Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, subsidi hanya untuk golongan miskin terutama golongan B40 dan mereka yang berkemampuan sepatutnya membayar lebih manakala yang tidak layak menerima (subsidi) tidak sepatutnya mendapat langsung subsidi itu.
Namun, Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Wong Hon Wai pernah membidas kenyataan itu dengan berpendirian bahawa golongan kelas pertengahan dan kelas pekerja dalam golongan berpendapatan sederhana (M40) juga harus dimasukkan dalam kategori yang bakal menerima subsidi minyak bersasar kerana mereka ialah sebahagian besar populasi penduduk di negara ini.
Beberapa hari lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, mereka yang mempunyai kenderaan BMW tidak boleh menikmati subsidi minyak sama seperti mereka yang mempunyai Kancil.
Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik untuk merealisasikan subsidi minyak secara bersasar dan adakah ia semudah mengenal pasti siapa yang membawa kereta BMW atau Kancil sahaja? Adakah sekarang ini masa yang sesuai untuk melaksanakan mekanisme tersebut?
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, reformasi untuk mengenakan subsidi ke atas minyak agak sukar dilaksanakan sekarang ini terutamanya dalam keadaan harga minyak melambung tinggi.
"Negara dalam keadaan yang mana harga minyak tengah mahal sekaligus berhadapan dengan harga barangan yang meningkat seperti makanan dan bahan mentah. Oleh itu, agak sukar untuk menarik subsidi dalam keadaan ekonomi semasa ini dan dikhuatiri akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Kita faham justifikasi untuk mereformasi subsidi memang ada cuma ‘timing’ tidak kena. Sekiranya kaedah itu tidak betul, ia akan memberi banyak masalah, jadi kerajaan mesti memberitahu mengapa subsidi perlu direformasi dan apa kebaikannya kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, kerajaan perlu memikirkan kaedah atau mekanisme yang terbaik secara ideal untuk memastikan subsidi itu bersasar kepada golongan yang sepatutnya.
"Harga semasa sekarang ini dikira pukul rata atau semua golongan dapat tetapi menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), dalam 53 peratus akan pergi ke golongan T20.
"Jika itu keadaannya, subsidi di Malaysia memang tidak bersasar dan boleh dikatakan satu kerugian kerana yang akan mendapat habuan itu bukan golongan sasaran namun golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Selain itu, kerajaan harus mencari jalan penyelesaian atau kaedah yang sesuai untuk mengenal pasti berapa pendapatan seseorang itu untuk melayakkan dia mendapat subsidi minyak seperti Mykad atau aplikasi pantas seperti MySejahtera.
"Dahulu kerajaan pernah mencadangkan untuk penggunaan kaedah Mykad yang mana kita boleh mengenal pasti tahap pendapatan dan kelayakan seseorang itu. Jika dia berpendapatan tinggi, mungkin dia tidak layak langsung menerima subsidi dan sekiranya dia M40, ia akan berkadaran dengan tahap kelayakan.
"Teknologi canggih seperti MySejahtera juga boleh menjadi salah satu cara yang boleh diguna pakai sekiranya ia mempunyai rantaian kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kita boleh terus mengenal pasti pendapatan seseorang,” katanya.
MEKANISME SEKARANG SUDAH MENCUKUPI
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berpandangan, mekanisme minyak petrol kuning dan hijau sudah memadai dan tidak perlu ditukar kerana bimbang akan menyusahkan rakyat dengan keadaan harga yang tidak menentu.
"Saya rasa mekanisme sekarang ini pun sudah bersasar mengikut kemampuan. Siapa yang mampu dan tidak mahu subsidi boleh pakai minyak hijau manakala siapa yang nak lebih jimat dan atau terkesan dengan kenaikan harga minyak, boleh pakai minyak kuning.
"Kita juga sudah ada tol dan cukai jalan yang membezakan. Sebagai negara pengeluar minyak yang besar dalam 600,000 tong sehari, sepatutnya rakyat dapat merasa hasil negara. Jangan menyusahkan dengan meletakkan harga terlalu tinggi sehingga golongan M40 turut terbeban,” katanya.
Shazali yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Kuching, Sarawak itu berkata, tidak wajar untuk membezakan kereta untuk pemberian subsidi minyak kerana jenis kereta tidak melambangkan status seseorang.
"Orang kaya juga boleh mempunyai kereta kecil seperti kancil atau Myvi begitu juga dengan pelajar yang boleh memiliki BMW. Jika kita mahu memberi subsidi dengan membezakan kenderaan, maka ia akan lebih merumitkan keadaan.
"Dahulu saya juga mengisi minyak pam hijau tetapi oleh kerana harga semakin tinggi, saya menukar gaya hidup dengan memakai minyak pam kuning walaupun saya menggunakan kereta yang berjenama mahal. Oleh itu, minyak tidak boleh bersasar mengikut kenderaan yang dibawa atau dipakai,” katanya. Klik di sini untuk terus membaca