HARGA gandum meningkat ke paras yang tertinggi sejak dua bulan lalu apabila negara-negara seperti Rusia, Kazakhstan, India, Mesir dan Kosovo melarang atau mengehadkan jumlah komoditi pertanian itu dieksport ke luar negara.
Negara-negara tersebut bertindak sedemikian kerana ia mengutamakan terlebih dahulu keperluan domestik kerana gandum tempatan dijadikan bahan makanan di negara masing-masing.
Perang Ukraine yang berlaku pada 24 Februari lalu juga antara penyumbang kepada larangan atau pengehadkan kuota eksport itu sekali gus menyebabkan peningkatan harganya di pasaran.
Harga komoditi pertanian itu semakin meningkat selepas India yang merupakan pengeluar kedua gandum terbesar di dunia melarang pengkesportannya ke luar negara barau-baru ini.
Pada tahun 2021, India merupakan pengeluar gandum kedua terbesar di dunia selepas China manakala Rusia menduduki tempat ketiga dan diikuti oleh Amerika Syarikat (AS) manakala Ukraine berada di tempat kelapan.
Harga gandum juga meningkat selepas Rusia melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu sehinggakan menjejaskan pengeluaran eksport gandum Moscow dan Kiev yang merupakan antara pengeluar terbesar komoditi pertanian tersebut.
Berikutan keputusan Moscow untuk mengehadkan eksport, Kazakhstan turut mengikut langkah tersebut manakala pada awal bulan ini, India juga melakukan perkara yang sama.
Justeru, harga gandum melonjak ke rekod tertinggi dalam dagangan Eropah selepas India memutuskan untuk mengharamkan eksport komoditi pertanian itu disebabkan oleh cuaca terlampau panas.
Harga gandum itu kemudian melonjak kepada 435 euro (RM2,037) setiap tan di Eropah berbanding rekod sebelumnya iaitu 422.4 euro (RM1,977) pada 7 Mac lalu.
Ia kemudian melonjak lagi kepada 438.25 euro (RM2,052) setiap tan dan ia dijangka mencecah sehingga lebih 450 euro (RM2,107).
Lonjakan harga itu turut diburukkan lagi oleh masalah kekurangan baja kerana Rusia merupakan pengeksport terbesar bahan yang digunakan untuk menyuburkan tanaman.
Ia juga disebabkan oleh hasil tuaian yang lemah dan inflasi tinggi di peringkat global sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang isu kebuluran dunia.
Rusia tidak mengharamkan eksport tetapi memperkenalkan duti sementara dan kuota eksport untuk melindungi pasaran domestiknya manakala di Ukraine, bijirinnya sedang aktif dikeluarkan daripada simpanan di bawah perlindungan bantuan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
KRISIS MAKANAN GLOBAL
Seorang diplomat blok itu, Josep Borrell yang juga seorang ahli politik dari Sepanyol pernah membuat hantaran mesej di Twitter baru-baru ini dengan menciap bahawa Ukraine menyediakan lebih separuh daripada bekalan gandum dunia.
Beliau juga membuat ciapan di Twitter bahawa pengeboman Rusia yang disengajakan ke atas rantaian bekalan makanan Ukraine telah mencetuskan krisis makanan global yang besar.
Krisis bijiran sedang dirasai di seluruh dunia tetapi Afrika paling teruk terjejas kerana ia bergantung kepada rantau Laut Hitam bagi mendapatkan 90 peratus bekalan komoditi pertanian tersebut.
Bulan lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres memberi amaran bahawa satu perlima daripada manusia akan berisiko mengalami kemiskinan dan kelaparan disebabkan situasi semasa dalam pasaran gandum.
Sebelum ini, negara-negara Barat pernah menuduh Rusia telah melancarkan 'perang gandum' dengan meletakkan kesalahan terhadap Moscow sehingga menyebabkan kenaikan harganya.
Namun, pakar menyatakan bahawa Rusia bukan satu-satunya negara yang bertanggungjawab terhadap krisis yang semakin teruk kerana ia tidak mengharamkan eksport gandum tetapi memperkenalkan duti sementara dan kuota eksport untuk melindungi pasaran domestiknya.
Negara-negara pengeluar lain sebenarnya boleh menyelamatkan pasaran dunia daripada krisis gandum kerana AS dan Kanada masing-masing mengeksport sekitar 25 peratus daripada eksport gandum global.
Pengeluar utama gandum lain di Barat iaitu Perancis mengeluarkan komoditi tersebut sebanyak 19 juta tan dan Jerman pula ialah 9.2 juta tan.
Bagaimanapun, menurut penganalisis, negara-negara tersebut tidak mungkin berkongsi bijirin mereka dengan negra-negara lain yang memerlukan, sebaliknya lebih mengutamakan keselamatan makanan masing-masing.
Menurut seorang pakar penyelidikan strategik di Total Research, Nikolai Vavilov, negara-negara pengeluar gandum akan menghadapi kesukaran terutamanya berkaitan dengan harga tenaga, kos pengeluaran dan inflansi.
Belaiu berkata, keadaan itu mungkin menyebabkan ia terlalu 'sibuk' untuk 'menjaga' negara-negara yang terpaksa menghadapi masalah 'kelaparan' akibat peningkatan harga gandum. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca