INI cerita tentang sebuah syarikat gergasi. Bukan gergasi biasa-biasa tetapi jenis bapa gergasi. Bukan juga bapa gergasi yang biasa-biasa tetapi bapa gergasi yang luar biasa besarnya. Syarikat itu mempunyai lebih 220 juta pelanggan di... Klik di sini untuk terus membaca

INI cerita tentang sebuah syarikat gergasi. Bukan gergasi biasa-biasa tetapi jenis bapa gergasi. Bukan juga bapa gergasi yang biasa-biasa tetapi bapa gergasi yang luar biasa besarnya.

Syarikat itu mempunyai lebih 220 juta pelanggan di seluruh dunia. Tengok betul-betul, selepas 220 itu ada perkataan juta, bukannya ribu.

Di Malaysia sahaja, jumlah pelanggannya lebih 330,000 atau kira-kira lima peratus daripada jumlah pelanggannya di rantau Asia Tenggara.

Pendapatan tahunan syarikat itu bagi tahun 2021 ialah AS$30,000,000,000 atau lebih RM131,700,000,000 berdasarkan tukaran nilai ringgit dengan dolar Amerika Syarikat semasa artikel ini ditulis. Jumlah itu tentulah sangat banyak bagi sebuah syarikat.

Jika syarikat kecil-kecilan berpendapatan sekitar RM110,000, maknanya untuk mendapatkan jumlah RM131.7 bilion, beliau terpaksa menanti selama 1,197,272 tahun untuk mendapatkan sejumlah itu.

Ada lagi, syarikat itu mempunyai kakitangan lebih daripada 12,000 orang berdasarkan angka pada 2021. Saya tak boleh bayangkan bagaimana kalau seseorang yang saya kenali memiliki syarikat yang jumlah pekerjanya sedemikian ramai. Sekarang ini pun, ketika pekerjanya baru 12 orang, sembangnya mengalahkan orang baru balik dari langit ke tujuh.

Dengan saiz syarikat yang begitu besar, pelanggan yang begitu ramai dan perolehan yang begitu banyak, secara logiknya tentulah syarikat bapa segala gergasi itu tidak mudah digugat. Kata orang kita, ia berstatus tolak tak rebah. Tak macam syarikat-syarikat kecil, yang rentan pada masalah. Hujan turun lebat sikit pun silap-silap boleh gulung tikar.

Berdasarkan fahaman bahawa yang besar dan gagah itu payah hendak rebahlah, ramai pelanggan Netflix, syarikat bapa gergasi yang saya maksud itu tergamam seketika apabila pecah berita bahawa syarikat tersebut terpaksa memberhentikan 150 kakitangannya baru-baru ini. Saya salah seorang daripada pelanggan berkenaan.

Sebagai penggemar filem yang jarang berkesempatan menjengah pawagam, Netflixlah menjadi tempat saya mengadu. Netflix jugalah yang menghubungkan saya dengan Hollywood, Bollywood, Nollywood dan segala pusat perfileman lainnya. Dan ia bukan baharu, sejak awal Netflix masuk ke negara ini secara rasmi pada 2016 dahulu.

Kerana adanya hubungan halus dengan syarikat penyedia perkhidmatan penstriman yang diasaskan oleh Reed Hastings dan Marc Randolph pada 1997 itu, saya berdebuk-debak sehingga sekarang apabila memikirkan kebarangkalian Netflix benar-benar terpaksa gulung tikar.

Bagaimanapun, berdasarkan pembacaan, saya dapat merasakan ia tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

Memang benar saham Netflix merudum pada April lalu susulan laporan syarikat itu kehilangan lebih 200,000 pelanggan pada suku pertama tahun ini dan menjangkakan kehilangan dua juta lagi pada suku kedua 2022. Bagi pemegang saham Netflix, semua itu berita buruk dan tidak pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.

KEMUNCAK

Pelanggan Netflix mencapai jumlah kemuncaknya semasa dunia dilanda pandemik Covid-19. Perintah lockdown atau di sini disebut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di mana-mana menyebabkan banyak kaki wayang beralih kepada Netflix. Tetapi selepas Covid-19 mula berlalu pergi dan kehidupan kembali kepada keadaan sedia kala, Netflix mula kehilangan pelanggan.

Hal itu tidak sukar difahami. Bagi sebahagian orang, menonton di pawagam lebih terasa nikmatnya berbanding menonton di rumah. Selain daripada sistem bunyinya, layar besarnya, popcorn mahal, menonton di pawagam juga memberi peluang kepada orang tertentu untuk berdua-duaan dengan buah hati. Di rumah sudah tentulah tidak boleh berbuat begitu. Mengamuk orang rumah nanti!

Selain faktor perubahan gaya hidup pasca pandemik, Netflix turut berdepan dengan masalah persaingan yang semakin sengit. Disney Plus, Hulu, Apple TV, HBO, Amazon Prime Video, Paramount Plus, semuanya tidak berpeluk tubuh melihat Netflix menguasai pasaran. Dan seperti apa-apa juga perniagaan, pesaing sering muncul dengan tawaran-tawaran yang lebih baik.

Netflix juga mengalami kehilangan pendapatan berikutan meluasnya amalan berkongsi ‘kata laluan’ (password). Syarikat itu menganggarkan sekurang-kurangnya 100 juta isi rumah di seluruh dunia mengakses kandungan Netflix dengan berkongsi ‘kata laluan’. Dan 100 juta bukanlah jumlah yang kecil.

Kenapa saya bersusah payah menulis tentang masalah Netflix? Saya bukan pemegang saham syarikat itu pun. Kalau ada niat hendak beli pun tidak mampu kerana harganya seunit hari ini bersamaan RM822.86 sen. Lagi baiklah simpan duit itu untuk bayar harga nasi campur yang khabarnya sudah sama dengan harga nasi beriani.

Tujuan saya sebenarnya tidak lain selain memberi peringatan kepada sahabat handai dan rakan taulan yang bergelar usahawan dunia baharu supaya menjadikan kisah Netflix sebagai panduan dalam usaha niaga masing-masing.

Sentiasalah beringat bahawa dalam dunia perniagaan, seteguh dan sehebat mana pun kita, gelora dan gelombangnya tetap ada. Tutuplah semua lubang, namun masalah tetap mempunyai cara untuk menyelinap masuk.

Netflix tampil mendahului masa dengan idea perkhidmatan penstrimannya yang ternyata disambut baik oleh khalayak. Sebenarnya dalam apa-apa bidang perniagaan pun, idea baharu jika dipersembahkan dengan cara yang betul dan diiring pula oleh perkhidmatan yang memuaskan hati pengguna, sudah pasti mudah mendapat tempat.

Malah, meledakkan idea baharu, menjadikan ia glamor dan popular sebetulnya lebih mudah berbanding menggilap idea lama. Atas faktor itulah, dalam dunia baharu ini, apabila anda mendapat sesuatu idea dan berjaya mempopularkan idea tersebut, jangan tunggu lama-lama. Manfaatkan ia semaksimum dan sepantas mungkin.

Selagi laku dijual, juallah sebanyak-banyaknya. Jangan bertangguh kerana ia hanya membuka ruang kepada kemunculan pesaing yang boleh menggugat peluang yang sedang anda nikmati.

Lagipun harus diingat bahawa dalam hukum kehidupan ini, sesuatu yang popular jarang bertahan lama. Lagi cepat popularnya, lagi cepatlah juga pudarnya.

Tentu ramai yang masih ingat bagaimana suatu ketika dulu street coffee menjadi kegilaan ramai. Berlumba-lumba anak-anak muda kita mengusahakan perniagaan itu. Maka, gerai kecil kopi itu pun muncul di merata tempat hinggakan dalam kebun sawit pun ada yang menjualnya.

Tetapi selepas dua tahun, ia perlahan-lahan menghilang. Yang ada hanyalah insan-insan terpilih yang mampu bertahan. Tempat kopi itu diganti oleh minuman lain pula, sebelum minuman lain turut diganti selepas setahun dua.

Kesimpulannya, siapa pun kita, apa pun kita buat, cabarannya tetap ada. Jangan kata buat benda-benda baharu. Bela ayam pun ada cabarannya. Contohnya, bila cuaca panas ayam hilang selera makan. Ehmm...#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca