KUANTAN - Harga ikan di daerah ini naik RM2 hingga RM3 bergantung kepada jenis ikan selepas Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Tinjauan di Pasar Sejahtera Ikan Segar Beserah di sini, rata-rata peniaga mengakui tentang kenaikan harga itu namun tidak menghadapi masalah dari segi bekalan ikan segar ketika ini.
Seorang peniaga, Othman Ismail, 55, berkata, sebagai peniaga, dia terpaksa akur dengan kenaikan itu walaupun sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaannya.
Menurutnya, ramai pelanggan merungut apabila harga ikan naik namun peniaga juga turut terkesan apabila terpaksa menampung kos modal yang lebih tinggi.
"Walaupun harga naik, permintaan pengguna tetap ada cuma agak perlahan. Kalau kenaikan ini berlaku berterusan, ia akan memberi masalah bukan sahaja kepada kami sebagai peniaga malah juga kepada pengguna,” katanya.
Othman berkata, antara ikan yang mendapat permintaan di gerainya termasuk ikan selayang dan ikan aya (tongkol) walaupun harga agak meningkat.
Sementara itu, Muhamad Yusri Ahyat, 23, berkata, harga ikan kembung di gerainya kini dijual pada harga antara RM20 hingga RM22 sekilogram.
"Sebelum ini harga paling tinggi RM20 namun selepas Aidilfitri lalu harga mula naik dan berterusan hingga kini. Bagi kami harga ikan tidak menentu terpaksa dihadapi walaupun agak membebankan.
"Selain bekalan ikan terpaksa dibeli dengan harga lebih tinggi, kos pengangkutan, ais dan sebagainya terpaksa juga diambil kira,” katanya.
Muhamad Yusri berkata, jualan harian juga agak perlahan pada hari biasa dan rata-rata peniaga amat bergantung pada jualan pada hujung minggu.
"Jualan harian bergantung kepada harga semasa di peringkat pemborong. Bila harga tinggi macam sekarang, kuantiti ikan terpaksa dikurangkan,” katanya.
Mohd Adnan Mat Dahan,37, berkata, turun dan naik harga ikan bergantung kepada banyak faktor termasuk keadaan cuaca.
Katanya, sesetengah jenis ikan agak kurang ditangkap ketika ini jadi faktor itu mungkin antara yang menyebabkan harganya meningkat.
"Antaranya ikan tenggiri, sebelum Aidilfitri lalu harga modal hanya RM33 sekilogram tetapi sekarang naik kepada RM36.50,” katanya.
PEMBEKAL NAIK HARGA
Sementara itu di Seremban, kebanyakan peniaga di sini mengakui berlaku kenaikan harga ikan sejak kebelakangan ini antara RM2 hingga RM6.
Pengusaha Pasar Online N9, Muhammad Safwan Mohd Ghazali berkata, antara ikan yang naik harga ialah tenggiri batang, kenaikan sebanyak 10 hingga 15 peratus selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Ikan tenggiri sebelum ini RM33 hingga RM35, sekarang sudah cecah RM39-RM41sekilogram. Selain itu ikan jenahak sebelum Mac ialah RM33 hingga RM34 harga sekarang antara RM35 hingga RM36 sekilogram.
"Begitu juga dengan ikan kembung sekitar RM18 hingga RM19 kini mencecah RM21 hingga RM23 sekilogram. Kenaikan harga ini disebabkan pembekal naikkan harga sekali gus mendorong kami menaikkan harga jualan,” katanya.
Sementara itu penyelia Pasar Borong Bahau, Jempol, Leon Tey berkata, pihaknya terpaksa menaikkan harga ikan sejak tiga bulan lalu selepas mengambil kira pelbagai faktor.
"Contohnya ikan kembung sebelum ini boleh dapat antara RM9 hingga RM10 kini menjadi RM13 hingga RM14 sekilogram.
"Antara faktor kenaikan harga adalah pembekal menaikkan harga, tambahan pula dengan pelaksanaan pekerja daripada RM1,200 kepada RM1,500. Semuanya untuk menampung pelbagai kos selain keuntungan yang diterima.
"Bagaimanapun, kalau lihat sekarang ini kebanyakan barang naik harga, sama seperti ayam. Saya sudah lama menghentikan jualan ayam kira-kira pertengahan tahun lepas sebab kos yang perlu ditanggung tidak berbaloi dengan keuntungan,” katanya.
MASALAH BEKALAN AYAM BERI KESAN HARGA IKAN
Dalam pada itu, harga ikan di Pasar Awam Tanjong Karang di sini naik antara RM1 hingga RM 2 sekilogram sejak dua minggu lalu.
Seorang peniaga, Lee Hong Chioa, 40, berkata, ikan kembung saiz besar misalnya dijual RM12 sekilogram berbanding sebelum ini RM10 sekilogram.
Menurutnya, kenaikan RM2 sekilogram itu berlaku disebabkan menerima harga lebih tinggi daripada pembekal.
"Kami menerima ikan pada harga tinggi, jadi terpaksa naikkan harga bagi mengurangkan risiko kerugian,” katanya.
Hong Chioa berkata, antara ikan lain naik harga seperti kembung saiz kecil daripada RM8 sekilogram kepada RM10 sekilogram, cencaru RM8 sekilogram kepada RM9 sekilogram.
Katanya, antara faktor lain menyebabkan ikan naik harga berpunca akibat kesukaran mendapatkan bekalan ayam.
"Orang ramai mula bertukar daripada membeli ayam kepada ikan menyebabkan permintaannya meningkat,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 53, berkata, harga ikan pada masa ini tidak menentu.
Bagaimanapun, katanya, beberapa jenis ikan mengalami kenaikan hingga dia terpaksa menolak pembelian daripada pemborong.
"Kami tidak menjual beberapa jenis ikan yang mengalami kenaikan harga disebabkan pemborong menjual pada harga melebihi RM16 sekilogram.
"Jika harga ikan mahal, sudah tentu pelanggan tidak mahu membeli dan ini mendatangkan kerugian,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Faridah Udin, 37, berkata, ikan dijualnya di kawasan lapang di hadapan pasar awam itu lebih murah disebabkan mengambil bekalan secara terus daripada pemborong.
Klik di sini untuk terus membaca