SHAH ALAM - Kadar import jagung boleh dikurangkan dengan menggunakan isirung kelapa sawit (PKC) sebagai bahan makanan ayam. Pakar Ternakan Ayam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, negara juga adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar import jagung boleh dikurangkan dengan menggunakan isirung kelapa sawit (PKC) sebagai bahan makanan ayam.

Pakar Ternakan Ayam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, negara juga adalah pengeluar PKC kedua terbesar dengan menghasilkan 2.8 juta tan pertanian, namun 94 peratus daripada hasil tersebut adalah untuk eksport.

Menurut Zulkifli, PKC sesuai untuk digunakan sebagai makanan ayam.

"Jagung merupakan sumber tenaga dan karbohidrat bagi ayam dan lebih kurang 60 peratus makanan ternakan ini terdiri daripada jagung.

"Pada masa ini, kita import lebih 95 peratus bekalan jagung disebabkan negara tidak menanam jagung untuk ternakan.

"Kalau hendak ganti jagung, yang pertama bahan itu mestilah sesuai, mencukupi dan ada di Malaysia. Jika tidak, nanti kena import lagi.

"Antara bahan yang sesuai atau memenuhi kedua-dua kriteria itu adalah PKC,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Zulkifli berkata, bagaimanapun 20 peratus daripada PKC ialah serat dan tidak sesuai untuk ayam.

Justeru, haiwan tersebut masih memerlukan jagung sebagai makanannya.

Pekerja ladang Mohamad Hamizan Zakari memeriksa sebahagian 20,000 ekor ayam yang diternak di sebuah ladang di Kampung Pelam, Telemong.

"Kita telah buat banyak penyelidikan mengenai PKC ini, bagaimana nak kurangkan kandungan serat isirung kelapa sawit itu.

"Cara yang paling praktikal dan kos efektif ialah kalau kita boleh kurangkan atau buangkan kulit isirung ini. Jadi kita masih boleh kurangkan import jagung sebanyak 40 peratus dan selebihnya ditampung menerusi PKC,” ujarnya.Dalam pada itu, beliau berkata, polisi eksport bahan makanan juga perlu dikaji semula kerana kerajaan perlu mengutamakan keperluan tempatan dalam jangka masa pendek.

"Malaysia boleh hentikan eksport ayam ke Singapura dan ia memang langkah yang baik.

"Kalau boleh untuk PKC, kita sarankan kerajaan hentikan juga eksport bahan berkenaan sebagai langkah mengelak makanan ternakan khasnya ayam di negara ini berkurangan,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, isu kenaikan harga ayam perlu dilihat secara holistik dalam rantaian bekalan makanan.

Jelas beliau, punca kenaikan harga ayam boleh disebabkan faktor bekalan dan permintaan dengan beberapa dimensi seperti dasar perdagangan, harga tenaga dan ketidakcekapan rantaian bekalan makanan.

"Faktor bekalan makanan yang penting termasuk kos tenaga kerja yang tinggi dan kos makanan ayam.

"Kejatuhan nilai ringgit juga memainkan peranan dalam kenaikan harga makanan memandangkan negara mengimport makanan haiwan sebanyak RM4.6 bilion pada 2020.

"Dari segi permintaan pula, trend pengambilan makanan di Malaysia menunjukkan peningkatan dalam banyak variasi dan kuantiti yang bernilai tinggi serta lebih tinggi protein seperti daging ayam.

"Malaysia merupakan negara tertinggi penggunaan ayam per kapita selepas Amerika Syarikat dan Israel. Penggunaan per kapita ayam di negara ini adalah dalam lingkungan 47.9 kilogram.

Ujarnya, kejayaan pertanian dari segi kebergantungan import adalah dengan mencontohi model pengeluaran tanaman industri seperti minyak sawit.

"Ia ada kewujudan bersama di antara sektor perladangan dan pekebun kecil. Kita boleh mengguna pakai model ini untuk pengeluaran jagung,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca