SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi rendah iaitu hanya kira-kira 12 peratus daripada 1.3 juta ahli sempena pemilihan 2022 menimbulkan 1,001 persoalan mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dulunya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi rendah iaitu hanya kira-kira 12 peratus daripada 1.3 juta ahli sempena pemilihan 2022 menimbulkan 1,001 persoalan mengenai apa yang sebenarnya berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dulunya pernah menjadi pembangkang terkuat dan digeruni lawan suatu ketika dulu.

Masalah berkenaan juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam PKR sekarang dan perlu diberikan perhatian khusus oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan baharu yang memenangi jawatan Ketua Cabang mahu pun Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Timbalan dan Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMK) dan Majlis Wanita Keadilan Pusat (MPWP) nanti.

Perkara itu mungkin juga mungkin menunjukkan undi 'protes' dalam kalangan sebahagian ahli PKR yang sudah muak dengan politiking dan mungkin kurang bersetuju dengan idea 'khemah besar' diketengahkan oleh pemimpin tertinggi parti.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, fenomena berkenaan juga adalah satu isyarat kepada pemimpin PKR terutama Anwar supaya mendengar suara akar umbi.

Beliau berkata, PKR juga belum dapat bangkit selepas kekalahan demi kekalahan dialami mereka dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri (PRN) sejak 2020 termasuk terbaharu di PRN Melaka dan Johor.

"Mungkin ahli PKR mahu melihat perubahan besar berlaku dalam parti berkenaan dan tambahan wujud kelesuan politik di negara. Jadi persoalannya sekarang adalah kelesuan politik itu turut berlaku dalam PKR sehingga menyebabkan ramai ahlinya memilih untuk tidak keluar mengundi pada pemilihan kali ini.

DR SIVAMURUGAN

"Mungkin ramai ahlinya melihat pemimpin tertinggi PKR perlu memberikan tumpuan kepada isu besar yang membolehkan parti berkenaan kembali melakukan reformasi seperti mana kita lihat sebelum ini.

"Justeru itu, saya berpandangan bahawa ini adalah 'wake up call' bagi PKR yang mungkin bersifat sementara dan jika ada penerimaan ke atas apa yang berlaku oleh barisan kepimpinan baharu nanti mungkin mereka boleh menjadi antara parti pembangkang terkuat dan dihormati seperti dulu," katanya kepada Sinar Premium.

Sivamurugan berkata, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pucuk pimpinan PKR perlu memikirkan perancangan bagi memperkukuhkan kembali parti pasca pemilihan dan persediaan menghadapi PRU15 nanti.

Sivamurugan berkata demikian ketika mengulas pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, bahawa hanya 12 peratus atau 136,000 anggota PKR keluar mengundi dalam Pemilihan PKR 2022 yang selesai Ahad lalu.

Zaliha juga menjelaskan, peratusan keluar mengundi itu agak rendah berbanding dengan pemilihan yang lepas.

Meskipun begitu katanya, masih terdapat lagi pemilihan cabang-cabang yang ditangguhkan pada hari kejadian dan perlu diadakan semula pengundian sebelum berakhir Mei ini.

"Secara keseluruhan, proses pengundian secara fizikal di seluruh negara berjalan dengan baik dan lancar, kecuali di beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor di mana beberapa cabang perlu diadakan pemilihan semula atas beberapa sebab yang dikenal pasti.

Ahli PKR mencelup jari ke dalam dakwat kekal sebelum melakukan proses pengundian pemilihan secara fizikal ketika tinjauan pemilihan PKR 2022 Cabang Tambun di Perak pada Ahad.

"Malah di Selangor dan Sabah yang banyak cabang dikategorikan sebagai ‘kawasan panas’ juga secara keseluruhannya selesai menjalani proses pengundian dengan baik tanpa ada perkara yang tidak diingini berlaku kecuali sedikit masalah teknikal di Sabah iaitu di awal pagi pemilihan dimulakan," kata Zaliha dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, calon Ketua AMK PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, peratusan keluar mengundi rendah bukan bermakna ahli PKR memboikot pemilihan parti kali ini.

"Peratusan keluar mengundi rendah bukan bermaksud ahli memboikot kerana setiap kali pemilihan parti pun sama. Hanya ahli parti yang aktif dan terlibat dengan proses pembuatan keputusan parti sahaja akan keluar mengundi.

"Manakala, mereka yang lain mungkin terdiri daripada penyokong setia PKR yang berdaftar sejak awal penubuhan parti dan bukan semua mahu terlibat dengan pemilihan. Kita kena akur itu adalah hak mereka untuk tidak keluar mengundi kerana PKR sebuah parti mengamalkan demokrasi.

"Biarpun jumlah keluar mengundi hanya 12 peratus atau lebih 130,000 ahli keluar mengundi namun itu adalah satu angka besar bagi sesebuah parti politik di Malaysia," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca