SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutama pekerja yang terdedah dengan cuaca panas perlu sentiasa kekal hidrasi bagi mengelak mereka mengalami strok haba. Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia terutama pekerja yang terdedah dengan cuaca panas perlu sentiasa kekal hidrasi bagi mengelak mereka mengalami strok haba.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, risiko yang dihadapi oleh mereka lebih tinggi dan boleh menyebabkan kematian.

Menurutnya, suhu panas boleh berlaku pada jam 10 pagi sehingga jam 4 petang.

"Kurangkan aktiviti luar dan banyakkan aktiviti dalam rumah ataupun duduk di tempat yang teduh.

"Bagi mereka yang tidak boleh elakkan kerja luar, pakai pakaian yang nipis supaya kadar dehid-rasi itu lebih rendah dan pakai pakaian yang terang supaya tidak menyerap cahaya matahari.

"Kerap minum air lebih daripada kadar pengambilan normal harian. Kalau sebelum ini 2.5 liter, musim panas ini kena minum 3.5 hingga 4 liter sehari.

"Elakkan minum minuman bergula, kafein dan minuman keras sebab ia mampu meningkatkan dan memekatkan darah. Apabila darah menjadi lebih pekat, kita akan senang mendapat hidrasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Malaysia dijangka alami peningkatan suhu sebanyak 38 hingga 40 darjah Celsius disebabkan kekurangan awan pada Julai nanti.

Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, pada suhu tersebut, ia mampu menyebabkan seseorang itu mengalami strok haba.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, peningkatan suhu sehingga 40 darjah Celsius, kebarangkalian untuk mengalami strok haba sangat tinggi.

"Jika suhu luar capai 40 darjah Celsius memang berisiko tinggi untuk dapat strok haba. Kalau suhu di bawah 40 darjah Celsius juga boleh dapat kerana lama-kelamaan suhu badan akan capai 40 darjah Celsius.

"Tetapi dengan anggaran lebih 37.5 darjah Celsius, suhu bilik ini memang tidak lamalah untuk kena strok haba,” katanya.

Dr Hanafiah berkata, mereka juga disarankan untuk kerap melakukan ujian air kencing dan pemeriksaan suhu badan.

"Pastikan air kencing tidak kuning pekat, jika kuning pekat berkemungkinan besar kurang air dalam badan. Jadi kena minum air yang banyak.

"Galakkan juga pemeriksaan suhu badan di bawah 37.5 darjah Celsius,” ujarnya.

Rakyat Malaysia juga perlu mengenal pasti simptom awal strok haba untuk mengelakkan berlaku kegagalan organ.

"Simptom yang berlaku adalah sakit kepala dan pening, jantung berdebar, terlalu dahaga dan kabur penglihatan.

"Kalau simptom awal ini ada, individu tersebut perlu duduk di tempat sejuk yang mempunyai pendingin hawa kerana risikonya akan menyebabkan kegagalan organ dan kematian.

"Strok haba ini berlaku disebabkan kurang air dalam badan menyebabkan buah pinggang tidak berfungsi, sekali gus toksik dalam badan meningkat dan merosakkan otak,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca