SEWAKTU kecil, saya suka mendengar cerita kesusahan keluarga di zaman pemerintahan Jepun. Kata emak, bila Jepun datang, dia dan saudara-mara lari ke hutan. Di persembunyian itu, mereka bina rumah berdinding buluh dan beratapkan daun nipah.... Klik di sini untuk terus membaca

SEWAKTU kecil, saya suka mendengar cerita kesusahan keluarga di zaman pemerintahan Jepun. Kata emak, bila Jepun datang, dia dan saudara-mara lari ke hutan. Di persembunyian itu, mereka bina rumah berdinding buluh dan beratapkan daun nipah. Ubi kayu ditanam untuk makanan ruji. Beras tidak ada.

Ikan pula ditangkap dari sungai menggunakan pongkis, sebuah alat sebesar dulang yang dibuat daripada rotan. Mereka makan beralaskan daun pisang atau upih sebagai pinggan. Saya kagum dengan cara orang dahulu berjuang untuk hidup.

Naluri survival emak terbawa-bawa hingga selepas perang dan sesudah merdeka. Ketika saya kecil, emak masih berjimat cermat dalam segala hal. Untuk lauk sahaja, ikan gulai asam pedas yang tidak habis akan diperhangat hingga kuahnya kering menjadi sambal.

Roti yang tidak habis dijemur hingga menjadi biskut. Kerak nasi juga dijemur dan disira untuk jadi snek. Bubur kacang yang tidak habis pula dikering dan digumpal sebagai inti kuih kasturi. Inilah makanan kitar semula!

Kisah emak membentuk mentaliti berjimat dalam diri saya. Kini bila makan, seboleh-bolehnya saya mesti habiskan. Maka, saya dan isterilah yang jadi ‘bandaraya’ menghabiskan makanan yang terhidang di meja.

Kerap saya akan tergeleng dan mengeluh bila terpandang berpeket-peket jajan di meja dapur atau peti ais yang penuh berisi makanan.

Mengapa saya mengeluh? Kerana generasi selepas saya iaitu anak-anak tidak pernah mendengar cerita kesusahan hidup saya mahupun nenek mereka.

Saya dan ramai dalam kalangan kita hidup sederhana dan juga mewah. Anak-anak tiada mentaliti bersusah. Kalau dua tiga kali sebulan saya bawa keluarga ke restoran untuk makan-makan, anak-anak saya boleh makan di restoran setiap hari. Lebih-lebih lagi makanan restoran boleh sampai di rumah melalui Foodpanda.

MULA TERKESAN

Akhirnya saya dan isteri makan malam lauk ikan singgang, anak-anak makan ayam goreng Korea dengan teh bobba meskipun duduk semeja!

Saya percaya inilah keadaan kita hari ini. Gaya hidup sudah jadi budaya baharu kita semua. Meskipun Covid-19 mengajar kita untuk berasa susah, fasa peralihan endemik membuatkan kita lupakan seksa sementara itu. Tidak kira golongan tua mahupun muda, kita berasa bebas seperti dahulu meneguk segala nikmat dunia yang tidak dapat kita rasai sejak dua tahun lalu.

Tetapi apakah kita nampak awan hitam di ufuk utara? Awan mendung itu bakal mendatangkan kesusahan pada kita. Perang Rusia-Ukraine bukan sahaja peperangan senjata, malah ekonomi. Rusia menyekat Laut Merah dan Ukraine tidak dapat mengeksport barangannya termasuk gandum.

India yang mengeluarkan gandum cepat-cepat menghentikan eksportnya untuk keselamatan makanan mereka. Kita kini mula terkesan. Gandum di kedai-kedai runcit mula dicatu. Tak lama lagi harga roti canai biasanya dilambung akan melambung juga harganya!

Jagung import untuk makanan ayam juga naik harga. Para penternak tidak boleh menaikkan harga ayam kerana mematuhi harga siling. Lalu mereka meminta subsidi kerajaan. Bila kerajaan dilihat lewat membantu, mereka menghentikan bekalan ayam kepada kita semua.

Nilai mata wang kita yang semakin susut menaikkan harga barangan import.

Peperangan Rusia-Ukraine belum nampak penghujungnya. Ia sedang menjadikan aliran perniagaan, pengeluaran dan pertanian dunia tidak menentu. Dan cuaca dunia tidak menyebelahi kita. Kemarau panjang dan ribut taufan mula berlaku. Kita pula berdepan dengan banjir di luar musim tengkujuh.

Tapi, apakah kita nampak mendung yang berarak itu menuju ke arah kita? Kita nampak, malah kita tahu. Namun, oleh sebab kita lupa cara hidup bersusah dan anak-anak pula tidak dilatih berpayah, kita tidak sedar kebarangkalian malapetaka yang bakal kita alami. Sebab kita rasa semua itu berlaku jauh di tempat orang dan bukan di tempat kita. Kita terlupa Covid-19 dahulu pun bermula jauh di negara China tetapi kemudian datang melumpuhkan kehidupan kita dalam masa tiga bulan. Apa pelan kita?

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca