itu kepada Seri Paduka Baginda, sebaliknya kepada menteri, itu akan menjadi satu cabaran besar kepada mereka kerana kebanyakan mereka adalah orang politik.

"Jadi bila kerajaan hendak bertegas kepada bahasa, kemungkinan wujud kebimbangan dari sudut mandat politiknya. Tetapi kalau diletakkan di bawah Tuanku, ia lebih bersifat neutral.

"Orang tak boleh menjadikan satu alasan politik untuk menolak mana-mana kerajaan yang cuba memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai alat perpaduan negara. Itu yang saya lihat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan akan meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi terbabit dalam memastikan Bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Beliau berkata, banyak nama jalan, papan tanda dan taman perumahan tidak menggunakan Bahasa Melayu sedangkan penggunaannya perlu mendapatkan kelulusan PBT.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi yang juga Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, cadangan lain untuk memperkasakan DBP ialah mengukuhkan kuasa dan fungsi DBP sebagai pihak berkuasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong.

"Bila menyebut hal bahasa, ia boleh mengatasi pihak-pihak lain supaya ada keseragaman. Bila banyak pihak, polisi bahasa mempunyai banyak pandangan berbeza. Jadi tidak ada satu tindakan seragam.

"Justeru, mesti diletakkan satu polisi yang mana kedudukan DBP merupakan pihak berkuasa utama,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya memperuntukkan kuasa khas serta bidang kuasa dalam membuat perakuan, pengiktirafan dan pentauliahan dalam hal ehwal bahasa termasuk pemainnya.

"Dari segi perakuan misalnya, apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) ingin menempatkan papan tanda, penamaan, jalan dan sebagainya, mereka perlu dapatkan perakuan DBP. Jadi di situ kita dapat kawal dan seragamkan,” katanya.

Antara cadangan lain yang disyorkan ialah memperuntukkan kuasa untuk memberikan lesen kepada individu dan agensi termasuk swasta dalam melaksanakan aktiviti tertentu DBP.

"Selain itu, memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada DBP melalui pewujudan kesalahan terhadap perlanggaran polisi bahasa dan fungsi DBP serta hukuman yang sewajarnya.

"Kemudian, menaik taraf DBP dari aspek yang diperlukan untuk menjadikannya pihak berkuasa bahasa berwibawa lagi efektif, di samping memanfaatkan rangkaian antarabangsa melalui kerjasama lebih erat termasuklah peminjaman kepakaran,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca