SHAH ALAM - Menteri atau orang politik perlu membuang sikap yang berasakan mereka lebih 'besar' daripada pegawai kerajaan serta ingin mendominasi dalam membuat sesuatu keputusan.
Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, kelakuan tidak sihat itu perlu dibendung bagi memastikan sistem nilai dalam perkhidmatan awam tidak dirosakkan.
"Kadang-kadang orang politik, maaf saya sebut, kadang-kadang mereka rasa mereka lebih besar daripada pegawai dan ingin mendominasi dalam membuat sesuatu keputusan mengenai sesuatu perkara.
"Itu saya rasa tidak betul kerana menteri sebagai ahli politik adalah pembuat dasar tetapi pelaksanaannya adalah pegawai-pegawai awam.
"Kami telah dilatih supaya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, mesti neutral supaya pelaksananya itu adil dan tidak diganggu oleh pertimbangan politik," katanya pada Program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian di sini pada Rabu.
Program yang berlangsung kira-kira setengah jam itu dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Mengulas lanjut, Abdul Halim juga bekas Ketua Setiausaha Negara berkata, pucuk pimpinan kerajaan di peringkat parti politik seharusnya sedar bahawa tugas penjawat awam adalah paling penting dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan.
Justeru katanya, pegawai kerajaan perlu diberi ruang untuk menyampaikan pendapat dan memberi nasihat untuk kebaikan negara.
"Menteri-menteri atau orang politik perlu pertimbang perkara ini dengan serius kerana mereka tidak boleh abaikan pendapat-pendapat atau syor yang dikemukakan dengan sewenang-wenangnya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca